Satukan Wanita Solo, Umrah4Ladies Tunai Impian Ke Tanah Suci

Share
Antara impian setiap wanita semestinya ingin menjejakkan kaki ke rumah Allah Yang Maha Esa, Namun tidak semua wanita mempunyai peluang untuk mengerjakan umrah bersama suami atau ahli keluarga, malah ada yang terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana ketiadaan mahram atau teman buat menemani perjalanan ke Tanah Suci.

Daripada persoalan dan keresahan itulah wujudnya Umrah4Ladies, bernaung di bawah MK Haramain Travel & Tours. Di sini, mereka mengetengahkan konsep “Dari Wanita Untuk Wanita” menerusi pakej umrah khas yang mengambil kira aspek keselesaan, keselamatan serta fiqh buat para wanita. Pendekatan itu bukan sahaja memberi ruang kepada wanita yang ingin mengerjakan umrah secara solo atau tanpa mahram tetapi turut memberi peluang buat para wanita untuk beribadah dalam suasana berkumpulan yang lebih selesa dan tersusun.

Pengasasnya, Syafiqah Zamani, berkata idea menubuhkan Umrah4Ladies tercetus pada tahun 2022 di mana dunia masih lagi berdepan dengan kesan pandemik Covid-19 dan perjalanan mengerjakan umrah bukan sesuatu yang mudah.

“Ketika itu ramai yang bertanya bagaimana saya boleh mengerjakan umrah dan saya mula melihat wujudnya permintaan yang tinggi dalam kalangan wanita yang mahu menunaikan umrah tetapi tidak mempunyai mahram.

“Daripada situ saya nampak ada keperluan yang perlu dipenuhi dan lahirlah Umrah4Ladies,” katanya.

Selepas empat tahun ditubuhkan, Umrah4Ladies kini sudah membawa kira-kira 3,000 jemaah wanita ke Tanah Suci.

Namun, bagi Syafiqah, usaha itu bukanlah hanya sekadar menyediakan pakej yang berbaloi kerana ada perkara lebih besar yang ingin dicapai olehnya iaitu dengan membina sebuah komuniti wanita yang saling menyokong antara satu sama lain sepanjang perjalanan menunaikan ibadah suci.

Tidak Risau Dengan Perjalanan Solo Untuk Beribadah

Katanya, selain isu mahram, antara kebimbangan utama wanita yang ingin mengerjakan umrah secara solo adalah soal teman.

Ada wanita yang selalu risau kerana perlu melakukan segala-galanya seorang diri, tanpa mengenali sesiapa dan tiada tempat untuk berkongsi pengalaman sepanjang berada di Tanah Suci.

“Di sinilah mereka akan bertemu dengan lebih ramai jemaah wanita yang juga datang secara solo.

“Daripada tidak mengenali sesiapa, akhirnya mereka membina persahabatan dan terbentuklah satu komuniti. Ada yang terus berkawan selepas pulang daripada umrah,” katanya.

Bagi memastikan hubungan antara jemaah lebih rapat, Umrah4Ladies turut mengekalkan konsep kumpulan kecil dengan hanya 30 jemaah bagi setiap bas. Ini bertujuan untuk memudahkan urusan pengurusan jemaah serta memberi ruang kepada para jemaah untuk mengenali antara satu sama lain secara lebih mendalam.

“Kadang-kadang dalam sesi itu mereka lebih terbuka untuk berkongsi tentang kesakitan, kesedihan dan apa yang mereka lalui dalam hidup.

“Bila wanita bersama wanita, ada perkara yang lebih mudah untuk difahami kerana hanya wanita yang benar-benar memahami wanita,” katanya.

Generasi Muda Semakin Ramai Ingin Tunai Umrah

Dalam melihat perkembangan komuniti yang dibina, Syafikah turut menyedari perubahan positif dalam kalangan rakyat Malaysia apabila semakin ramai wanita daripada golongan generasi muda yang mula memilih untuk mengerjakan umrah pada usia yang lebih awal.

“Sekarang kita melihat semakin ramai generasi muda yang mahu mengerjakan umrah. Mereka tidak lagi menunggu sehingga usia tua untuk mula mendekatkan diri dengan Tanah Suci.

“Saya melihat ini sebagai satu perkembangan yang sangat baik kerana ia menunjukkan kesedaran untuk melakukan ibadah semakin berkembang dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Menurutnya, perjalanan umrah juga bukan semata-mata tentang sampai ke Tanah Suci, sebaliknya pengalaman itu mampu menjadi titik perubahan dalam kehidupan seseorang wanita.

Wanita Itu x Umrah4Ladies Berjaya Kumpul Komuniti Wanita

Terdahulu, Umrah4Ladies bersama Wanita Itu berjaya mengumpulkan kira-kira 4,000 peserta wanita menerusi program Freedom Beyond Independence, sebuah program sempena Bulan Kemerdekaan yang mengangkat tema pembebasan jiwa melalui tadabbur al-Quran.

Program berkenaan menjadi antara salah platform buiat wanita untuk mendalami penghayatan al-Quran dan sekali gus membuka ruang bagi mereka mencari kekuatan dalaman dan membina hubungan sesama komuniti.

Bagi Umrah4Ladies, apa yang bermula dengan usaha memenuhi keperluan wanita yang mahu mengerjakan umrah tanpa mahram kini berkembang menjadi sebuah komuniti yang menyatukan wanita daripada pelbagai latar belakang.

Published by
syamimi