
“Dia anak saudara yang saya sayang, membesar dengan tangan saya jadi bila arwah pergi memang berat untuk saya terima.”
Demikian luahan penuh emosi Samad Saad, 48, bapa saudara kepada Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, pendaki yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat, Muallim, Perak pada 16 Oktober lalu.
Kisah Samad Saad menarik perhatian ramai selepas beliau berkongsi video di TikTok yang memaparkan barangan peribadi milik Mustaqqeem Mansoor yang telah dibersihkan dan dijemur di halaman rumah. Dalam video itu, kedengaran suara Samad yang tersekat-sekat menahan sebak, sementara tangannya kelihatan menggigil ketika memegang pinggan plastik dan sudu milik arwah.
@samad4477 #tonggeksfc #kongsipeluhsamasama #justiceformustaqqeem ♬ Salam Terakhir – Dato’ Sudirman
Hubungan Akrab Samad Saad Dan Mustaqqeem Mansoor
Menurut laporan Harian Metro, Samad Saad berkata beliau amat rapat dengan Mustaqqeem Mansoor kerana pernah menjaganya sewaktu anak saudaranya itu masih bersekolah. Justeru, pemergian arwah memberi kesan mendalam buat dirinya.
“Hanya Allah SWT saja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika membersihkan barangan arwah kelmarin. Waktu basuh, saya terbayang betapa terseksanya arwah sebelum dia meninggal dunia kerana baju hujannya ada kesan darah manakala tapak kasut serta tumitnya sudah rosak,” katanya.
Beliau menambah, melihat kesan tersebut membuatnya tertanya-tanya bagaimana Mustaqqeem Mansoor bertahan dalam keadaan hujan lebat dan kesejukan di puncak Gunung Liang Barat.
Barang Peribadi Mustaqqeem Mansoor Jadi Kenangan
Menurut Samad Saad, kebanyakan barangan milik arwah telah diserahkan kepada adiknya, Muzammeer Mansor, 33, untuk disimpan sebagai kenangan. Namun, beliau menyimpan sepasang selipar Jepun milik arwah sebagai tanda ingatan.
“Saya hanya ambil selipar Jepun dia saja… saya ambil sebab nak ingat dia, nak pakai pergi masjid dan surau. Tak ada siapa boleh sentuh kerana ia cukup sentimental bagi saya,” katanya lagi dengan nada sebak.
Detik Terakhir Sebelum Pemergian Mustaqqeem Mansoor
Mengimbau detik terakhir bersama Mustaqqeem Mansoor, Samad Saad berkata mereka sempat berjumpa pada 4 Oktober lalu di majlis perkahwinan keluarga. Arwah kelihatan ceria ketika itu, namun siapa sangka ia merupakan pertemuan terakhir mereka.
“Saya tak pernah ambil gambarnya tapi hari berkenaan, saya ambil gambar arwah dengan isteri serta sepupunya dan minta dia hantar kepada ibunya. Nampak dia suka gambar itu cuma kami tak sempat bergambar bersama,” katanya.
Tambahnya lagi, setiap kali hujan turun, beliau berasa fobia kerana membayangkan bagaimana keadaan anak saudaranya ketika mendaki dalam kesejukan melampau di Gunung Liang Barat.
Tragedi Pendakian Gunung Liang Barat
Pada 10 Oktober lalu, Mustaqqeem Mansoor bersama lapan rakan dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian ke Gunung Liang Barat melalui laluan Bukit Fraser, Bentong. Namun, mereka dilaporkan tidak pulang seperti dijadualkan, menyebabkan isteri mangsa, Nur Faratin Mohd Othman, 31, membuat laporan polis.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan JBPM, polis dan APM digerakkan, sebelum mayat Mustaqqeem Mansoor ditemui pada jam 3.30 petang di puncak gunung. Hasil siasatan mendapati punca kematian adalah akibat hipotermia (kesejukan melampau).
Samad Saad menutup perbualan dengan doa agar roh anak saudaranya dicucuri rahmat dan tenang di alam sana. “Saya doakan arwah damai di sana… dia anak yang baik dan kami akan sentiasa kenang dia.”
Sumber: TikTok Samad 4477
Artikel lain: Tragedi Gunung Liang: Rakan Sanggup Naik Semula Tanpa Guide Sangkal Dakwaan Tinggalkan Mustaqqeem
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!