Bersama anak tunggalnya.

Setiap kali berhadapan dengan personaliti yang bergelar ibu tunggal sudah pasti banyak pengajaran yang diperolehi. Kali ini empunya diri yang juga pemilik nama sebenar Suhana Saad atau lebih selesa dengan panggilan Adura, 39 berkongsi kisah kehidupannya. Dari seorang yang ceria kerana memiliki keluarga bahagia, akhirnya rumahtangga yang dibina kecundang.

Pada tanggal 8 Mac 2011 kira-kira sembilan tahun lalu tidak akan dilupakan apabila dia sah bergelar ibu tunggal. Cahaya mata tercinta Nur Shazliana Alia yang ketika itu masih kecil menjadi pengubat jiwa tatkala dirinya bergolak dengan kesedihan.

“Hanya Allah yang tahu betapa sedihnya saya ketika itu. Anak saya baru berusia 9 tahun dan saya mengambil masa hampir dua tahun untuk melupakan bekas suami. Kemana-mana saya pergi mesti nampak bayang-bayang dia. Bila dengar nama dia atau bertembung dengan kereta dia hati saya berdebar-debar. Selepas sah bercerai segalanya gelap. Saya tidak boleh kerja dan terpaksa berhenti. Setiap hari saya menangis, saya hanya bangun untuk kerjakan solat.

“Saya berpindah dan tinggal di rumah ibu dan ayah. Bila bekas suami ambil anak, saya akan keluar curi-curi melihat kelibatnya, bila dia hantar anak, saya sibuk tanya ke mana dengan siapa dia datang. Keluarga ikhitiar berubat pulih kan semangat saya, lama juga saya begitu hampir setahun. Kemudian saya mencari kerja dan alhamdulillah saya sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti bersama rakan-rakan baru.

 

“Selain bekerja makan gaji saya juga berniaga secara sambilan untuk menyara keluarga. Saya juga membantu mak dan ayah. Selama empat tahun tinggal dengan keluarga, selepas pendapatan stabil saya menyewa berasingan dengan ibu dan ayah. Syukur kerana kewangan saya juga hampir pulih. Kehidupan saya sekarang amat bermakna berbanding dulu,” terang Adura yang cukup peramah.

IKLAN

Setiap Hari Menangis, Tak Boleh Bekerja 2 Tahun Sentiasa Ingatkan Bekas Suami

Keluarga & Rakan-Rakan Beri Sokongan

Adura juga akui keluarga dan rakan-rakan terdekat banyak memberi sokongan. Malah kini anak perempuan tunggalnya juga sudah berusia 17 tahun dan amat memahami dirinya.

“Saya mempunyai kawan baik Cicia Rahayu yang sentiasa menolong dan memberi sokongan. Saya , juga sangat terharu apabila adik kedua saya Ann, mak, ayah dan adik beradik yang lain banyak membantu dalam kejayaan saya hari ini. Paling penting anak perempuan saya yang saya panggil Adik, menjadi kawan setia dan segala-galanya bagi saya,” ungkap Adura yang sememangnya tidak boleh berpisah dengan anak perempuannya.

IKLAN

Adura berusaha gigih bagi menambah pendapatan, kini dia bergelar seorang peniaga. Bagi mengukuhkan perniagaan yang dibina, Adura sanggup berhenti dari jawatan sebagai Eksekutif Sumber Manusia, di sebuah syarikat logistic yang terletak di USJ Pinggiran bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan yang dibina.

“Saya baru saja berhenti kerja pada bulan April lalu. Sekarang saya tidak bekerja lagi, sepenuh masa saya menjual wangian inspirasi yang di beri nama iLuVu Perfume. Dengan di bantu adik saya Ann, kawan baik saya Cicia Rahayu, pengambilan agent, dropship sambil di bantu adik beradik yang lain. Saya berhasrat untuk memiliki sebuah kedai, membuat jenama wangian iLuVu Perfume ini lebih terkenal di Malaysia dan luar negara.

“Sememangnya dalam membina kejayaan banyak masalah yang menimpa tapi saya pasti Allah memberi saya ujian kerana Allah sayang saya. Allah tahu saya mampu menghadapi ujian. Dan akan di berikan kesenangan kepada saya satu hari nanti InsyaAllah. Saya nak beri kesenangan kepada keluarga terutama mak dan ayah. Mereka gembira bila lihat saya senyum dan tidak susah lagi. Bukan kaya sekadar sederhana. Alhamdulillah kini juga saya bebas dari hutang yang membelenggu hidup dari dah berbelas tahun,” cerita Adura yang kini menetap di Shah Alam.

IKLAN
Setiap Hari Menangis, Tak Boleh Bekerja 2 Tahun Sentiasa Ingatkan Bekas Suami
Rajin berniaga.

Harap Impian Tercapai

Adura kini menjadi tunggak utama kepada sumber kewangan keluarga dan berharap dapat menggapai impian sebagai seorang wanita yang berjaya.

“Sebelum ni saya memang ada pendapatan tetap, saya bekerja dan berniaga perfume. Sekarang ni saya ambil risiko sepenuh masa menjual wangian inspirasi, menjadi agent make up. Sememangnya saya minat berniaga dari kecil lagi. Impian saya agar satu hari nanti akan menjadi kenyataan untuk menjadi wanita yang berjaya, berwiba dan tidak lupa diri. iLuVu Perfume sudah hampir tiga tahun berada di pasaran,” kata Adura boleh dijadikan idola kepada ramai wanita di luar sana yang mengalami masalah yang sama dengan dirinya.

Ditanya tentang nasihat yang boleh dikongsikan kepada wanita-wanita yang bergelar ibu tunggal di luar sana. Adura akui pada awalnya keadaan yang dialami pahit untuk ditelan.

“Jangan fikir pasal anak, atau risau nanti anak tiada ayah, mereka tetap ada ayah walaupun sudah bercerai dengan kita. Nak fikir pasal anak, diri kita yang merana. Fikirkan diri kita dahulu dan pasti kita akan boleh berfikir pasal anak, keluarga dan hal lain. Jangan takut nanti orang salah kan kita sebab bercerai,  biar lantak orang tu, bukan mereka yang bagi kita makan. Nanti mereka penat mereka diam. Ingat Allah ada minta dan berdoa senantiasa,” akhiri Adura.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI