Penyertaan negeri Sabah pada edisi pertama Matta Fair Kuala Lumpur 2025
dari 18 hingga 20 April menunjukkan peningkatan ketara dalam jualan, dengan jumlah tertinggi dicatatkan sebanyak RM 4.5 juta, peningkatan positif sebanyak 46% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Sebanyak 43 ejen pelancongan dari Sabah menyertai pameran itu yang diketuai oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sebagai peneraju utama mempromosikan destinasi itu di zon Sabah.
Sambutan yang menggalakkan ini mengukuhkan status Sabah sebagai pilihan destinasi
pelancongan domestik dengan pelbagai tawaran pakej pelancongan menarik untuk aktiviti
pengembaraan, budaya dan alam semula jadi termasuk produk pelancongan berasaskan
komuniti.
STB turut memperkenalkan dua jenama tempatan dari Sabah; Chanteek Borneo yang
mempamerkan pelbagai rekaan pakaian dan tekstil dengan motif tradisional Sabah, manakala Uinah memperkenalkan manfaat kesihatan minuman yang menyegarkan diperbuat daripada hasil tani tempatan yang dituai secara mampan. Kedua-dua jenama ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung di Matta Fair.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit, mengaitkan kejayaan itu hasil dedikasi dan penyertaan aktif agensi-agensi pelancongan Sabah. Usaha ini juga membuktikan kerjasama erat pemain pelancongan dalam mempromosikan industri pelancongan negeri bersama-sama STB.
STB terus komited dalam usahanya untuk meningkatkan promosi destinasi pelancongan Sabah dalam pasaran domestik dan antarabangsa, termasuklah dengan penyertaan aktif dalam acara pelancongan utama seperti Matta Fair. Usaha ini seiring dengan perancangan STB melalui kempen ‘Terokai Sabah’ menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
‘Terokai Sabah Dulu Bah’ menjadi tema reruai STB di Matta Fair disamping menawarkan baucar rebat perjalanan sehingga RM100.00 untuk setiap pembelian pakej pelancongan dengan deposit minimum RM 600.00 dalam satu resit.
Manakala bagi menggalakkan pembeli memilih produk pelancongan berasaskan komuniti,
tawaran baucar rebat perjalanan sebanyak RM50.00 untuk setiap orang diberikan.
Selain itu, untuk memastikan reruai kekal menjadi tarikan, STB memberikan pengalaman realiti maya (VR) disamping menganjurkan aktiviti harian. Kajian soal selidik pengguna juga telah dijalankan untuk mengkaji pelancong domestik.
Julinus turut melancarkan Peta Augmented Reality (AR Map) untuk peta Sabah dan peta
Bandaraya Kota Kinabalu. Pengguna boleh mengimbas kod pada peta untuk mendapatkan
maklumat lanjut berkaitan tempat-tempat tarikan utama. Peta ini menawarkan pengalaman interaktif, dilengkapi dengan garis panduan dan animasi untuk pengguna.
Bahan promosi baharu ini adalah sebahagian daripada inisiatif STB untuk menjadikan
pengalaman perjalanan ke Sabah lebih mengasyikkan, menarik dan mudah diakses Salinan peta AR ini telah diedarkan kepada tetamu di Matta Fair dan juga boleh dimuat turun dari
laman web rasmi STB.