Undangan daripada pihak Tourism Selangor dan Genting Cruise Line untuk belayar bersama kapal pelayaran SuperStar Gemini bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Memang sudah ada dalam perancangan untuk bercuti di atas kapal pelayaran. Undangan yang tiba bagaikan impian menjadi kenyataan. Saya dan kumpulan wartawan yang dijemput berpeluang menikmati pelayaran di atas kapal mewah selama empat hari tiga malam bersama kira-kira 1,200 penumpang yang lain.
Superstar Gemini merupakan salah sebuah kapal pelayaran Star Cruises dan berpengkalan di Malaysia dari 5 November 2018 hingga 28 April 2019. Ia dikendalikan oleh Genting Cruise Lines dan menawarkan pelayaran empat hari tiga malam dari Port Klang-Phuket-Pulau Pinang- Port Klang. Selain pelayaran pergi balik tersebut, SuperStar Gemini turut menawarkan intenari empat hari tiga malam ke Phuket dan Langkawi yang bermula dari Port Klang. Para penumpang turut boleh menaiki kapal SuperStar Gemini dari Pulau Pinang dan Langkawi untuk menikmati pelayaran tiga malam ke destinasi-destinasi menarik di Malaysia, serta ke Phuket, Thailand.
Menurut pihak Star Cruises, kapal SuperStar Gemini dapat memuatkan 1,500 penumpang dalam satu masa. Terdiri daripada 13 tingkat yang dikenali sebagai dek, kapal ini mempunyai 765 kabin termasuklah suite eksekutif dan kabin standard yang berada di dek lima hingga 11 kapal. Penumpang juga boleh memilih bilik-bilik yang diinginkan dengan harga berbeza mengikut keluasan bilik.
Diberi Kad Identiti
Kami memulakan pelayaran di Boustead Cruise Centre, Port Klang. Saya dan rakan wartawan lain perlu mendaftar masuk dan meninggalkan bagasi kami di kaunter check in persis mendaftar masuk untuk menaiki kapal terbang. Setelah itu kami diberikan satu akses kad yang mempunyai nama kami sendiri. Kad tersebut menjadi kad identiti yang akan digunakan sepanjang pelayaran. Kad tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai kunci untuk bilik masing-masing malah untuk setiap perbelanjaan dan pembelian barangan atau di mana-mana restoran yang ada di atas kapal pelayaran.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam perut kapal SuperStar Gemini yang mempunyai keluasan 230 meter dan 20 meter lebar itu, rasa kagum datang menjelma. Hiasan dalamannya serba mewah sama seperti yang dilihat dalam filem-filem Hollywood dan Bollywood. Kami disambut penuh mesra oleh kakitangan kapal bagaikan berada di hotel lima bintang.
Sebelum memulakan pelayaran, untuk keselamatan, setiap penumpang perlu mengikuti penerangan kecemasan sebelum memulakan pelayaran kira-kira jam 2 petang. Selepas penerangan, kami meneroka keseluruhan kapal secara bebas. Saya ditempatkan di bilik yang terletak di dek 10. Pada mulanya risau juga takut pening dengan keadaan laut yang mungkin akan bergelora. Para wartawan ditempatkan di bilik yang bertingkap dan menghadap lautan. Bilik saya dilengkapi dengan sebuah katil queen, satu katil bersofa berserta kemudahan lain seperti yang disediakan di bilik hotel.
Bukan sahaja menyediakan ruang kabin yang selesa, malah penumpang tidak perlu risau jika lapar kerana semuanya boleh dinikmati di restoran-restoran yang terdapat di atas kapal pelayaran ini. Pakej yang disediakan untuk penumpang yang belayar termasuklah empat kali hidangan iaitu sarapan, makan tengah hari, makan malam dan makan tengah malam. Terdapat empat pilihan restoran iaitu Dynasty, Mariners, Bella Vista dan Oceana Barbeque. Bagi yang beragama Islam, tak perlu risau kerana tiga restoran iaitu Mariners, Bella Vista dan Oceana Barbeque menyediakan makanan halal, malah mereka juga dalam proses untuk mendapatkan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM).
Selain restoran yang menyediakan makanan berat, anda juga boleh bersantai dan menikmati pemandangan di tengah laut di Champs Bar, Blue Lagoon, Taipan dan Ir Lounge. Jadi memang tak timbul masalah kelaparan ketika belayar di ata SuperStar Gemini.
Pelbagai Aktiviti Sepanjang Pelayaran
Sepanjang empat hari pelayaran, saya dan rakan wartawan lain tak lepaskan peluang untuk menikmati keindahan saat matahari terbit dan terbenam. Tambahan pula keberadaan kami di tengah-tengah laut, pemandangan yang kami dapat memang sangat mengujakan. Sambil menghirup udara segar, kami turut meneroka setiap sudut yang ada di atas kapal persiaran ini.
Kami turut dibawa ke beberapa bahagian yang terdapat di atas kapal persiaran tersebut yang juga turut dibuka kepada penumpang. Antaranya bridge tour di mana kami berpeluang untuk melihat sendiri ruang di mana kapten mengemudi kapal dan melihat peralatan yang terdapat di situ. Kami juga turut dibawa melawat ke bahagian dapur yang terdapat di atas kapal SuperStar Gemini. Menurut Sous Chef yang bertugas, mereka menggunakan 4,500 biji telur sehari untuk dihidangkan kepada penumpang yang belayar.
Mungkin ada yang beranggapan tak banyak aktiviti yang boleh dibuat di atas kapal pelayaran. Saya juga pada mulanya mempunyai fikiran yang sama, tapi ternyata telahan itu salah. Malah rasanya tak sempat untuk rasa bosan kerana pihak Star Cruises sentiasa menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para penumpang dari semua peringkat umur
Untuk keluarga pastinya percutian bersama di atas kapal layar bakal meninggalkan kenangan indah dan mengeratkan hubungan yang sedia ada. Di dewan utama yang cukup besar dan boleh menampung semua penumpang, pelbagai persembahan telah dijadualkan seperti persembahan silap mata, hiburan keluarga, sarkas, permainan lain dan banyak lagi.
Selain menonton persembahan di dewan utama yang dipanggil Stardust Lounge, kapal persiaran ini juga turut mempunyai dua kolam renang untuk golongan dewasa dan kanak-kanak, gimnasium bagi yang ingin bersenam, pusat karaoke untuk berhibur bersama keluarga atau rakan-rakan dan paling buat kami teruja, terdapat juga kedai bebas cukai yang menjual pelbagai barangan termasuk minyak wangi, jam tangan, barangan penjagaan kulit dan banyak lagi.
Persinggahan Di Phuket & Pulau Pinang
Hari kedua pelayaran, SuperStar Gemini berlabuh di Pantai Phatong, Phuket. Kami dan penumpang yang lain dibenarkan untuk naik ke darat dan diberi masa kira-kira enam hingga tujuhjam untuk melakukan aktiviti bebas di pulau tersebut.
Bagi yang ingin mengikuti pakej tour yang ada boleh menempah di lobi kapal sebelum ia berlabuh di tempat persinggahan. Saya dan kumpulan media di bawa mengikuti pakej yang disediakan oleh Star Cruises ke tiga tempat tumpuan pelancong di Phuket iaitu Big Buddha, Wat Chalong dan Kilang memproses gajus.
Setiap penumpang perlu berada di atas kapal sebelum jam 10 malam. Pelayaran perlu dibuat mengikut jadual yang ditetapkan, malah sebelum berlabuh setiap penumpang diingatkan untuk menepati jadual pelayaran.
Setelah lebih 15 jam belayar, pada keesokkan harinya kami tiba di Pulau Pinang dan berlabuh lebih kurang enam jam di Swettenhan Pier. Di sini juga penumpang boleh memilih untuk membuat acara bebas atau mengikuti pakej yang disediakan oleh pihak Star Cruises. Kapal berlepas semula pada jam 7.30 malam pada hari yang sama untuk pelayaran pulang dan tiba di pelabuhan Klang pada 10 pagi keesokkan harinya. Ternyata pengalaman bercuti di atas kapal persiaran SuperStar Gemini meninggalkan kenangan manis buat saya dan wartawan yang lain. Perancangan untuk mencuba kapal persiaran yang lain mungkin akan diteruskan, pasti pengalaman yang berbeza bakal dinikmati kelak.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI