Inspirasi

RM100,000 Untuk Pendidikan Anak-Anak Muar – PTTI & Syed Saddiq Bantu Realisasikan Impian Pelajar Kurang Mampu

Share

Buat ibu bapa yang pernah risau tentang peluang anak-anak untuk cemerlang dalam pelajaran kerana kekangan kewangan, inisiatif ini pasti menyentuh hati. Dalam usaha murni menyokong pendidikan anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah, Pusat Tuisyen PTTI telah menyumbangkan tajaan bernilai RM100,000 kepada kawasan Parlimen Muar, Johor.

Sumbangan ini diterima oleh Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu pelajar kurang berkemampuan, terutama mereka yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

Kelas Online & Bantuan Peranti Untuk Pelajar

Dengan tajaan ini, pelajar-pelajar terpilih akan diberikan akses kepada kelas tuisyen dalam talian yang dikendalikan oleh guru-guru pakar dari PTTI. Tidak terhenti di situ, mereka juga akan menerima kemudahan pembelajaran seperti komputer riba dan tablet, agar tidak tercicir hanya kerana kekurangan peralatan asas.

“Saya sangat terharu dan bersyukur. Terima kasih kepada Cikgu Farhana dan seluruh pasukan PTTI atas sumbangan ini. Pendidikan adalah pelaburan masa depan, dan tidak semua ibu bapa mampu sediakan tuisyen berkualiti untuk anak-anak mereka,” ujar Syed Saddiq dengan penuh rasa syukur.

Malah, beliau turut mengumumkan bahawa sebanyak RM20,000 dari jumlah tajaan itu akan disumbangkan semula oleh beliau dalam bentuk pembelian peranti pembelajaran kepada pelajar menjelang Hari Raya Aidiladha ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kepada RM120,000.

Pendidikan Berkualiti Untuk Semua, Tak Kira Latar Belakang

Inisiatif ini memberi makna besar kepada keluarga luar bandar dan B40, terutamanya di kawasan seperti Sungai Balang, yang jauh dari pusat tuisyen fizikal. Syed Saddiq menegaskan bahawa pendidikan berkualiti seharusnya tidak hanya untuk anak-anak di bandar, sebaliknya semua pelajar harus diberi peluang sama rata.

“Dengan bantuan begini, anak-anak kita boleh ‘catch up’, terutama dalam subjek-subjek kritikal seperti Matematik dan Sains,” katanya lagi.

Gambar hiasan

PTTI Komited Angkat Potensi Anak Bangsa

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Cikgu Farhana, organisasi ini sudah lebih 10 tahun mendidik dan membimbing pelajar, membantu lebih 800,000 pelajar termasuk 400 pelajar yang mendapat straight A dalam SPM 2024.

“Kami percaya semua anak boleh berjaya, asalkan diberi bimbingan dan sokongan yang betul,” ujarnya yang juga dikenali ramai kerana pendekatan mesra dan teknik pengajaran yang berkesan, terutama dalam subjek-subjek ‘killer’ seperti Fizik, Kimia dan Matematik.

Roadtour Skor A+ PTTI Bakar Semangat Pelajar

Majlis penyerahan tajaan ini berlangsung meriah semasa Roadtour Skor A+ SPM PTTI di IDCC Shah Alam, yang menghimpunkan hampir 4,000 calon SPM dari seluruh negara.

Selain Syed Saddiq, kehadiran Bella Astillah yang tampil berkongsi kisah hidup turut menyentuh hati para pelajar. Turut memeriahkan acara adalah selebriti terkenal seperti MK K-Clique, Iman Troye, Nabila Razali, Zaki Yamani, dan ramai lagi memberikan inspirasi serta semangat kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE 

Published by
Rosmah Idayu