Resipi Thai Red Ruby Viral, Selain Tepung Ubi Semata Kena Letak Sengkuang Cina Barulah Tak Liat

Share

Dua tiga hari ramai mak-mak yang post resipi viral Thai Red Ruby Dessert atau butir delima.Mungkin kerana warnanya yang merah seperti batu delima, membuatkan pemanis mulut ini kelihatan amat menarik untuk dicuba. Tapi ramai juga yang mengeluh kecewa sebab hasilnya, butir-butir tersebut hanya nampak cantik tapi liat pula ketika dikunyah.

Jangan kecewa, sebenarnya mak-mak boleh cuba resipi yang dikongsikan oleh Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

ini. Selain menggunakan tepung ubi, resipi ini turut menggunakan Sengkuang Cina sebagai bahan utama barulah ia tak liat dan rasa lebih sedap.

Berikut antara perkongsian beliau;

“Ada tak kawan-kawan yang pernah makan Tab Tim Grob atau Red Ruby Dessert. Pemanis mulut yang berasal dari negara Thai ini dibuat menggunakan Sengkuang Cina sebagai bahan utamanya.Ianya sangat mudah untuk disediakan dan merupakan hidangan yang sangat menyegarkan terutama sekali bila dihidangkan ketika cuaca panas.Semalam terjumpa sengkuang cina (water chestnuts) dijual di pasaraya.Apalagi terus saja beli untuk membuat bubur ini.”

Bahan-Bahan Red Rubies:

Sengkuang cina (water chestnuts)
Tepung ubi
Pewarna merah

Sirap:
1 cawan air
1 cawan gula pasir
1 helai daun pandan disimpul

Bahan Untuk Kuah:

Santan sederhana pekat atau susu cair (atau campuran santan dan susu cair) – boleh guna santan fresh atau dimasak terlebih dahulu
Sirap (resipi di atas)
Secubit garam
Air jika perlu
Air batu

Cara Membuat:

1.Mula-mula kita sediakan dulu sirap untuk pemanis mulut ini.Satukan 1 cawan gula bersama 1 cawan air dan sehelai daun pandan yang disimpul. Masak sehingga mendidih dan kemudian kacau hingga gula larut. Angkat dan biar hingga sejuk.

2.Sengkuang cina dibuang kulitnya. Isinya didadu kecil-kecil.Kemudian, satukan sengkuang cina yang didadu dengan pewarna merah secukupnya. Gaul hingga rata dan ketepikan selama beberapa minit.

3.Sementara itu, masukkan air yang banyak di dalam periuk dan jerang atas api sederhana.

4.Toskan sengkuang cina yang telah digaul dengan pewarna tadi dan gaul bersama tepung ubi. Masukkan sengkuang yang digaul bersama tepung ubi ke dalam penapis sayur atau penapis santan dan ayak untuk mengasingkan lebihan tepung.

5.Bila air yang dijerang tadi telah mendidih, masukkan sengkuang yang bersalut tepung ke dalamnya.Masak beberapa minit hingga adunan terapung pada permukaan air.

6.Adunan yang terapung menunjukkan ianya telah masak.Sama kaedahnya seperti membuat kuih buah melaka.

7.Sediakan bekas yang berisi air + air batu.

8.Cedok adunan Red Ruby yang telah masak menggunakan penapis besi dan masukkan ke dalam bekas yang berisi air bercampur air batu tadi.Ketepikan sehingga sejuk.

9.Untuk membuat kuahnya campurkan santan atau susu cair bersama sirap dan air batu. Jika perlu, tambahkan sedikit air untuk mendapat kepekatan yang diingini. Kalau kawan-kawan kurang gemar menggunakan santan fresh, boleh juga dimasak santan tu dahulu.

10.Cara menghidang Red Ruby.. Masukkan si delima merah ke dalam bekas hidangan.. Kemudian tuangkan kuah santan (atau susu) yang disediakan tadi.

Selamat Mencuba!

Sumber/Foto:Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

IKLAN