Remaja Dirempuh Kereta Dipandu Polis Hingga Maut, “Anak Yang Saya Sayang Hilang Sekelip Mata”

Share

Remaja dirempuh kereta dipandu Polis hingga maut, “Anak yang saya sayang hilang sekelip mata.” Detik cemas yang dilalui seorang ibu apabila melihat sendiri anaknya dalam keadaan sawan selepas terlibat dalam kemalangan maut, masih segar dalam ingatan. Lebih memilukan, ibu itu sendiri merupakan jururawat yang bertugas pada malam kejadian.

Remaja Dirempuh Kereta Dipandu Polis Hingga Maut, “Anak Yang Saya Sayang Hilang Sekelip Mata”

Norliza Mohd Salleh, 44, berkata insiden itu berlaku pada 28 Julai lalu ketika dia baru sahaja memulakan syif malam di Hospital Yan. Menurutnya, dia sudah berada di Jabatan Kecemasan ketika kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba membawa mangsa.

“Saya tunggu di kecemasan dan apabila kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sampai, sebaik buka pintu, luluh hati saya lihat anak dalam keadaan tidak sedar,” katanya sebak.

Tambah Norliza, walaupun tiada kesan luka luaran pada tubuh anaknya, namun hasil pemeriksaan doktor menunjukkan kecederaan serius di bahagian kepala.

Norliza menjelaskan, tidak sanggup melihat rakaman video CCTV yang tular membabitkan anaknya.

“Memang terlalu sedih…anak yang saya sayang hilang sekelip mata,” luahnya.

Anaknya, Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16, telah terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat pekan Guar Chempedak bersama sebuah kereta yang dipandu oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.

Siasatan awal melalui rakaman CCTV menunjukkan kenderaan yang dipandu anggota terbabit dari arah Jenun ke Yan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah, lalu merempuh motosikal ditunggang Muhammad Nur Iman yang datang dari arah Alor Setar ke Gurun.

Akibat daripada perlanggaran itu, remaja berkenaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum disahkan meninggal dunia tiga hari kemudian.

Norliza ditemui media di pekarangan Mahkamah Majistret Gurun, Rabu lalu ketika hadir untuk mengikuti prosiding kes pertuduhan terhadap anggota polis terlibat, Koperal Azhar Mat Saini, 52, yang didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian anaknya.

Mohd Roshidi dan Norliza (dua dari kiri) ditemani ahli keluarga di Mahkamah Majistret Gurun pada Rabu.

Dalam pada itu, Norliza turut menyatakan bahawa dia tidak sanggup untuk melihat rakaman CCTV yang kini tular dan merakam detik kemalangan membabitkan anaknya.

Sementara itu, suaminya Mohd Roshidi Alias, 44, memaklumkan bahawa mereka sedang merancang untuk melantik peguam pemerhati bagi memastikan keadilan ditegakkan.

“Kami akan ikut setiap perkembangan kes ini malah kami rancang lantik peguam. Saya anggap ini (pertuduhan di mahkamah) adalah permulaan bagi keadilan buat anak saya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Baca artikel lain juga: Kakak Sulung Pernah Meraung Dengar Lagu Achik Spin Di Pasar Raya Kalau Lagunya Dimainkan Di Radio, Terus Saya Tutup

https://www.mingguanwanita.my/ibu-tunggal-desak-siasat-kematian-anak-saya-syak-anak-dicederakan-dipukul-dibelasah-hingga-maut/

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

 

 

 

Published by
Has