Remaja 14 Tahun & Teman Lelaki, Kelar Leher Abang Balut Dengan Plastik

Share

Cukup membimbangkan dengan laporan berita terkini, adik beradik berselisihan faham sampai sanggup bertindak kejam hingga berlaku pembunuhan. Lebih menyedihkan ia dilakukan oleh remaja yang masih usia di bangku sekolah.Berita ini bukan berlaku di luar negara, tetapi berlaku di negara kita.

Bunuh Abang Kandung Sendiri

Remaja perempuan berusia 14 tahun dan teman lelakinya ditahan polis kerana dipercayai membunuh abang kandungnya sendiri selepas mayat mangsa ditemui di belakang rumah kosong bersebelahan rumahnya di Taman Glenview, Kamunting, Taiping, semalam.

Mayat mangsa berusia 16 tahun ditemui pada 12.18 tengah hari dengan kesan kelar di leher dan kedua-dua pergelangan tangannya manakala keseluruhan tubuhnya dibalut dengan plastik.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, polis sebelum ini menerima laporan kehilangan mangsa yang juga pelajar sekolah menengah di Taiping, Jumaat lalu.

Kesan Kelar & Dibalut Plastik

Beliau berkata, laporan polis itu dibuat kakaknya selepas mangsa tidak pulang ke rumah dari sekolah pada hari berkenaan.

“Pemeriksaan dijalankan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kelar di leher serta pergelangan tangan manakala mayatnya dibalut dengan plastik, mayat disahkan keluarga sebagai remaja yang dilaporkan hilang itu.

“Hasil siasatan, polis menahan adik perempuan mangsa serta teman lelakinya berusia 15 tahun dan kedua-dua mereka mengaku membunuh mangsa,”

katanya.

Pergaduhan Mengenai Telefon Bimbit

Osman berkata, siasatan awal mendapati motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada pergaduhan mangsa dengan teman lelaki adiknya selepas telefon bimbit milik suspek tertinggal di rumah mereka.

“Mangsa yang pulang dari rumah pada hari kejadian dipercayai mendapati adik perempuannya membawa rakan termasuk teman lelakinya masuk ke rumah, namun semua mereka beredar selepas melihat mangsa pulang.

“Telefon bimbit teman lelaki adiknya dipercayai tertinggal sebelum mangsa menjawab panggilan telefon dari suspek sebelum mencabarnya untuk mengambil sendiri telefonnya dan dipercayai berlaku pergaduhan antara mereka,” katanya.

Osman berkata, mengikut keterangan kedua-dua suspek, mereka dipercayai mengelar leher mangsa dan kedua-dua pergelangan tangan mangsa dengan pisau sebelum menyerkup kepala mangsa dengan plastik untuk membunuhnya.

Beliau berkata, siasatan unit forensik polis menemui pisau digunakan suspek manakala mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat yang dijangka dijalankan malam ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

MW: Cukup menakutkan anak remaja kini semakin berani. Lebih menyedihkan ia pertelingkahan diantara adik beradik sehingga sanggup berbunuhan. Dimanakah silap kita sebagai mak ayah dalam mendidik anak-anak, gagal menyemai rasa kasih sayang diantara mereka.

Sumber: Hmetro

IKLAN