
rebah ketika menunaikan solat
Seorang lelaki rebah ketika menunaikan solat, ini satu pemergian yang cukup menginsafkan. Dijemput Ilahi dalam keadaan paling mulia ketika umat Islam sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri, ramai cemburu dengan pengakhiran hidupnya yang cukup mudah dan indah.
Dalam satu kejadian yang menyentuh hati, seorang lelaki dilaporkan rebah sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menunaikan solat di Surau Taman Seri Jenaris, Tikam Batu pada 1 Syawal.
Arwah, Rusli Ab Wahab, 63, dikenali sebagai seorang yang baik dan istiqamah menunaikan solat berjemaah di surau serta masjid setiap kali masuk waktu. Kehilangannya amat dirasai oleh jemaah setempat.
Menurut rakannya, Kadir Din, 63, arwah sempat melaungkan azan sebaik sahaja masuk waktu Zuhur sebelum menunaikan solat sunat secara bersendirian.
“Saya ketika itu berada di luar mengambil wuduk. Bila masuk ke dalam, saya nampak arwah sudah rebah,”
katanya.Lebih menyentuh perasaan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan detik-detik terakhir arwah — beliau sempat menunaikan solat sunat, namun ketika sujud kedua, tiba-tiba rebah dan tidak lagi sedarkan diri.
Pihak ambulans segera dihubungi, namun pemeriksaan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan arwah telah meninggal dunia di lokasi. Pemergian dalam keadaan sujud ketika beribadah, apatah lagi pada hari pertama Aidilfitri, disifatkan sebagai satu husnul khatimah yang sangat dicemburui ramai.
Jenazah arwah dimandi dan dikafankan di surau berkenaan sebelum dikebumikan selepas solat Maghrib di Tanah Perkuburan 2 Kariah Masjid Pulau Sepom, Tikam Batu.
Kisah ini menjadi peringatan buat kita semua — kematian boleh datang pada bila-bila masa, dan sebaik-baik pengakhiran adalah ketika kita sedang menghadap Allah.
Al-Fatihah.
Gambar: santai jer