Ratapan Dr Alaa Al-Najjar, sembilan anak meninggal serentak menantinya di syurga. Dalam satu tragedi yang mengoyakkan jiwa, Dr. Alaa Al-Najjar, seorang pakar pediatrik yang bertugas di Kompleks Perubatan Nasser di selatan Gaza, kehilangan sembilan daripada sepuluh anaknya apabila rumah mereka diserang dengan serangan udara Zionis.
Kejadian memilukan ini berlaku pada hari Jumaat lalu ketika Dr. Alaa sedang bertugas di hospital, meninggalkan anak-anaknya di rumah.
Menurut laporan dari hospital dan pihak berkuasa tempatan, serangan itu berlaku beberapa minit selepas suaminya, Dr. Hamdi Al-Najjar, yang juga seorang doktor, pulang ke rumah selepas menghantar Dr. Alaa ke tempat kerja.
Rumah mereka di kawasan Qizan Al Najjar, Khan Younis, musnah sama sekali dalam letupan yang dahsyat. Tubuh anak-anaknya ditemui dalam keadaan rentung dan hancur, termasuk bayinya yang berusia tujuh bulan. Antara anak-anaknya yang terkorban ialah Yahya, 12, Rakan, 10, Eve, 9, Jibran, 8, Ruslan, 7, Rival, 5, Sadeen, 3, Luqman, 2 dan Sidar tujuh bulan menemui ajal serentak.
Hanya seorang anak mereka, Adam, berusia 11 tahun terselamat tetapi dalam keadaan kritikal. Suami Dr. Alaa iaitu Dr Hamdi juga seorang pakar perubatan mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di unit rawatan rapi hospital yang sama.
Dr. Alaa sendiri, walaupun dihimpit kesedihan yang tidak terhingga, terus bekerja di hospital, memeriksa keadaan suami dan anaknya sambil menguruskan pesakit lain yang cedera akibat perang.
Dalam temuramah eksklusif dengan media Arab, Dr. Alaa digambarkan duduk dalam keheningan yang mendalam di bawah khemah sementara berhampiran rumah yang musnah, masih dalam keadaan terkejut dan tidak percaya dengan apa yang berlaku.
Beliau menangis teresak-esak apabila mayat anak perempuannya, Nibal, dikeluarkan dari runtuhan. “Saya tidak sangka akan kehilangan mereka semua dalam masa yang sama. Tiada kata yang mampu menggambarkan kesakitan ini,” katanya dengan suara yang tersekat-sekat.
Saudara suaminya, Ali Al-Najjar, menceritakan bagaimana Dr. Alaa berlari dari hospital ke rumah tanpa kenderaan, hanya untuk menemui mimpi ngeri setiap ibu bapa bila mana tubuh anak-anaknya yang hangus dibawa masuk ke hospital tempat dirinya bertugas.
“Dia mula menjerit dan menangis apabila mengenali mayat anak-anaknya,” kata Ali.
Dr. Muneer Al-Bursh, Pengarah Kesihatan Gaza, mengesahkan bahawa serangan itu adalah “penyasarannya sengaja” terhadap rumah keluarga Dr. Alaa, yang diketahui sebagai kawasan kediaman tanpa kaitan dengan mana-mana pihak bersenjata. “Mereka membedil rumah yang menempatkan dua doktor dan sepuluh anak kecil yang tidak berdosa,” katanya.
Rakan sekerja Dr. Alaa menggambarkan beliau sebagai seorang yang tabah dan tenang walaupun jiwa hancur. “Dia berdiri teguh, penuh kesabaran dan penyerahan. Dia menyerahkan anak-anaknya kepada Tuhan dan kembali berkhidmat untuk menyelamatkan nyawa lain,” kata Dr. Youssef Abu Al Rish, pegawai kanan kesihatan.
Kisah Dr. Alaa bukan sahaja mencerminkan tragedi peribadi seorang ibu, tetapi juga gambaran penderitaan rakyat Gaza yang terperangkap dalam konflik yang tiada berkesudahan. Ia adalah satu seruan keadilan dan kemanusiaan di tengah-tengah kekejaman perang yang meragut nyawa tanpa pilih kasih.
Penderitaan dan ratapan Dr Alaa Al-Najjar ini bukan dirinya seorang melalui tapi ribuan rakyat Palestin yang diuji dengan kezaliman zionis. Kesedihan hatinya di dunia dibalas Allah dengan kebahagiaan di syurga kerana dari rahimnya lahirnya anak-anak syurga ini. Sama seperti dilalui oleh ibu-ibu di Palestin yang berjihad demi tanahair mereka.
Al-Fatihah buat kesemua anak-anak Dr Alaa dan Dr Hamdi yang syahid di bumi Allah dan bakal menanti ibu bapa mereka di syurga.
TONTON VIDEO MENARIK DI SINI :-
Demikian luah Hawa Osman ibu kepada arwah Zulfarhan yang didera kejam ditekap dengan seterika wap sebanyak 90 kali termasuk di kemaluan.