Biasa yang mak-mak tahu, keropok lekor guna isi ikan kan. Kali ini mak-mak boleh cuba keropok lekor viral mi segera. Cara buatnya pun mudah saja. Mak-mak yang nak cuba boleh hadamkan perkongsian Puan Zuraita Mohd Anua ini.
“Keropok lekor guna mee segera. Selama ni cuma tahu boleh buat murtabak, tak sangka buat keropok lekor pun boleh. Resipi suruh guna mee segera Sedap, saya takde. Saya ganti dengan IndoMie Soto jer.”
“Saya tengok resipi ni kat Forum Cari. Senang giler buatnya. Confirm jadi. Anak-anak pun suka. Yang penting, makan masa panas-panas tau! Baru best. Dah sejuk, dia liat sikit macam keropok lekor jugak. Cubalah ye!”
Macam Ini Cara Buat Keropok Lekor Viral Mi Segera
Mudahkan nak membuatnya mak-mak. Lepas ini bolehlah hidangkan keropok lekor viral mi segera dekat keluarga bila-bila masa yang mereka suka. Tak perlu tunggu sampai nak ke Pantai Timur.
Sumber/Foto : Zuraita Mohd Anua
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Permukaan Jalan BERLOPAK Hingga GAGAL Kawal Motosikal, Anak Meninggal, Emak PARAH
Malang tidak berbau. Seorang anak tidak tercapai hajatnya untuk membawa emak bagi mendapatkan rawatan apabila mereka terlibat dalam kemalangan sebelum sempat tiba di klinik. Kemalangan itu telah meragut nyawa sang anak dan emaknya pula cedera parah. Ternyata telah tiba waktunya, dia pergi dahulu dijemput Ilahi.
Kejadian yang berlaku di sebuah selekoh ini dipercayai berpunca daripada keadaan jalan yang berlopak dan akhirnya membuatkan pemuda ini gagal mengawal motosikalnya. MW mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan semoga Allah menempatkan rohnya di kalangan orang yang soleh.
Pemuda Maut & Ibunya Parah Terlibat Kemalangan
Pemuda maut manakala ibunya parah selepas motosikal dinaiki terbabas dan merempuh tembok pagar sebuah rumah di Jalan Kampung Ewa, Langkawi, semalam.
Dalam kejadian 4.30 petang itu, penunggang motosikal, Mohammad Rosidi Rohim, 29, disahkan maut di tempat kejadian, manakala ibunya, Che Su Said, 61, parah.
Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian dua beranak itu dalam perjalanan dari Felcra Kok ke Klinik Ayer Hangat bagi mendapatkan rawatan penyakit asma dihidapi warga emas itu.
Gagal Mengawal Motosikal
“Tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang laju gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas ke kanan jalan dan merempuh pagar rumah penduduk.
“Akibat rempuhan kuat, mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan paramedik, manakala ibunya patah kaki kanan,” katanya ketika dihubung hari ini.
Mohd Iqbal berkata, mangsa maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat, manakala wanita warga emas itu turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati permukaan jalan berlopak dan berselekoh serta ada garisan berkembar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber: Harian Metro
MW: Keadaan jalan raya yang berlopak dan tak diselia dengan baik kadang-kadang membahayakan nyawa penunggang motosikal dalam diam. Oleh itu, sebagai penunggang motosikal berhati-hatilah setiap kali menghampiri selekoh atau menggunakan jalanraya. Sayangilah insan tersayang.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Buat Wanita Yang Ada Suami Tunjukkan Cemburu, Jangan Simpan!” Heykal Hanifah
Faezah Elai tidak pernah ada sifat cemburu terhadap suaminya. Walau isterinya tidak pernah tunjukkan sikap cemburunya, tidak bermakna Heykal Hanifah suka dengan perasaan tersebut. Kadang-kadang dia mahu isterinya itu cemburu.
Cara Heykal mudah sahaja. Dia akan keluar rumah tanpa beritahu isterinya.
“Dia tetap cemburu bila saya keluar tidak beritahu dia. Kadang-kadang saya sahaja hilang tanpa beritahu. Saya start motor dan terus pergi keluar. Saya tidak bawa telefon. Saya pergi jumpa kawan-kawan di Kawasan perumahan contohnya. Selepas balik ke rumah, saya pasti dia akan tanya ke mana saya pergi.”
Bagi Heykal, apabila pasangan tidak ada perasaan cemburu, diri kita sendiri kena cipta cemburu itu.
“Buat wanita di luar sana yang ada suami itu, tunjukkan cemburu. Jangan simpan. Kalau simpan dan kemudiannya terkubur, tidak ada gunanya.”
Pesan Heykal, semua orang perlu mengawal sikap cemburu masing-masing.
“Kalau tidak tahu mengawalnya, ia akan lepas dan membuatkan diri berada dalam keadaan negatif. Cemburu itu perlu tetapi kena pandai control.”
Mengawal Suhu Cemburu?
Cara yang Heykal lakukan adalah memujuk isterinya jika dia merasakan sudah lama tidak memujuknya.
“Merajuk itu kadang-kadang satu benda yang fun dalam rumah tangga sebenarnya. Sebenarnya banyak cerita dalam TV itu sebenarnya based pada cerita saya. Sebab itu saya suka berimaginasi lebih. Oleh itu jangan banyak simpan cemburu.”
Kurus Sebab Shah Rukh Khan?
Shah Rukh membawa pengaruh besar dalam hidup suami Faezah Elai. Mana tidaknya, berat Heykal Hanifah yang sebelum ini 121 kg telah turun sehingga 87 kg.
Mengapa Shah Rukh Khan? Isu Shah Rukh Khan muncul apabila pasangan suami-isteri ini berkongsi pendapat mereka berkaitan topik Cemburu Buta Bunuh Perkahwinan yang dikupas di Mingguan Wanita Talkshow di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD.
Heykal mengakui Shah Rukh Khan menjadi inspirasi dan motivasi buat dirinya untuk mengurangkan berat badan.
“Ada juga inspirasi hendak jadi kurus seperti Shah Rukh Khan. Sekurang-kurangnya apabila kita duduk depan cermin, kita boleh bayangkan diri seperti Shah Rukh Khan. Tetapi tidak pernah dapat nak buat.”
Sebenarnya bukan sebab Shah Rukh Khan sahaja dia mahu mengurangkan berat badan. Jelas Heykal, setiap kali dia mahu menurunkan berat badan. Ada sahaja yang menghalang. Hanya setelah dirinya dihina oleh seseorang, barulah niatnya untuk mengurangkan berat badan itu menjadi.
“Ada orang pernah cakap kepada saya yang saya ini seperti badak Sumatra. Saya anggap serius apabila orang berkata begitu. Sebab itu saya buat betul-betul.”
Walau dirinya telah berubah fizikal ke arah yang lebih menyihatkan, Heykal mengakui isterinya itu tidak pernah menunjukkan sikap cemburunya dengan perubahan bentuk badannya.
Kena Belajar Redha
Suami sudah kurus dan pasti ada wanita yang ingin mendekati. Bagaimana Faezah menghadapinya? Jelas pelakon wanita yang kini lebih suka menggayakan tudung labuh ini, dia tidak pernah cemburu apabila suaminya semakin kurus.
Sebaliknya dia bersyukur apabila suaminya dapat mengurangkan berat badan. Kurus bermakna suaminya dapat menjauhkan diri daripada mendapat penyakit.
“Doktor telah menasihatkan dia agar mengurangkan berat badan. Kami ini anak ramai. Kalau dia sakit, siapa pula yang mahu menjaga anak-anak ini.”
Jika ada sikap cemburu dalam dirinya, konsep Faezah mudah sahaja.
“Kita sudah kahwin dengan pasangan kita itu. Kalau dia mahu buat hal di belakang, itu saya boleh kata kita kena redha. Ada sebab ada kenapa benda itu terjadi. Kena belajar redha.”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dulu Hanya Ada Kedai Bawah Pokok Tapi Sekarang Dah Ada 3 Cawangan, Mereka Bukti Semua Orang Boleh Berjaya Asal Rajin Usaha Dan Tak Putus Asa
Selagi rajin berusaha dan tidak berputus asa dalam melakukan sesuatu yang disukai, kejayaan pasti menjadi milik orang yang berusaha itu. Tiga orang anak muda membuktikan hal ini apabila berjaya mempunyai perniagaan mereka sendiri yang mereka mulakan dari bawah.
Lokmanulhakim Abdul Adzis, 34, Mohd Yazid Bustamin, 33, dan Firdaus Nasir, 34, merupakan tunggak utama kepada Azbi Centre, sebuah premis yang menyediakan perkhidmatan servis penghawa dingin kenderaan. Bermula sebagai perniagaan keluarga yang dimulakan oleh abang kepada pasangan adik-beradik, Lokmanulhakim dan juga Yazid, perniagaan yang dimulakan secara rasmi pada 2014 oleh keduanya ini mula berkembang maju setelah melalui beberapa episod duka dalam meniti kejayaan.
“Azbi Centre sebenarnya berasal daripada perniagaan keluarga yang diasaskan oleh abang saya di Kuang, Sungai Buloh, Selangor. Pada tahun 2014, saya dan adik saya, Yazid, mengambil keputusan untuk membuat penjenamaan semula dan menaikkan nama Azbi ke peringkat yang lebih baik. Dengan bermodalkan wang ringgit yang ada dan dengan sedikit kepakaran dalam perkhidmatan servis penghawa dingin kenderaan, kami berjaya menjalankan perniagaan secara enterprise di sebuah premis yang terletak di Kuang, Selangor.
“Namun mungkin nasib kami tidak berapa baik dan belum cukup ilmu di dada dalam menguruskan perniagaan yang pada ketika itu sudah menunjukkan peningkatan, perniagaan yang dijalankan mengalami masalah yang melibatkan pihak lain sehingga menyebabkan kami hilang tempat untuk meneruskan perniagaan.Bagi saya dan Yazid, itu adalah waktu paling teruk dalam perniagaan kami kerana kami baru sahaja ingin memulakan kehidupan dalam perniagaan.
“Tapi kami berdua tidak putus asa. Kami anggap apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk kami lebih berhati-hati dalam menguruskan perniagaan yang dipilih pada masa akan datang. Tahun 2015, kami mula semula daripada bawah dengan membuka sebuah kedai kecil yang hanya terletak di bawah sebatang pokok seakan gerai menjual makanan. Namun kami menawarkan perkhidmatan berbeza, khususnya buat kereta yang bermasalah dengan penghawa dingin.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah, walaupun hanya beroperasi di bawah pokok, perniagaan kami semakin maju dan mula dikenali ramai. Untuk memastikan pisang tidak berbuah dua kali, saya dan Yazid tekad untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan dalam masa yang sama menguruskan perniagaan yang baru kami bina semula ini. Yazid banyak menguruskan bahagian operasi perniagaan kami ketika ini, manakala saya pula ambil peluang untuk belajar tentang ilmu-ilmu pengurusan dan juga pemasaran dan lain-lain kelas untuk memantapkan lagi perniagaan yang kami jalankan,” jelas Lokmanulhakim selaku Pengarah Urusan Azbi International Sdn Bhd.
Kuasa Viral
Biarpun hanya menjalankan perniagaan di bawah pokok, dengan ilmu pemasaran yang baru dipelajari menjadi faktor perniagaan kedua anak muda ini mula dikenali ramai.
“Kami mula membuat page secara atas talian, buka akaun di media sosial. Kami berkongsi tip, maklumat, buat iklan secara online. Apa yang membuatkan orang ramai lebih mengenali kami adalah apabila kami berkongsi satu video mengenai masalah penghawa dingin yang sering dialami oleh pengguna kereta Myvi. Bermula daripada situlah Azbi Centre mula mendapat pelanggan-pelanggan baru yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan kami,” tambah Lukmanulhakim lagi.
Dengan kuasa viral daripada perkongsian video yang dimuat naik di internet, Oktober 2015 bagaikan satu anjakan paradigma buat perniagaan kami, kedai yang hanya beroperasi di bawah pokok berjaya membuat rekod jualan yang cukup baik sepanjang tahun dan ia berterusan sehingga ke penghujung tahun yang mana menjadi titik tolak untuk Lukmanulhakim dan Yazid membuat keputusan untuk melangkah ke satu tahap yang lebih baik.
“Walaupun kami hanya beroperasi di kedai bawah pokok, Alhamdulillah kami berjaya membuat rekod jualan terbaik sepanjang tahun pada bulan Oktober. Ia berterusan dan dengan perolehan yang kami dapat itu, saya rasa ini adalah waktu terbaik untuk kami menaik taraf kedai yang sedia ada.
“Syukur semuanya dipermudahkan, kami mendapat semula kedai yang dahulunya pernah menjadi tapak bermulanya perniagaan kami. Sejak itu perniagaan kami semakin berkembang maju dan sehingga kini Azbi Centre sudah mempunyai tiga cawangan di Lembah Klang, iaitu di Sungai Buloh, Shah Alam dan juga Gombak,” Ujar Yazid yang merupakan Pengarah Operasi syarikat tersebut.
Belajar dari pengalaman
Meskipun ketiga-tiga anak muda ini tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang khusus dalam bidang automotif atau lebih tepat lagi pengkhususan dalam komponen penghawa dingin kereta, namun pengalaman dan pembelajaran yang diperoleh suatu ketika dahulu menjadikan mereka arif dan lebih mengenali bidang yang mereka ceburi ini.
Menurut Pengarah Stratergi & Pembangunan Azbi International Sdn Bhd, Firdaus Nasir, dia yang baru sahaja menyertai dua orang sahabatnya iaitu Lukmanulhakim dan Yazid pada awal tahun 2017, perniagaan yang dijalankan mempunyai satu standard SOP yang ditetapkan supaya mudah untuk dilakukan oleh kakitangan mereka yang terlatih.
“Dari segi teknikal, Yazid yang sebenarnya paling mahir antara kami bertiga. Walaupun tidak mempunyai kelulusan khusus dalam automotif dari mana-mana institusi pengajian yang ada, tapi kerana pengalaman yang diperolehnya ketika bekerja bersama abang mereka suatu masa dahulu banyak membantu. Dengan pengalaman itulah kami bersama-sama hasilkan satu standard SOP setiap kali memberikan servis kepada pelanggan di kedai kami. Dari situ kami tahu apa yang berlaku kepada setiap kereta yang datang dan Alhamdulillah, rata-rata pelanggan kami berpuas hati dengan servis yang kami berikan,” tambahnya.
Peluang Pekerjaan Kepada Yang Berminat
Mengakui bidang yang mereka ceburi ini mempunyai potensi yang besar dalam menjana pendapatan, Lukmanulhakim berharap perniagaan yang dijalankan dapat berkembang maju sekali gus dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang berminat untuk menyertai mereka.
Azbi Centre juga turut bekerja sama dengan Pusat Giatmara di sekitar Selangor bagi mencari pelapis dan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang berminat untuk menceburi bidang automotif kereta.
“Kami yakin bidang ini sangat berpotensi untuk pergi jauh. Harapan kami di masa hadapan kami akan berjaya menempuh cabaran yang semakin hari semakin hebat dengan persaingan yang semakin banyak. Kami juga mempunyai perancangan untuk menambah 10 lagi cawangan lain di sekitar Lembah Klang dalam masa lima tahun akan datang.
“Besar juga harapan kami dengan terlaksananya impian tersebut kami dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak bangsa sama ada yang mempunyai sijil atau yang tiada apa-apa kemahiran untuk belajar dengan kami dari awal hingga mereka dapat ilmu secukupnya tentang pengendalian dan membaiki penghawa dingin kereta kerana kami turut bekerjasama dengan Pusat Giat Mara bagi mencari pelapis dalam bidang ini,” akhirinya penuh harapan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI