Dalam dunia ini banyak tabiat pelik dan kadang-kadang tak masuk dek akal. Selain orang mengandung yang kerap dikaitkan dengan tabiat pelik, kanak-kanak kecil juga seringkali dikaitkan dengan pelbagai tabiat pelik.
Begitu juga dengan remaja ini yang dikaitkan dengan tabiat peliknya yang suka mengunyah dan menelan rambut. Bayangkan rambut pun dia makan. Perkara ini terkantoi bila doktor terjumpa 7 kilogram gulungan rambut seorang remaja di India.
Rambut Pun Dia Makan
Di New Delhi, seorang remaja perempuan di India mempunyai tabiat pelik apabila gemar mengunyah dan menelan rambutnya sejak beberapa tahun lalu.
Perkara itu terbongkar selepas doktor merawatnya mendapati sesuatu yang aneh iaitu terdapat gulungan rambut di dalam perutnya.
Sweety Kumari, 17, menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di daerah Bokaro, Jharkhand, penghujung bulan lalu.
Dalam pembedahan selama enam jam itu, doktor berjaya membuang tujuh kilogram (kg) rambut dari dalam perutnya.
Memetik laporan Daily Star, doktor yang mengetuai pembedahan GN Sahu berkata, ia adalah kali pertama dia berdepan dengan kes seperti itu selepas bertugas selama 40 tahun.
Pada awalnya, doktor mengesyaki remaja itu menghidapi ketumbuhan berdasarkan pemeriksaan pertama menggunakan kaedah ultrabunyi.
Ads
Tabiat Aneh Telan Rambut
Doktor kemudian berasa curiga selepas mendapat tahu remaja terbabit mempunyai tabiat aneh iaitu gemar menelan rambut.
Hanya selepas pemeriksaan lanjut, doktor mendapati ada gumpalan rambut di dalam perut Kumari.
Dalam pada itu, media melaporkan keadaan itu dikenali sebagai Sindrom Rapunzel adalah antara masalah kesihatan yang amat jarang di dunia.
Menurut Jurnal Perubatan Britain, terdapat kira-kira 90 kes seumpama itu di seluruh dunia pada 2018.
MW: Jangan pelik ya dengan tabiat pelik manusia kerana terdapat banyak ragam manusia yang kadang-kadang kita tak terjangka dek akal.
Wahai suami isteri, berhati-hatilah ketika upload content di media sosial. Bukan semua perkara boleh dijadikan content di media sosial. Lagi-lagi melibatkan content ‘unboxing isteri’ apatah lagi ‘unboxing by husband.
Ustaz Farid Rashidi mengulas akan isu yang sedang trending ketika ini isteri diunboxing oleh suami sendiri atau pun ‘Unboxing Isteri’ di Tik Tok. Istilah yang selalu digunakan apabila membeli barang.
Sedih, bila isteri itu dah jadi macam barang. Isteri pula, jangan lah terlalu ‘lurus’ hingga hilang malu. Sebenarnya, ada perkara yang tak perlu pun nak beritahu orang lain.
Muncul trend Unboxing by Husband di TikTok. Entahlah, rasa kecewa, sedih semua ada. Saya tak ada akaun Tiktok pun, tapi bila viral di FB jadi terbacalah apa yang viral di sana.
Katanya trend pasangan pengantin muda baru nikah kemudian di unboxing oleh suami sendiri. Yang rakam isteri sendiri pula tu. Aduhai.
Selalu istilah ni orang guna bila beli barang. Tapi ini suami sendiri buat kat isteri. Seolah-olah isteri diperlakukan semacam barang pula. Astaghfirullahal Azim.
Demi sebuah content, malu dan maruah diri diselak sesuka hati. Ya benar hubungan suami isteri itu halal, tapi halal bukan bererti boleh mempertontonkan aksi intim suami isteri sebegitu. Hatta di depan anak-anak sekali pun. Rahsia dan aib rumahtangga perlu disimpan rapi.
Tugas Suami Jaga Isteri Dan Maruah Diri
Tugas suami ialah menjaga isteri dan maruahnya, mendidik serta memberi pengajaran berguna agar menjadi pembantu terbaik saat pelayaran bahtera rumahtangga. Bukan mengajar sesuatu yang pelik bercanggah dengan syariat Islam serta menjatuhkan maruah diri sebegitu.
Hati-hati, semua itu akan diperhitungkan. Ingat, amanah itu berat. Jenuh nak menanggungnya. Dan hidup bukan sekadar untuk suka-suka setiap masa. Ada batasnya ya.
Bukan batas ubi kentang, tapi batas syariat Islam.
#UFR
Mingguan Wanita : Biar pun ada yang kata sekadar buka jarum peniti, perlu difahamkan konsep ‘unboxing’ itu sendiri yang dengan kata mudahnya selak, buka satu persatu. Jangan mudah terikut-ikut. Berhati-hatilah bila berkongsi di media sosial wahai suami isteri.
Restoran nasi kandar ditutup kerana beroperasi dalam keadaan kotor, dapur menjijikkan, berbau dan ada tahi lipas. Sebuah restoran nasi kandar 24 jam dikesan beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan diarah tutup selepas diperiksa dalam Operasi Khas Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak di sekitar Station 18, di Ipoh.
Restoran Nasi Kandar Ditutup Kerana Beroperasi Dalam Keadaan Kotor
Pemeriksaan dilakukan juga mengesan, barangan masakan seperti mi segera, bawang, kentang dan tepung dibiarkan dalam keadaan terbuka dan hanya ditempatkan di laluan tangga kediaman pekerja.
Dapur Menjijikkan, Berbau & Ada Tahi Lipas
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, arahan penutupan selama 14 hari itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Dalam pemeriksaan bermula sekitar jam 9.30 malam itu mendapati, premis terbabit sengaja membiarkan dapur dalam keadaan tidak bersih, berbau dan terdapat tanda najis lipas.
“Saya sangat sedih dan tidak boleh terima perkara seumpama ini masih berlaku di premis makanan sedangkan di luar ramai pelanggan dan mereka tidak tahu pun keadaan sebenar.
“Kalau boleh diberi penilaian mengenai tahap kebersihan premis ini, saya akan beri markah kosong. Keadaannya sangat teruk sehingga boleh membuatkan kita rasa loya dan hampir muntah,” katanya.
Operasi bersepadu dijalankan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan polis itu turut disertai Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Noor Rizawati Mahpot dan Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani.
Sivanesan berkata, operasi sama telah digerakkan di seluruh negeri bertujuan menambah baik isu kebersihan premis makanan khususnya yang beroperasi 24 jam dan premis-premis yang beroperasi pada sebelah malam.
Katanya, sebanyak 359 premis terlibat dalam pemeriksaan tersebut dan sejumlah 316 notis kesalahan dikeluarkan kepada pengendali makanan melibatkan kompaun RM44,200 kerana tidak mematuhi kehendak di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.
“Bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pula, sebanyak 81 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai kompaun lebih RM20,000.
“Operasi kali ini turut dijalankan aktiviti pensampelan makanan dan swab pengendali makanan bagi menentukan tahap kebersihan sebenar premis,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 5,443 pemis makanan diperiksa melalui aktiviti penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan dibawahnya.
“Daripada jumlah itu, 1,330 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai kompaun RM244,176 dan sebanyak 31 premis makanan pula telah dikenakan perintah penutupan sementara kerana premis tidak suci,” katanya.
Dalam pada itu, petugas media yang mengikuti pemeriksaan di empat restoran makanan dimaklumkan, penempatan pekerja di semua premis berkenaan tidak mendapat perakuan penginapan daripada JTK.
Mengulas perkara itu, Sivanesan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pihak majikan melakukan pelbagai pelangaran Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Kerja 1955.
Kesalahan itu termasuklah tiada kontrak kerja, tiada penyata gaji, gagal melaporkan penggajian pekerja asing dan bayaran kerja lebih masa yang tidak mengikut akta ditetapkan.
“Jumlah pekerja terlibat dalam isu ini adalah seramai 61 warga asing dan 20 warga tempatan, namun saya yakin jumlah sebenar adalah lebih ramai.
“Akta kita tidak mengasingkan pekerja asing dan tempatan jadi saya telah minta kepada Pengarah JTK dapatkan kenyataan daripada mereka mengenai pelanggaran ini,” katanya.
“Rasa dunia ini milik akak…inilah respon gembira usahawan pandan yang terpilih menerima Anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita X Nona di Malam Gala baru ini.
Kisahnya membesarkan 8 anak dengan air mata hingga hampir meracun mereka kerana tidak tahan dengan ujian tetapi akhirnya bangkit memerah keringat demi memberi pendidikan buat anak-anak.
Kisah usahawan pandan berjaya ini cukup memberikan inspirasi dan dirinya menitip pesanan buat ibu-ibu yang membesarkan anak sendirian.
“Pandanglah diri akak. Jadilah ia satu perkongsian kehidupan,” katanya yang tidak pernah menyangka menerima anugerah dari Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dalam hidupnya.
Malam gala Ibu Inspirasi dibawakan oleh @alkauthareduqids_hq, diserikan oleh @sabihahgoldhq
Setelah 9 bulan mengandung, saat yang mendebarkan pastinya melalui proses bersalin. Tak kiralah dah berapa kali pun melahirkan anak. Ibarat berjuang di ‘medan perang’, nyawa di hujung tanduk.
Namun apabila mendengar tangisan bayi yang dilahirkan, hilang segala lelah dan kesakitan menahan kontraksi tadi. Hanya doa yang dipohon semoga segala proses kelahiran berjalan lancar. Proses pemulihan pula bergantung sama ada selesa dengan berpantang secara tradisional ataupun moden.
Pelakon dan usahawan, Noor Neelofa Mohd. Nor, 34, serta suami, Haris Ismail, 28, tentunya antara insan yang paling teruja menanti kehadiran cahaya mata kedua mereka yang dijangka lahir tidak lama lagi.
Keterujaan itu dikongsikan pasangan berkenaan sewaktu ditemui pemberita sempena pembukaan restoran Rightside di Mont Kiara, dekat sini, semalam.
Kehamilan Kedua Lebih Tenang & Senang
Kata Neelofa, dia dan suami menanti hari kerana cahaya mata kedua mereka bakal dilahirkan pada bila-bila masa sahaja.
“Alhamdulillah, banyak perkara yang Allah S.W.T mudahkan untuk saya. Kehamilan kedua ini lebih tenang dan senang. Tak ada alahan yang berlaku.
“Namun, cabaran mengandung memang ada. Kesukaran dan kesakitan, lebih-lebih pada fasa trisemester memang ada.
“Tetapi saya bersyukur, semua dipermudahkan. Bila-bila masa sahaja saya akan melahirkan. Saya mohon doa semua agar proses kelahiran ini nanti berjalan lancar, Insya-Allah,” katanya.
Telah Memilih Nama Anak Kedua
Dalam masa sama, Neelofa turut memaklumkan dia dan suami sudah memilih nama yang akan diberikan kepada anak kedua mereka itu. Katanya, perkara itu akan dikongsikan kepada umum pada masa yang sesuai nanti.
“Nama memang sudah diputuskan. Kami akan kongsikan pada hari ketujuh selepas anak kami dilahirkan nanti,” kongsinya lagi.
Neelofa dan Haris sah menjadi suami isteri pada Mac 2021. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Muhammad Bilal yang dilahirkan pada 29 Januari 2022.
Tak Sabar Berpantang Secara Tradisional
“Saya lahir dan sempat membesar di kampung, tak sabar nak berpantang secara tradisional”
Itu yang dikongsikan Neelofa apabila ditanya tentang perancangan berpantang selepas melahirkan. Katanya, dia lebih selesa dan yakin cara berpantang ala kampung.
“Insya-Allah, kami akan guna khidmat pakar yang datang dari kampung Haris untuk membantu saya sepanjang 40 hari saya berpantang nanti.
“Saya sangat berharap agar proses pemulihan selepas bersalin nanti dipermudah Allah S.W.T,” katanya.
Pilih Rahsiakan Wajah Anak
Seperti cahaya mata, Muhammad Bilal, Neelofa dan Haris juga merancang untuk merahsiakan wajah anak kedua mereka usai bayi itu dilahirkan nanti.
Kata Haris, tindakan itu wajar dan merupakan pilihan dia dan isteri.
“Ada tempoh yang kami rasakan perlu rahsiakan wajah anak kami lebih-lebih pada fasa-fasa awal selepas dia dilahirkan nanti.
“Tapi kalau ada yang ternampak dan mengambil video atau gambar, kami tak boleh nak halang mereka. Kami juga mahu anak kami membesar dalam persekitaran yang normal,” kongsi Haris.
Keluarga Allahyarham Mustaqqeem Mansor merayu siasatan terperinci dijalankan berhubung tragedi Gunung Liang yang meragut nyawa beliau. Ibunya, Rohani Saad, reda dengan ketentuan Ilahi namun mempersoalkan mengapa anaknya ditinggalkan di puncak gunung tanpa laporan polis atau bantuan segera.