Musim hujan-hujan ni memang perut selalu lapar dan minta diisi. Jika nak buat sarapan atau minum petang yang mudah, mak-mak boleh cuba resipi Roti Telur Sardin viral yang sedap ni. Hanya guna 6 bahan utama je dan cukup mudah disediakan dan pastinya sedap terutamanya bila makan panas-panas.
Berikut perkongsian resipi oleh Nur Aisya sebagai rujukan.
Bahan-Bahan:
Sardin
3 biji telur
Sedikit Lada Sulah
Sedikit Daun sup
Bawang merah (hiris)
Cili merah (hiris)
Telur
Roti Potong
Cara Membuat:
1. Campurkan semua bahan-bahan dan kacau sehingga sebati.
2.Celup roti dalam bancuhan telur, kemudian goreng dengan sedikit minyak.Goreng sehingga kekuningan.
Siap!
Info Ekstra!
Sardin tu, nak goreng dulu baru hancurkan pun boleh. Terus masukkan mentah pun boleh.
Makan dengan mayonis dan sos cili lebih sedap!
Semoga bermanfaat!
Mak-mak boleh lah cuba buat resipi roti sardin telur ini sendiri di rumah iya. Cukup mudah nak disediakan, anak-anak pun mesti suka!
Sumber: Nur Aisya
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tanam Kunyit Guna Tanah Cocopeat, Bawah Teduhan, Hasilnya Daun Lebar-lebar
Wanita ini, Alin Lin berkongsi tip menanam pokok kunyit sehingga menghasilkan daun lebar-lebar yang segar. Sebagai seorang beginner dalam bidang perkebunan, bukan mudah sebenarnya nak tanam pokok kunyit dan dapatkan daun kunyit yang subur.
Melalui proses pembelajaran selama beberapa bulan, dari pengalaman dan pembacaan, inilah tip yang dikongsikan. Sesuai untuk mereka yang baru nak mula.
“Nak cerita cara saya tanam kunyit. Sebab Ada jumpa beberapa post yang kunyitnya kering layu dan mati.
Saya juga baru je belajar menanam guna polly beg ni. Baru sangat, dalam 4-5 bulan lebih kurang.”
Cara Tanam Kunyit, Hasilkan Daun Lebar-lebar
Senang cerita kunyit,
Suka tempat yang sejuk.
Maksudnya redup. Kalau bawah matahari terus tanpa hujan, kurang siram, tanah akan jadi kering. Maka pokok kunyit akan berubah jadi kuning. Ini berdasarkan pengalaman saya tanam atas tanah yang terdedah matahari.
Tanam pokok jarak-jarak
Pokok jarak-jarak dan tak rapat, takde perlindungan kawasan matahari petang, ia memang terik. Kalau matahari pagi ok lagi. Dia mampu bertahan tapi agak terbakar hujung-hujung daunnya. Tidaklah teruk sangat. Malah, daunnya masih boleh guna.
Pindahkan Ke Polly Beg
Saya pindah dalam polly beg, letak tepi rumah dan bawah teduhan pokok rambutan. Tempat ni memang sejuk dan dapat sinaran matahari pagi. Hasilnya, daun lebih lebar dan daun lebih hijau.
Guna Baja Urea, nasi basi
Saya hanya guna baja urea. Kalau ada nasi basi saya letak sikit-sikit je kat tanah dia. Lepas tu gembur-gemburkan.
Jenis Tanah Cocopeat Dan Sekam Bakar
Tanah yang saya gunakan :
- Sekam bakar
- Sabut kelapa halus (cocopaet)
- Nisbah 3 cocopaet 1 sekam bakar
Alhamdulillah, dari 3-4 pokok kini saya mendapat 37 pokok.
Guna cocopaet ni sebenarnya senang. Saya pun baru tahu kita tak perlu siram selalu sebab tanahnya memang sentiasa lembab. Dan bila musim hujan dia tak terlalu terendam air. Tanah ini tak akan mampat so akar senang bercambah, membuatkan pokok mudah jadi besar, daun pun besar-besar. Geram tengok. Sukanyaaaaa.
Jika Ada Pokok Yang Bantut/Mati
Dalam 10 pokok yang kita tanam, mesti ada salah satunya layu, bantut dann mati. Jadi, saya korek isinya dan lihat masih cantik, keras dan tak membusuk. Jadi saya biarkan saja. Alhamdulillah, dah keluar tunas baru.
Jika Ada pokok anda yang layu dan mati. Potong semua daun dan batangnya. InsyaAllah dia akan tumbuh semula kalau isinya tak membusuk.
Jika isinya membusuk baik buang je. Gamburkan tanah. Jika tanah DH mengeras eloknya tukar tanah jika tak sesuai.
Perhatikan mereka yang menanam kunyit berskala besar sehingga berekar-ekar. Tetapi hasilnya cantik dan subur walau pun terdedah pancaran matahari.
Pada pandangan saya sebab ia ditanam rapat dan tanahnya lembab dan tak terlalu kering. Pembajaan yang bagus kerana mereka memang pakar. Tanah bersesuaian, tanah gembur dan pengairan yang bagus.
Tip Tanam, Rawat Pokok Kunyit
Puas juga saya cuba mencari di media sosial tentang bagaimana menanam kunyit. Sayangnya kebanyakannya menunjukkan cara menanamnya sahaja tapi tidak cara perawatan dan kawasan yang sesuai.
Susah sebenarnya mendapatkan ilmu jika tak ada yang ajar. Apa yang saya dapat semua dari pengalaman sendiri. Belajar dari kesilapan dan usaha sampai dapat.
Sekian ulasan saya yang panjang lebar ni.
Selamat mencuba.
Tip tanam pokok kunyit, siram air sedikit dan letak tempat teduh baru hidup.
MW : Min pun selalu gagal tanam pokok kunyit jadi subur. Bagus tipnya bolehlah dipraktikkan nanti.
Sumber/Foto : Alin Lin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pening Fikir Hidangan berbuka Nanti, Bubur Ni Jadi Penyelamat!
Pening memikirkan apa lagi hidangan untuk berbuka puasa petang nanti. Hujung Ramadan ni, ramai yang sibuk buat biskut raya dan kemas rumah. Kata orang, walau pun dalam tempoh PKP, raya tetap raya kan? So, jangan pening-pening. Kat rumah pun boleh beraya walau pun hanya dengan keluarga kecil masing-masing. https://www.facebook.com/mingguanwanita/
Pening Pilih Hidangan Yang Ringkas Dan Cepat
Bila dah penat, tentu inginkan hidangan yang ringkas dimasak saja. Menjimatkan masa dan tenaga sebab tak perlu fikirkan lauk pauk lain dah. Selain itu, cukup mengenyangkan. Ha..boleh cuba tiga hidangan bubur ini. Mudah dan pantas!
Bubur Lambuk Kacang Kuda
Bahan-Bahan:
200 gram beras
125 gram kacang kuda yang diredam selama 8 jam
1 labu bawang besar – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 batang serai – dititik
1.25 cm halia
1.25 cm kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
4 biji cengkih
1 kelopak bunga lawang
1 sudu teh serbuk rempah sup
1/2 sudu teh halba
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
50 gram ikan bilis
1 kiub pati ikan bilis
250 gram santan pekat
2 liter air
1 tangkai daun bawang
1 tangkai daun sup
Garam secukup rasa
Sedikit bawang goreng
Minyak untuk menumis secukupnya
Jangan pening, mudah je buatnya:
- Rebus beras dan kacang kuda hingga beras kembang dan kacang kuda empuk. Ketepikan.
- Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bawang besar, bawang putih, halia, ikan bilis hingga wangi. Angkat dan kisar bersama kesemua bahan. Ketepikan.
- Menggunakan kuali dan minyak yang sama, tumis sebentar rempah kayu manis, biji pelaga, bunga lawang, cengkih dan serai. Angkat dan ketepikan.
- Masukkan kesemua bahan yang dikisar, rempah yang ditumis, serbuk rempah sup, santan, pati ikan bilis, serbuk lada hitam, halba dan garam ke dalam periuk yang merebus beras dan kacang kuda tadi.
- Kacau sebentar masaklah sehingga 15 minit atau sehingga bubur agak memekat.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
Info tambahan: Hidanglah dengan ditaburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng di atas bubur lambuk yang telah siap dimasak.
Bubur Ayam
Bahan-bahan:
200 gram beras
1 ½ liter air
1 keping dada ayam
1labu bawang besar – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1.25 cm halia – dihiris halus
1 kiub stok ayam
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
1 tangkai daun bawang
1 sudu teh minyak bijan
Sedikit bawang goreng
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis secukupnya
Cara Membuat:
- Masukkan air dan beras di dalam periuk dan rebus beras hingga kembang.
- Separuh dada ayam dipotong kecil-kecil dan separuh lagi digaul dengan garam dan serbuk lada hitam serta digoreng hingga masak dan dicarik-carik.
- Panaskan minyak di dalam kuali, tumiskan bawang besar, bawang putih, halia dan isi ayam yang dipotong kecil hingga wangi.
- Setelah itu, masukkan kesemua bahan yang ditumis, stok ayam, garam, serbuk lada hitam, minyak bijan ke dalam periuk merebus beras tadi.
- Masak selama hingga 15 minit atau sehingga bubur agak memekat.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
Info tambahan: Taburkan daun bawang yang telah dihiris, hirisan daging ayam yang telah digoreng serta bawang goreng di atas bubur.
Bubur Sayuran Berkeju
Bahan-bahan:
200 gram beras
1 1/2 liter air
200 ml susu segar
100 gram isi ayam – hiris kecil
200 gram daun bayam – hiris halus
200 gram brokoli – potong kecil
200 gram sawi Cina/Jepun – potong kecil
100 gram Sayur campur – potong kecil
2 keping keju cheddar
1 labu bawang besar – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
1 tangkai daun bawang – dihiris
Bawang goreng untuk hiasan
Cili merah untuk hiasan
Cara Membuat:
- Masukkan air dan beras di dalam periuk, rebus beras hingga kembang. Ketepikan.
- Panaskan minyak di dalam kuali, tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga wangi.
- Setelah itu, masukkan bahan yang ditumis, isi ayam, brokoli, sayur campur, susu segar, keju cheddar, garam dan serbuk lada hitam ke dalam periuk bubur tadi.
- Masak selama 15 minit atau sehingga bubur agak memekat dan akhir sekali masukkan daun bayam dan sawi. Kacau sebentar dan segera tutupkan api.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
Info Tambahan: Untuk yang vegetarian, bolehlah abaikan isi ayam.
https://www.mingguanwanita.my/bubur-lambuk-rice-cooker-sedapnya-macam-yang-selalu-dapat-di-masjid-1/
https://www.mingguanwanita.my/kerepek-labu-rangup-lemak-manis-kena-jemur-sekejap-baru-goreng/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Ini.. Tun Dr Siti Hasmah Akan Sentiasa Menjadi Ibu, Ratu Di Hati Kita
Mei ini bulan untuk anak-anak meraikan, menghargai pengorbanan, susah senang ibu yang melahirkan diri kita ke dunia ini. Bukan mudah cabaran yang ibu lalui untuk membesarkan kita. Walau sejahat mana pun seseorang ibu itu, dia tetap ibu yang mengandungkan selama 9 bulan dan melahirkan kita. Jadi berterima kasihlah untuk pengorbanannya yang satu itu.
Kisah Tun Dr Siti Hasmah yang MW kongsikan ini dicatatkan kira-kira 2 tahun lalu. Ketika itu, Tun Dr Mahathir tak memegang sebarang portfolio di dalam pemerintahan negara. Parti Bersatu juga belum ada namanya. Dengan berseloroh, Tun Hasmah meminta kami memberikan nama parti yang suaminya mahu tubuhkan.
“Saya susah hati, bila awak nak buat cerita ini.” Itulah kebimbangannya ketika majalah Mingguan Wanita mahu menjadikan dirinya wajah muka depan. Dan ketika itulah, beliau berkongsi rahsia dengan kami. Alhamdulillah, hasrat Mingguan Wanita ketika itu Allah mudahkan dan berjalan lancar.
Saya kongsikan kembali cerita yang pernah tersiar dalam majalah Mingguan Wanita, Bilangan 1710, keluaran 26 Ogos – 1 September 2016. Di kesempatan ini Mingguan Wanita mahu mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ buat wanita-wanita bergelar ibu di luar sana. Sesungguhnya pengorbanan anda tak ternilai dengan wang ringgit. Moga perkongsian Tun Hasmah ini menjadi kekuatan untuk kita betapa isteri itu tempatnya tetap di sisi suaminya dalam susah mahupun senang.
Enam Bulan Pertama, Seharusnya Ibu & Anak Bina Bonding Bersama – Tun Hasmah
Tengah hari Jumaat itu, sama seperti Jumaat yang lainnya buat Tun Dr Siti Hasmah Haji Mohamad Ali. Rutinnya melayani suami, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak-anak mahupun menantu makan tengah hari sementara menanti waktu solat Jumaat di Masjid Negara.
Selesai penggambaran, Rozlina menitipkan pesan. Minta kami ‘berehat’ seketika sementara Tun Hasmah mengisi waktu tengah hari itu bersama Tun Mahathir yang berkunjung ke Yayasan Albukhary.
Rupa-rupanya hari itu Tun Hasmah sedang berpuasa (puasa di bulan Syawal). Jadi masa untuk kami berbual lebih panjang lagi. Mengenali mantan wanita pertama negara selama 22 tahun ini begitu menyenangkan sekali.
Nyamannya keberadaan Tun Hasmah di ruang pejabat membuatkan kami tidak merasakan sesi bicara itu bagaikan sebuah temu ramah. Setiap tutur katanya sarat pesanan. Bagaikan ibu yang menasihati anak-anaknya yang masih mentah. Soal wanita kerjaya, nilai seorang isteri, kasih ibu dan harapan Tun Hasmah kami kongsikan dalam ruangan wajah penghias edisi istimewa ini.
“Selepas beberapa tahun belajar di universiti dengan belanja sejumlah wang ibu bapa, akhirnya wanita mula bekerja dan menjadi profesional. Apabila mereka berkahwin dan bersalin akan timbul satu lagi cabaran untuk mereka. Mahu dihantar ke mana anak-anak ini. Ini satu masalah dan saya boleh memahaminya.
“Sudahnya kita serah kembali kepada ibu tadi untuk memilih mana yang lebih penting buatnya. Sekiranya dia seorang profesional dan bertaraf tinggi, katakan ada sokongan kewangan daripada suami mahupun ibu bapa ibu perlu buat keputusan.
“Meletakkan anak di pusat jagaan boleh menyelesaikan masalah. Tapi itu membuatkan ibu hilang kemesraan dengan anak. Enam bulan yang pertama seharusnya ibu dan anak mencipta ‘bonding’ bersama.
“Sekiranya kerjaya itu penting bagi dirinya dan negara. Bertahan dahulu, usahakan cari pengasuh yang boleh diharapkan. Majikan juga boleh membantu ibu dengan menyediakan pusat asuhan di tempat kerja. Ketika tiba waktu menyusu, ibu boleh memberikan penyusuan. Keselamatan anak juga terjamin. Hati ibu senang, majikan juga tidak kerugian.
“Namun pelaksanaannya tak banyak. Mungkin kita belum sampai hal nak mengkaji tentang persediaan sebegini; majikan tidak sungguh-sungguh, ibu yang ada anak pula tidak faham apakah yang akan mereka dapati dengan kemudahan sebegini. Ini pun satu aspek yang akan memperoleh keuntungan. Sebahagian daripada tanggungjawab sosial majikan. Pasti pekerja wanita berterima kasih kerana majikan memahami apa yang mereka hadapi,” turut Tun Hasmah yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-90 baru-baru ini.
Ini Rupanya Didikan Mak Ayah Tun Dr Siti Hasmah
Anak kelahiran Klang, Selangor ini merupakan doktor wanita pertama di negara ini. Beliau menamatkan pengajian perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura dan tahun 1955 bergelar mahasiswa perubatan dari Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Singapura (ketika itu).
“Mak dan ayah saya berkahwin pada usia terlalu muda. Umur mak, 16 tahun manakala ayah, 20 tahun. Apabila tiba pada saya, kata ayah ‘Hasmah, habiskan pengajian sebelum berkahwin’. Mungkin ayah melihat mak mengandung 13 kali namun 10 saja yang ‘survive’.
“Gaji ayah waktu itu minimum. Berkahwin awal pada masa yang tak sesuai membuatkan apa yang diimpikan tidak tercapai. Seharusnya, dorong mereka agar capai cita-cita. Sebab itulah anak-anak muda khasnya wanita perlu jaga diri. Beritahu mereka keistimewaan yang tuhan beri dan kenali anatomi tubuh.
“Ibu bapa tak akan beritahu anak-anak tentang pengetahuan seks. Kita masih lagi berpegang pada budaya malu untuk berkongsi hal-hal sedemikian. Tapi sekarang sudah ada Internet. Kalau ibu tak kongsi, mereka cari dari Internet. Kalau berjumpa kawan yang betul dan benar, mereka boleh menjaga keperibadian. Andai tiada siapa yang memandu, hilanglah nilai moral anak ini tadi,” jelas ibu kepada Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.
Ingatannya lagi, agar ustaz mahupun ustazah mengambil peranan yang benar-benar ikhlas dalam memberi penerangan perihal realiti kehidupan ini kepada anak-anak ini.
“Saya sendiri ada adik-beradik lelaki dan perempuan. Saya tahu dan faham. Bagaimana pula adik-beradik yang tiada lelaki, mereka akan bermasalah.”
Terangnya lagi seharusnya pendidikan seks ini didedahkan kepada anak-anak ini seawal usia 10 tahun. “Sebaiknya sebelum mereka didatangi haid. Lebih awal mereka didatangi haid, lebih cepat mereka alami putus haid.”
Wanita Di Sebalik Tun Dr Mahathir
Cemerlangnya Tun Mahathir menerajui Malaysia dikenali kemasyhurannya sehingga ke luar negara. Dalam mana-mana acara rasmi ataupun tidak rasmi, Tun Hasmah sentiasa tenang di sisi suami.
“Ada yang kata, ‘behind every successful man, there is a woman. Kalau kata-kata ini dibacakan depan-depan saya, saya akan kata ‘No… behind every successful man, there is a woman, not any woman but his wife. Kadangkala saya tambah, ‘not any wife but 1st wife,” seloroh Tun Hasmah dalam nada serius.
“Selepas arwah ayah saya bersara, Tuanku Sultan Selangor. Menjemputnya jadi Presiden Majlis Agama Selangor. Waktu itulah dia keluarkan arahan mengatakan mana-mana lelaki yang mahu berkahwin lagi satu mesti mendapat kebenaran isteri yang pertama. Dapatlah Selangor membendung poligami. Apabila ayah tiada, semua balik kepada boleh.
“Saya bukan keras sangat berkenaan poligami. Katakan pasangan yang sudah berkahwin terlalu lama dan inginkan anak, jika poligami caranya. Relakanlah. Kalau ada anak, Alhamdulillah. Tapi jangan salahkan isteri. Buat siasatan menyeluruh dan ketahui siapa punca masalah,” ceritanya lanjut.
Tun Hasmah sedar posisinya sebagai isteri seorang yang sarat tanggungjawab. “Kita tahu taraf profesional kita sama tapi dari segi politik, saya tak tahu apa itu politik pun.”
Perkahwinan ‘sweet couple’ ini sudah mencapai usia 60 tahun. Kemesraan Tun Hasmah mahupun Tun Mahathir sentiasa saja menjadi perhatian para netizen. Apa juga perkongsian cinta tentang keduanya begitu indah untuk dijadikan panduan.
“Kadangkala ada yang bertanya macam mana boleh sampai 60 tahun? Jawapannya kepercayaan. Kita percaya dan yakin suami kasih dan sayang. Pasangan mesti ada keyakinan sebegitu untuk suami atau isteri. Jadi tiada kebimbangan di hati.”
Nasihat beliau, para isteri tidak perlu melenting andai terjadi konflik dalam rumah tangga. Beliau sendiri ada ketikanya tergelincir juga dalam kata-kata hingga mengundang rasa kurang senang Tun Mahathir.
“Kalau suami saya tak sedap hati, dia diam saja. Kadangkala dalam motokar pun dia diam. Tak boleh buat-buat cakap. Mesti ada yang tak kena. Jadi sampai rumah kami akan selesaikan.
“Kita kadangkala ada kelemahan. Selalunya kekecewaan suami apabila saya selalu menyebelahi anak-anak. Bukan apa, anak-anak kita kecil lagi jadi dia tak boleh pertahankan diri. Bila suami tegur, saya pertahankan dan dia marah. Saya fahamkan diri dan jangan sampai tiga hari tak tegur.”
Tun Hasmah kekal menjadi ibu yang dekat dengan anak-anak. “Ketika ini Is (Mukhriz) dah keluar banyak jawatan. (Ketika artikel ini ditulis, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir tak lagi memegang apa-apa jawatan dalam politik). Anak-anak perlu sedar keadaan ayahnya tak seperti dulu. Jadi mereka juga perlu faham kehidupan tidak lagi seperti sebelumnya. Kadangkala saya tuturkan dengan anak-anak atau menantu. Kebimbangan itu tetap ada.”
Dalam Usia Ini Macam-macam Perkara Boleh Berlaku
Meniti hari-hari yang semakin melewati mengundang muhasabah diri yang dalam. Bagi Tun Hasmah sentiasa mengharapkan agar diberi kesihatan diri bukan saja untuk dirinya malah semua wanita perlu ada pengharapan sebegitu.
“Semoga dapat menjaga taufik dan hidayah daripada tuhan. Elakkan apa yang akan mencetuskan kecil hati atau apa saja yang boleh menyakitkan suami kita. Kita juga perlu sentiasa prihatin dengan kemahuan suami.”
Apatah lagi, dalam melewati usia separuh abad ini bermacam-macam perkara boleh berlaku. Apabila tiba pada saat kecemasan, Tun Hasmah tidak begitu mengharapkan suaminya mampu bertindak pantas.
“Saya tak yakin yang suami saya boleh menelefon atau keluar mencari bantuan. Dia tak pakai telefon. Segala-galanya orang lain yang uruskan. Sekarang ini saja baru dia pandai pakai telefon.
“Dulu dia perdana menteri. Arah saja. Sebab itu saya perlu ada di sisinya. Kalau dia dalam kecemasan saya ada di situ dan dapat bertindak cepat. Dalam saat kecemasan, saya tak harapkan suami saya.
“Ada satu hari saya diserang cirit-birit dan muntah-muntah di tengah malam. Saya minta dia carikan doktor untuk ambil ubat hemodium. Dia tanya saya macam mana dan bermacam-macam soalan. Akhirnya saya minta dia cari doktor yang bersebelahan dengan suite kami. Lama dia pergi. Saya fikir ke manalah dia sesat. Sampaikan saya lega sedikit dan baring. Suite yang kami duduk ini ‘special’ ada banyak pintu.
“Tak lama saya dengar pintu saya diketuk. Saya bangun dan dengar ‘who is this?’ tanya saya, ‘Dr Mahathir, I want to see Doctor Nasir’. Saya buka pintu dan tarik dia masuk. Rupa-rupanya dia cuma berpusing saja dalam suite kami jam 2.30 pagi itu.”
Tun Hasmah, Wanita Kental Di Sisi Suami
Pada 17 Januari 1989, Tun Mahathir mengalami serangan jantung dan dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Ketika itu, Tun Hasmah tidak pernah jauh dari suami tercinta.
“Apabila suami diserang penyakit, kita tidak ada lain pilihan melainkan isteri mesti bersama suami. Kita tidak pernah tahu lama mana hayatnya. Nyawa kita dipegang tuhan. Keadaan boleh bertukar sekelip mata. Hari ini kita tengok dia esok, esok belum tentu. Bimbang ada penyesalan.
“Dua minggu suami saya di hospital, dua minggu itulah saya menjadi ‘person accompany patient’. Dan selama 50 hari Tun di hospital, 50 hari itulah saya bersamanya. Waktu itu bulan puasa, angkasawan negara waktu itu naik dari bulan dan sampai dia sudah balik pun saya masih bersamanya.
“Kita tahu jururawat cukup cekap. Walaupun jururawat itu maklumkan anggap dirinya bagaikan anak. Tapi apabila tiba ke tahap membersihkan bahagian sulit, isteri perlu memainkan peranan.
“Tun lebih selesa saya yang uruskan hal itu. Yang mana, isteri-isteri segan nak buat bila suami dalam keadaan sihat. Ada kalanya dalam keadaan itu, kita tidak boleh tahu iman seseorang.
“Ketika Tun menahan sakit dan waktu dia sudah hampir putus asa, dia menulis surat wasiat di dalam beg. Saya pujuknya agar baca ayat Kursi. Katanya, dia sudah baca tapi tidak tahan sakit. Sampailah saya terpandang sebuah jurnal yang di dalamnya ada gambar Tun memakai baju Melayu biru dan bersongkok.
“Saya nampak segaknya lelaki di dalam gambar itu. Saya beri padanya dan tegaskan, ‘I brougth this man to hospital with cardial attack. I want to bring this man alive’. Dalam keadaan sebegitu kita kena kuat semangat dan tunjukkan diri tak lemah atau putus asa. Saya kira, mana-mana wanita lain pun kena begitu,” tutur Tun Hasmah mengakhiri bicara.
Alhamdulillah, Allah telah berikan kesihatan yang baik buat Perdana Menteri Malaysia ke-7 ini. Doa kami rakyat Malaysia, agar Tun Dr Siti Hasmah dipelihari olehNya dan sihat sentiasa. Kerana wanita di sisi Tun Dr Mahathir Mohamad inilah sumber kekuatan sebenar yang tuhan anugerahkan untuk Perdana Menteri kita yang disayangi ramai ini.
Selamat Hari Ibu.
Foto: Shahir Osman & Halim Wahid
Solekan: Saidatulnisa Aminuddin
Lokasi: Yayasan Albukhary Kuala Lumpur
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI