Berita Sosial

Punca Kematian Siti Zara Manisha Jadi Tanda Tanya, Ini Kronologi Yang Berlaku Sewaktu Di Rumah Pengasuh

Share

Semalam tular kisah ibu muda kehilangan anak 10 bulan, Siti Zara Manisha, yang dikatakan tersedak bubur. Namun rupanya kematiannya masih dalam siasatan kerana selepas hasil bedah siasat, tiada sisa susu atau bubur yang menyumbat saluran pernafasan.

Situasi ini menjadi tanda tanya buat ibu bapa kecil ini, apa sebenarnya yang berlaku kepada si anak? Namun semuanya sudah tertulis, sampai waktu anak ini kembali kepada Pencipta, apa yang berlaku cuma asbab. Untuk ketahui kronologi kematian adik Siti Zara Manisha, jemput baca perkongsian kumpulan yang menguruskan jenazahnya iaitu Mr Wan Chai Official

Punca Kematian Siti Zara Manisha Jadi Tanda Tanya

Bukan mudah seorang ibu nak terima kehilangan anak secara tiba-tiba, malah mungkin lebih sakit daripada saat melahirkannya.

Namun, di sebalik kesakitan itu, tersimpan ujian besar buat seorang ibu yang hebat. Ada ketentuan yang hadir sebagai nikmat, dan ada yang hadir sebagai ujian.

Pada awalnya, baby Zara disyaki tersedak ketika diberi makan bubur oleh pengasuh. Namun, hasil bedah siasat mendapati tiada sisa makanan yang tersumbat pada saluran pernafasannya.

Pada 15 Ogos 2026, Baby Zara dikatakan tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum dibawa oleh ibu bapanya ke Hospital Klang.

Pada awalnya, Baby Zara disyaki dijangkiti virus RSV, iaitu virus yang boleh menyerang saluran pernafasan dan paru-paru.

Baby Zara kemudiannya diberi rawatan serta dipantau oleh doktor pakar selama seminggu sebelum dibenarkan pulang.
Selepas keluar dari wad, keadaan anak bongsu dari dua adik beradik ini dikatakan semakin pulih.

Ini Kronologi Yang Berlaku Sewaktu Di Rumah Pengasuh

2 September 2026, 2.35 petang

Baby Zara diberikan susu oleh pengasuh sebelum tiba-tiba tersedak.

Pengasuh kemudiannya menepuk belakang Baby Zara seperti kebiasaannya bagi membantu memulihkan keadaan.
Selepas melihat keadaan Baby Zara kembali normal, pengasuh membaringkannya seketika.

2.45 petang

Pengasuh mengangkat Baby Zara dan menyuapkan bubur yang dibekalkan oleh ibunya. Namun, Baby Zara sekali lagi tersedak dan kelihatan seperti tidak dapat bernafas.

Pengasuh cuba mengeluarkan bubur daripada mulut Baby Zara menggunakan jarinya sambil menepuk belakang badannya berkali-kali.

Tubuh Baby Zara dikatakan mula kejang dan kelihatan seperti sedang bergelut untuk bernafas.

Dalam keadaan ketakutan, pengasuh terus menepuk belakang Baby Zara serta membalikkan tubuhnya ke bawah sambil memanggil namanya berulang kali.

Pengasuh kemudian menghubungi suaminya bagi memaklumkan mengenai keadaan Baby Zara.

Suaminya segera menghubungi talian 999 sebelum bergegas pulang ke rumah.

Sepanjang perjalanan, suami pengasuh terus berhubung dengan operator kecemasan.

Setibanya di rumah, operator kecemasan memberikan arahan kepada suami pengasuh cara untuk melakukan bantuan CPR ke atas Baby Zara sementara menunggu ketibaan ambulan dan paramedik.

3.30 petang

Ambulans bersama paramedik tiba di rumah pengasuh di Kampung Sungai Pinang, Klang.

Paramedik segera memberikan bantuan CPR sebelum Baby Zara dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

4.34 petang

Setibanya di Jabatan Kecemasan, Baby Zara disahkan telah meninggal dunia.

3 September 2026, 12.30 tengah hari

Jenazah Baby Zara selesai menjalani prosedur bedah siasat.

Hasil bedah siasat mendapati tiada sisa susu atau bubur yang menyumbat saluran pernafasan sebagai punca sesak nafas.

Beberapa sampel organ turut diambil untuk dihantar ke makmal bagi mencari punca sebenar kematian Baby Zara.
Dalam permit kematian, sebab kematian Baby Zara dinyatakan sebagai “Pending Laboratory Investigation”, yang bermaksud punca kematian masih menunggu hasil siasatan.

3.00 petang

Jasad Baby Zara dibawa oleh ibu dan bapanya ke Wakaf Jannatul Firdaus, Batu Belah, Klang dengan menaiki kereta.

Unit Bilal Muslimah UKVJ HQ memberikan panduan kepada ibu dan ayah Baby Zara cara memandikan jasad anaknya buat kali terakhir.

Si ayah yang kelihatan berat menanggung kesedihan cuba memandikan jasad anaknya.

Ibu Ayah Tak Kuat Semangat Mandikan Arwah Si Anak

Si ayah akhirnya berhenti dan menangis kerana tidak mampu meneruskan mandian terakhir buat anak tercinta. Si ayah duduk di kerusi dan melihat proses mandian Baby Zara yang sedang dilakukan. Si ibu yang melihat suaminya berhenti cuba bertahan.

Namun si ibu tiba-tiba berhenti dari memandikan baby Zara dan memberitahu tidak mampu meneruskannya.

Selepas diberi semangat, si ibu meneruskan mandian tersebut. Ini adalah mandian terakhir untuk anak dan jangan lepaskan peluang yang masih ada.

Si ibu meneruskan mandian dengan ditemani air mata yang tidak berhenti.

Sebelum wajah Baby Zara ditutup, ibu dan ayah diberikan ruang, masa dan peluang yang secukupnya untuk melepaskan rindu kepada anak yang telah pergi.

Dari riak wajah dan air mata yang mengalir, jelas terpancar seolah-olah mereka masih tidak percaya dengan apa yang telah berlaku.

 

Anak yang dihantar ke rumah pengasuh dalam keadaan bernyawa, ada di hadapan mata ketika itu hanyalah jasad semata-mata.

Baby Zara kemudian dibawa pulang ke Sg Siput, Perak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Trosor.
Kisah pemergian Baby Zara membuat ramai yang risau perkara sama boleh berlaku kepada anak sendiri, terutamanya para ibu.

Ada beberapa komen mengatakan cara pemberian makanan atau bubur yang dimakan menjadi punca Baby Zara tersedak dan meninggal dunia.

Namun, setelah mendengar laporan awal bedah siasat, firasat saya kuat mengatakan punca kematian Baby Zara bukan kerana tersedak.

Apa pun tekaan yang dibuat, kita perlu menunggu laporan bedah siasat rasmi. Dan apa jua laporan yang keluar kelak, ia tidak mengubah apa yang telah tertulis di dalam Al-Quran. Jelas punca kematian seseorang hanyalah asbab semata-mata.

Semoga ibu ayahnya kuat semangat menerima ujian Allah dan reda dengan pemergian anak kecilnya.
Al Fatihah.
Published by
Nadia Mohamad