
Pulangkan dompet ke rumah pemilik jam 1 pagi, kejujuran anak muda raih pujian.
Bukan semua kejayaan seorang anak diukur pada segulung ijazah atau kerjaya yang hebat. Ada kalanya, kejayaan sebenar ibu bapa terserlah apabila anak memilih untuk melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa melihat.
Itulah yang dibuktikan seorang anak muda, Fairuz Noris apabila sanggup mencari rumah pemilik sebuah dompet dan menghantarnya sendiri pada jam 1 pagi tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Kejujuran yang dipamerkan bukan sahaja menyentuh hati pemilik dompet, Ryan Cheah, malah turut mendapat pujian ramai di media sosial.
Kisah itu bermula pada 17 Julai lalu di Legenda Heights, Sungai Petani, Kedah apabila Ryan dikejutkan dengan bunyi loceng rumah kira-kira jam 1 pagi.
Dalam keadaan baru terjaga daripada tidur, Ryan segera turun membuka pintu sambil tertanya-tanya apa yang berlaku pada waktu tersebut.
“Masa tu sebab baru bangun tidur, kepala masih mamai. Saya cuma sempat ambik dompet tu, ucap “terima kasih”, lepas tu terus masuk rumah. Bila dah baring balik, langsung tak boleh tidur sebab rasa menyesal.
Perasaan itu mendorong Ryan memuat naik satu hantaran di Facebook dengan harapan dapat menemui semula insan yang telah bersusah payah menghantar dompetnya pulang.
“Kalau adik yang hantar dompet tu terbaca posting ni, tolonglah hubungi saya. Saya ikhlas sangat nak jumpa balik, bukan sebab apa, cuma nak ucap terima kasih depan-depan dan hargai jasa adik yang sanggup bersusah payah hantar dompet saya balik.
“Kalau ada siapa-siapa kenal adik ni, ataupun adik ni sendiri nampak posting ni, tolong PM saya ya. Saya juga mintak tolong semua kawan-kawan share posting ni. Mana tahu dengan bantuan semua, kita dapat jumpa insan yang berhati mulia ni.
Perkongsian Ryan pantas mendapat perhatian netizen yang turut membantu menyebarkan kisah tersebut.
Ramai memuji tindakan Fairuz yang sanggup keluar pada awal pagi semata-mata mahu memastikan dompet itu kembali kepada pemilik sebenar sedangkan dia langsung tidak mengenali individu berkenaan.
Lebih mengagumkan, segala usaha itu dilakukan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran atau balasan.
Bagi ramai netizen, tindakan Fairuz menjadi bukti bahawa nilai amanah dan kejujuran masih subur dalam masyarakat walaupun dunia hari ini sering dipenuhi pelbagai kisah yang mengecewakan.
Dengan bantuan orang ramai yang sudi menekan butang suka, meninggalkan komen dan berkongsi hantaran tersebut, Ryan akhirnya berjaya menjejaki Fairuz.
Pertemuan itu memberi peluang kepada Ryan mengucapkan sendiri penghargaan kepada anak muda berkenaan yang sanggup bersusah payah menghantar dompetnya pada jam 1 pagi.
Menerusi hantaran susulan di Facebook, Ryan merakamkan penghargaan kepada semua yang membantu sehingga mereka akhirnya dapat dipertemukan semula.
Selepas kisah tersebut tular, Fairuz Noris turut tampil meninggalkan komen di hantaran Ryan Cheah.
Dengan penuh rendah diri, Fairuz mengucapkan terima kasih kepada Ryan yang sudi meluangkan masa bertemu dengannya secara berdepan.
“Alhamdulillah. Terima kasih kepada Ryan Cheah yang sudi datang menyantuni saya secara berdepan. ‘Jika kalian berbuat baik, sesungguhnya kalian berbuat baik bagi diri kalian sendiri.'”
Fairuz turut menyertakan petikan daripada Surah Al-Isra’, ayat 7, yang membawa maksud bahawa setiap kebaikan yang dilakukan sebenarnya kembali memberi manfaat kepada diri sendiri.
Sikapnya yang tenang dan tidak meninggi diri walaupun menerima pujian ramai terus mengundang rasa hormat netizen. Ramai berpendapat nilai amanah, kejujuran dan keikhlasan yang dimiliki Fairuz merupakan cerminan didikan keluarga yang baik.
Semoga kisah ini menjadi peringatan bahawa dunia masih dipenuhi insan yang memilih untuk berbuat baik tanpa mengharapkan balasan. Kadangkala, sebuah dompet yang dipulangkan mungkin kelihatan kecil nilainya, namun akhlak yang ditunjukkan seseorang mampu meninggalkan kesan yang jauh lebih besar dalam hati masyarakat.