Dalam dunia digital yang penuh drama, kritikan tajam dari selebriti media sosial biasanya mampu menggoncang emosi sesiapa pun, apatah lagi bila disampaikan oleh YouTuber sensasi dunia, James Charles, yang memberi hanya 3/10 untuk snek tempatan popular, NIMS Crispy Choco Tub.
Namun, yang mengagumkan, pengasasnya Tengku Norhanim Tengku Othman atau mesra disapa Hanim, langsung tidak melatah. Sebaliknya, beliau mempamerkan kematangan, kebijaksanaan dan semangat juang luar biasa sebagai seorang wanita usahawan.
“Tak semua tekak sama. Biasalah kalau ada yang tak suka. Tapi ramai rakyat Malaysia bagi rating 10/10 untuk NIMS. Kita sudah tembus pasaran 18 negara, termasuk Amerika Syarikat,” ujar Hanim dengan tenang dan berhemah.
Di sebalik ulasan “kurang enak” itu, Hanim memilih untuk melihat sudut yang lebih luas — “Bad marketing, big impact”
.“Saya tak ambil hati. Malah, saya bersyukur sebab dapat publisiti percuma dari seorang bintang global. Itu bukan perkara mudah,” katanya, membuka mata ramai wanita tentang erti sebenar berjiwa besar dalam bisnes.
Hanim tidak hanya berhenti di situ. Beliau merancang menghantar satu set kombo khas kepada James Charles dan bahkan berhasrat untuk berkolaborasi dengan ikon kosmetik tersebut.
“Kalau dia terkenal dengan gambaran bersifat fruity, kami pula penuh warna-warni! Mana tahu James boleh reka kombo ikut citarasa dia. Packaging pun biar dia tentukan. Siapa tahu, NIMS X James Charles akan jadi kenyataan,” katanya berseloroh, tapi penuh visi.
James Charles dalam video “Trying Viral TikTok Snacks” mengkritik bahawa coklat NIMS tidak cukup ‘kick’, walaupun memuji kerangupan bijirin. Namun, Hanim memilih untuk tidak melihat komen itu sebagai tamparan — sebaliknya sebagai pintu peluang.
“Walaupun boleh makan hati dengan komen jujurnya, itu sama sekali tidak mematahkan semangat kami. Malah kami lebih terbuka untuk buat sesuatu yang lebih berani, berbeza dan mendunia,” katanya lagi.
Untuk rekod, jenama produk NIMS bukan calang-calang! Ia pernah mendapat pengiktirafan hebat. Selain pernah diangkat sebagai Nona Best Crispy ChocoTub Award dalam NONA Superwoman Award 2022, jenama itu cemerlang di pengiktirafan lain.
Antaranya The Best Brandlaureate, Top 500 Trusty Brand Award (Majlis Tindakan Pengguna), AWEN AWARD (Asean Women Enterpreneur Network), IKSNITA Award (Women Young Enterpreneur), Bumiputera Business Excellence Award (BBEA) serta The 100 Top Young CEO.
Produk ini diakui mempunyai piawaian antarabangsa, selain dikeluarkan di kilang yang ada tanda Halal dan mendapat pengiktirafan IS02200.
Di sebalik semua ini, rata-rata ramai tumpang bangga kerana produk tempatan mendapat perhatian antarabangsa. Sekalipun mendapat kritikan dan ulasan tak manis, pendedahan itu cukup berharga.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE