
PRISMAnita dilancar sempena Sambutan Hari Wanita Antarbangsa 2026. Demi memastikan wanita mendapat akses lebih mudah kepada pelbagai bantuan, sokongan dan perlindungan, kerajaan hari ini mengumumkan perlaksanaan PRISMAnita.
“Pelancaran PRISMAnita merupakan usaha kerajaan untuk memastikan wanita mempunyai akses yang lebih mudah kepada bantuan, sokongan dan advokasi khususnya dalam menangani isu kekeluargaan termasuk keganasan rumah tangga.
PRISMAnita, yang membawa maksud Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita, diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita.
Inisiatif ini berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyatukan pelbagai perkhidmatan berkaitan wanita di bawah satu bumbung.
Perkhidmatan tersebut akan dilaksanakan melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) di seluruh negara selaras dengan konsep “No Wrong Door Policy”, bagi memastikan wanita mendapat bantuan yang tepat tanpa halangan birokrasi.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (SHWA2026) yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Beliau menegaskan wanita merupakan rakan strategik penting dalam pembangunan negara dan pelancaran PRISMAnita ini memperkukuh usaha kerajaan dalam memastikan wanita mendapat akses lebih mudah kepada bantuan, sokongan dan perlindungan.
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 1,000 menghimpunkan Wanita-wanita hebat di seluruh negara yang bersama-sama menjayakan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan insentif pengecualian cukai kepada badan korporat yang menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih) di bawah PERKESO.
Melalui mekanisme tersebut, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) akan bertindak sebagai badan perantara kepada syarikat atau pihak yang ingin menaja caruman berkenaan sekali gus membolehkan penyumbang menikmati pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri dalam ucapannya berkata sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini menjadi platform penting untuk memperkukuh agenda pemerkasaan wanita serta mengetengahkan kisah kejayaan wanita sebagai inspirasi kepada generasi muda.
“Perkongsian pengalaman daripada wanita yang telah berjaya mampu menjadi pemangkin semangat dan inspirasi kepada generasi muda untuk berani mencipta laluan sendiri,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan melalui Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 terus memberi tumpuan kepada aspek kepimpinan, ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan wanita bagi memastikan penyertaan wanita dalam pelbagai sektor terus diperkukuhkan.
Pada majlis sama, YBhg. Dato’ Rugayah binti Abdul Majid dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Wanita 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya memperkasa wanita luar bandar di Sarawak sejak tahun 1963 melalui kepimpinan dalam Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS).
Dato’ Rugayah juga berjaya mewujudkan jaringan kerjasama strategik bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pertanian, Radio Televisyen Malaysia (RTM), KEMAS serta pertubuhan antarabangsa seperti Associated Country Women of the World (ACWW).
Sumbangan beliau turut diiktiraf apabila menjadi wanita pertama dari Sarawak yang menerima Pingat Emas Tun Fatimah oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) pada tahun 1985.
Sementara itu, Technocom System Sdn Bhd terpilih memenangi Anugerah Syarikat Mesra Wanita 2026 selain Pertubuhan Bukan Kerajaan (Ngo) Women Of Will terpilih menerima anugerah NGO Pemerkasa Komuniti Wanita 2026 dalam sambutan tahun ini.
Pada sebelah pagi, Forum Agenda Wanita Negara 2026 yang menghimpunkan tokoh dari pelbagai bidang turut diadakan bagi berkongsi pandangan serta pengalaman kerjaya dan mengenal pasti potensi Wanita.
Antara panel yang terlibat ialah Naib Presiden Kanan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Puan Hajah Mahuran Saro Dato’ Haji Sariki, Pengurus Kanan Sumber Manusia Technocom Systems Sdn Bhd, Puan Normah Shahrom serta pereka fesyen terkenal, YBhg. Dato’ Indera Tom Abang Saufi.
Dalam majlis sama, YB Hajah Nancy turut menyampaikan penghargaan kepada rakan strategik yang menyokong penganjuran sambutan tersebut sebagai tanda pengiktirafan terhadap kerjasama mereka dalam usaha memperkasa wanita di negara ini. Antara penerimanya termasuklah Fazura.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 bukan sahaja meraikan pencapaian wanita Malaysia malah menegaskan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan wanita terus diberi ruang, peluang dan sokongan bagi memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara.