PM Umum Subsidi Petrol BUDI95 Terhad 300 Liter Sebulan, Harga RON95 RM1.99 Mulai 30 September Ini

Share

PM umum subsidi petrol BUDI95 terhad 300 liter sebulan, harga RON95 RM1.99  mulai 30 September ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 sebagai tanda penghargaan kerajaan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan Sept 2025 di Dewan De ‘Seri Endon Puspanitapuri hari ini. Foto Bernama

Beliau menegaskan, subsidi hanya diberikan kepada warganegara manakala bukan warganegara serta syarikat besar akan dikenakan pada kadar RM2.60 seliter.

“Mulai 30 September, bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi kerana ia mengikut perseorangan. Harga bagi bukan warganegara ditetapkan RM2.60,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.

Subsidi Bersasar BUDI95

Harga baharu ini dilaksanakan menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang menetapkan siling kelayakan 300 liter sebulan bagi setiap rakyat Malaysia. Pemandu e-hailing pula dikecualikan daripada had tersebut dan boleh memohon kuota lebih tinggi mengikut keperluan.

Selain IC boleh juga guna app Setel dari Petronas dan kad touch n go

Mekanisme Penggunaan

Pengguna perlu mengesahkan kelayakan melalui MyKad dan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Mesin pembaca MyKad akan disediakan di stesen minyak, manakala aplikasi Setel dan Touch ‘n Go boleh digunakan sebagai alternatif digital.

Anwar turut mengingatkan orang ramai agar menyemak cip MyKad dan lesen memandu lebih awal bagi mengelakkan masalah teknikal ketika pengisian.

Kerajaan memilih pendekatan berperingkat untuk mengelakkan kesesakan dan menguji sistem:

  • 27 September – Polis dan tentera sebagai kumpulan pertama.

  • 28 September – Golongan B40 dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

  • 30 September – Pelaksanaan penuh kepada semua warganegara.

Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna di seluruh negara. Bagi pemandu e-hailing yang menempuh jalanan berjam-jam setiap hari, ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah atau pekerja harian yang bergantung kepada motosikal dan kereta kecil untuk mencari rezeki, kadar RM1.99 seliter walaupun terhad 300 liter sebulan tetap memberi ruang bernafas. Ia mungkin angka kecil di papan tanda stesen minyak, tetapi besar maknanya dalam kehidupan rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup.

Published by
Almaswa Haji Che Ros