Inspirasi

Pilih Servis Pembersihan Rumah, Intan Sudah Lali Dengan Segala Bau

Share

Bukan kerjaya biasa-biasa, buat servis pembersihan rumah juga adalah satu cabaran yang tidak ramai sanggup lakukan kerana memerlukan kudrat dan kena hadap macam-macam bau.

Pilih Servis Pembersihan Rumah

Namun ini pilihan Puan Intan Baiduri Putri Iskandar Perwira, 36, dan suami, Muhammad Nawwar Nasaruddin, 30, yang menawarkan servis mencuci rumah.

Bukan sekadar tidak kemas namun kadang-kadang dipenuhi dengan pelbagai barangan sehingga menyukarkan pemilik untuk menguruskan ruang kediaman mereka.

Antara pelanggan yang dibantunya ialah individu yang sukar membuang barangan yang sebenarnya tidak lagi diperlukan, keadaan yang sering dikaitkan dengan istilah hoarding.

Intan yang berasal dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor berkata, dia sememangnya suka membantu individu yang mungkin tidak mampu menguruskan keadaan rumah mereka sendiri.

“Kebanyakan daripada mereka tak tahu nak mula dari mana,”

katanya.

Menerusi Siakap Keli, Intan berkata dia pada asalnya berniaga tudung dan pakaian di pasar malam. Namun, perniagaannya tidak dapat diteruskan seperti biasa apabila pandemik Covid-19 melanda negara sehingga membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berdepan ujian tersebut, Intan tidak mengalah dan mula mencari jalan untuk menambah pendapatan.

“Saya mencari solusi untuk menambah pendapatan kerana ada komitmen yang perlu dibayar setiap minggu iaitu Pinjaman Amanah Ikhtiar.

“Jadi saya mencari pekerjaan yang boleh dimulakan tanpa mengeluarkan modal dan hanya menggunakan tenaga fizikal,” katanya.

Sejak itu, Intan mula bertekad menawarkan khidmat pembersihan di sekitar Lembah Klang. Malah, khidmatnya turut ditawarkan di seluruh Semenanjung.

Menurut Intan, pengalaman membersihkan rumah pelanggan pertama sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.

Pada awalnya bermula sendirian, tetapi kini Intan mempunyai seramai sembilan pekerja sepenuh masa dan empat pekerja separuh masa.

Intan Sudah Lali Dengan Segala Bau

Sepanjang melakukan pekerjaan tersebut, dia dan pasukannya turut berdepan dengan pelbagai keadaan rumah yang mencabar.

Menurutnya, ada rumah yang dipenuhi najis kucing, sampah sarap, plastik makanan dan lampin pakai buang.

Walaupun berdepan keadaan seperti itu, Intan berkata lama-kelamaan perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan bagi mereka.

“Terpaksa menahan bermacam bau dalam masa yang lama. Ada juga yang muntah, tapi sekarang kami dah biasa, dah lali…”

Selain keadaan rumah yang mencabar, Intan dan pasukannya turut pernah berdepan dengan pelanggan yang enggan membayar selepas kerja pembersihan selesai dilakukan.

“Bila pasukan dah selesai buat kerja pembersihan, dari rumah yang kotor sehingga bersih, pelanggan tak nak bayar dengan alasan tidak puas hati dengan kerja pembersihan yang kami buat.

“Sedangkan rumah penuh sampah, najis kucing. Sampai ke hari ini kami tak boleh lupa,” katanya.

Dalam masa sama, Intan juga pernah berhadapan dengan pelanggan yang sukar untuk membuang barangan milik mereka.

Menurutnya, keadaan seperti itu memerlukan pendekatan yang lebih berhati-hati.

“Cara saya kendalikan situasi itu adalah dengan cara memujuk supaya proses untuk membuang itu berjaya dilakukan,” katanya.

Namun, di sebalik keadaan sesebuah rumah yang dipenuhi barangan atau tidak terurus, Intan berkata ada kisah tersendiri yang dilalui oleh pemiliknya.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan yang mendapatkan khidmat mereka sebenarnya jatuh sakit dan tidak mempunyai tenaga untuk mengemas rumah.

“Ada yang tinggal seorang diri dan ada juga yang menghadapi tekanan hidup, contohnya suami mati mengejut atau berhutang,” katanya.

Di sebalik segala cabaran yang dilalui, Intan berkata dia berasa puas apabila dapat membantu pelanggan mendapatkan kembali rumah yang bersih dan selesa.

Menerusi pekerjaan itu juga, Intan berkata dia belajar untuk sentiasa bersyukur selain berazam membantu lebih ramai individu yang memerlukan.

Pada masa sama, Intan berharap masyarakat lebih memahami individu yang mempunyai masalah menyimpan terlalu banyak barangan dan sukar untuk membuangnya.

Menurutnya, individu seperti itu memerlukan sokongan daripada orang di sekeliling mereka dan bukannya kecaman.

“Mereka tidak sedar yang sebenarnya itu adalah satu penyakit, jadi kami sebagai perkhidmatan pembersihan mahukan sokongan yang kuat daripada orang ramai.

“Jika ada keluarga atau jiran mula ada masalah yang sama, bantulah, jangan menghukum dengan kata-kata,” ujarnya.

Begitulah, walau nampak pekerjaan ini sukar untuk diteruskan anak muda namun sebenarnya ada banyak pengalaman yang anda boleh pelajari dan secara tidak langsung menyuntik dalam diri untuk tidak terus menghukum.

Nak simpan barang boleh, tetapi jangan sampai jadi semak!

 

 

Published by
Nadia Mohamad