Pesona ‘Beauty With Brain’. Adik Amira Othman Kini Bergelar Doktor Pergigian

Share

Keanggunan bukan sekadar terletak pada wajah, tetapi pada minda yang tekun menimba ilmu. Itulah gambaran tentang Dr Nurin Kamilia Othman, adik kepada penyanyi Amira Othman menjadi tumpuan warganet selepas menamatkan pengajian Sarjana Muda Pergigian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Momen bahagia itu dikongsikan ibu mereka, Norahayati Arshad, di aplikasi Threads. Beberapa keping foto konvokesyen dan pra-konvokesyen Dr Nurin dimuat naikjelas terpancar sinar seorang anak yang telah mengharumkan nama keluarga.

“Alhamdulillah. Another daughter to be proud of. Congrats Dr Nurin Kamilia.
Doa mama dan abah sentiasa mengiringimu, amiin,” tulis ibu kepada enam cahaya mata itu, penuh syukur dan bangga.

Turut terpahat dalam rakaman foto ialah wajah bapa tersayang, Othman Abd Kadir, serta dua abang Dr Nurin, Irfan Haris dan Sadiq Azizi seolah-olah menyempurnakan potret keluarga yang menjadi sumber kekuatan kejayaannya.

Cantik, bijak dan sederhana – kombinasi yang mencuri perhatian

Seperti biasa, warganet pantas menghujani ucapan tahniah sambil memuji kecantikan Dr Nurin yang seiring dengan kecerdikan dan kesungguhan. Bagi ramai wanita muda, kejayaannya menjadi inspirasi bahawa kecantikan tidak menghadkan impian. Sebaliknya memperindah perjalanan seorang wanita yang tahu arah masa depannya.

Terdahulu, dalam perkongsian di TikTok Lepas Sekolah, Dr Nurin pernah membuka cerita tentang bagaimana beliau memilih bidang pergigian.

Ayahnya pada awalnya menyarankan bidang perubatan, namun Dr Nurin jujur dengan kecenderungan diri.

“Ayah minta saya pertimbangkan perubatan, tapi saya tak nampak diri mampu berada dalam bidang itu sepanjang hayat. Tapi saya tetap mahu memenuhi permintaannya. Lalu saya tanya abah, bagaimana kalau pergigian? Dan abah setuju.”

Pilihan itu tidak dibuat secara semberono. Sejak kecil, Dr Nurin mencintai sains dan pada masa sama amat menggemari seni. Dan pergigian, baginya, adalah titik pertemuan paling indah antara dua dunia yang dicintai.

“Bidang pergigian ialah gabungan sempurna antara sains dan seni,” katanya ringkas tetapi penuh makna.

Kejayaan Dr Nurin bukan datang sehelai sepinggang. Ia lahir daripada sokongan keluarga besar yang berlapis kasih—daripada ibunya yang setia mendoakan, hinggalah ayah yang menjadi kompas arah masa depannya.

Sebagai info, Amira Othman mempunyai enam adik-beradik, kakak sulung Izzati Maria, tiga adik lelaki Sadiq Azizi, Haiqal Iskandar dan Irfan Haris serta si bongsu perempuan yang kini bergelar Dr Nurin Kamilia.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Rosmah Idayu