Inspirasi

Pesanan Arwah Suami Jadi Pegangan “Jika Tangan Kanan Memberi Kepada Seseorang, Tangan Kiri Tidak Patut Tahu. Simpan, Sembunyikan” Zizie Izette

Share

Kehilangan insan tersayang bukan sesuatu yang mudah untuk ditanggung oleh seorang isteri. Itulah yang kini dilalui oleh Datin Seri Zizie Ezette, 47, apabila pemergian suami tercinta, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, terus meninggalkan ruang kosong yang sukar diganti dalam hidupnya.

Dalam satu hantaran di InstaStory, Zizie meluahkan rasa rindu dan penghargaan yang tidak bertepi terhadap arwah suaminya. Lebih menyentuh hati, Zizie berkongsi nasihat yang paling diingatnya daripada arwah, yang akan terus menjadi pegangan hidup.

Pesanan Arwah Suami Sentiasa Jadi Pegangan

“Saya tidak akan melupakan nasihat awak iaitu jika tangan kanan memberi kepada seseorang, tangan kiri tidak patut tahu. Simpan, sembunyikan. Biarlah kebaikan itu hanya Allah yang tahu.’”

Menurut Zizie, arwah Bung Moktar adalah seorang lelaki yang tidak pernah mengejar pengiktirafan. Setiap kebaikan yang dilakukan adalah datang dari hati yang ikhlas.

“Begitu juga awak tidak pernah mahukan pengiktirafan, awak melakukan segala-galanya dari hati awak,” luah Zizie.

“Walau Awak Sudah Tiada Namun Orang Masih Bercakap Kebaikan Awak”

Zizie mengakui segala kebaikan, perhatian dan kasih sayang suaminya selama 16 tahun bersama akan kekal hidup dalam dirinya dan keluarga kecil mereka.

“Terima kasih atas segalanya yang pernah dicurahkan kepadaku. Saya akan terus bawa, menghargainya, dan turunkan kepada anak-anak kita, jadi sebahagian daripada awak terus hidup bersama kami,” sambungnya lagi.

Walaupun suaminya telah tiada, Zizie berkata masyarakat semakin menyedari segala jasa dan pengorbanan arwah ketika hayatnya.

“Sekarang setelah awak tiada, orang akhirnya bercakap tentang kebaikan awak, pengorbanan awak dan semua perbuatan baik awak.

“Terima kasih untuk 16 tahun ini. Awak bekerja keras untuk semua orang dan awak sentiasa melakukan yang terbaik. Awak berjuang untuk orang di sekeliling, tidak pernah untuk diri sendiri. Awak ternyata tidak mementingkan diri sendiri,” tambah Zizie.

Zizie juga turut menitipkan doa buat arwah suaminya dengan penuh kesayuan.

“Semoga Allah mengampunimu, mencucuri rahmat ke atas rohmu dan memberimu kesejahteraan di Jannah,” akhiri Zizie.

Untuk rekod, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar, 66, meninggal dunia Jumaat lalu di sebuah hospital di Kota Kinabalu akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas pada hari yang sama.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2009 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Baca Disini : Pemergian Datuk Seri Bung Moktar: Luahan Sebak Zizie Izette Dedah Keperibadian Sebenar Suami Tercinta

Published by
Norhayati Suboh