Dek kerana rasa tidak puas hati dengan
bekas teman wanita, pertemuan damai untuk menyelesaikan konflik hubungan bertukar menjadi tragedi berdarah apabila seorang lelaki dipercayai menikam mati teman lelaki bekas kekasihnya sebelum melarikan diri sejauh ratusan kilometer.
Pertemuan Damai Bertukar Jadi Mimpi Ngeri


Suspek berusia 30 tahun itu akhirnya diberkas polis ketika berada di Terminal Bas Perlis Sentral, Kangar, pada petang semalam hasil operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan Perlis.
Lebih mengejutkan, siasatan awal mendapati suspek bukan sahaja dipercayai membunuh mangsa, malah turut didakwa merogol bekas teman wanitanya yang berusia 25 tahun sehari sebelum kejadian pembunuhan berlaku.
Wanita Itu Diugut & Dir*g*l Dalam Kereta Suspek!


Menurut polis, kejadian bermula apabila suspek bertemu wanita terbabit di kawasan sawah padi di Jalan Trans Perak bagi membincangkan masalah hubungan mereka. Namun pertemuan itu didakwa bertukar menjadi mimpi ngeri apabila wanita tersebut diugut dan dirogol di dalam kereta suspek.
Keesokan harinya, ketika suspek menghantar wanita berkenaan ke keretanya, teman lelaki mangsa yang berusia 29 tahun hadir untuk berjumpa suspek.
Situasi kemudian menjadi tegang apabila suspek melarikan diri dengan kenderaannya sebelum dikejar mangsa. Mangsa berjaya melanggar dan menghalang kereta suspek daripada meneruskan perjalanan.
Namun sebaik sahaja mangsa keluar dari kenderaan, suspek dipercayai terus menyerangnya dengan sebilah pisau dan menikam mangsa di bahagian perut.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah sempat dibawa ke sebuah klinik swasta di Kampung Gajah, namun disahkan meninggal dunia.
Selepas kejadian, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan kereta milik mangsa sebelum meninggalkan kenderaan tersebut di Batu Gajah.
Polis yang menjalankan siasatan segera berjaya mengesan dan menahan suspek di Perlis. Sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut ditemui selepas suspek menunjukkan lokasi senjata berkenaan yang dibuang ke dalam tong sampah di Bandar Kangar.
Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu dan konflik hubungan yang berlarutan.
Difahamkan, suspek juga mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.