Meninggal dunia ketika
berpantang, kisah ini sangat mencuit emosi orang ramai apabila pergi secara tiba-tiba. Malahan tiada siapa menyangka perkongsian seorang ibu muda mengenai mimpi-mimpi pelik yang dialaminya ketika hamil rupa-rupanya menjadi kenangan terakhir yang menyentuh hati ramai.
Pernah Mimpi Meninggal Dunia Sebelum Bersalin


Nur Shahkilah Abdul Rahim, yang mesra dikenali sebagai Kila Shahkilah, sempat berkongsi satu hantaran yang agak pelik menerusi akaun Threads miliknya (@
Kila Shahkilah) pada 6 Mac lalu. Ketika itu, arwah sedang sarat membawa kandungan anak ketiganya.
Dalam perkongsian tersebut, dia menceritakan pengalamannya bermimpi meninggal dunia sewaktu menghampiri detik-detik melahirkan anak. Detik yang disangka sekadar mainan tidur itu rupanya menjadi sebuah petanda awal sebelum dirinya benar-benar pergi buat selamanya.
”Masa dekat-dekat nak due saya mimpi baby nak keluar… saya mimpi saya meninggal… alhamdulillah semuanya Allah permudahkan… 10 minit je saya dalam LR (labour room),” tulis arwah dalam tangkapan skrin Threads yang tular.
Ketika itu, ramai yang menganggap itu hanya mainan tidur atau kebimbangan biasa yang sering dialami oleh ibu hamil menjelang saat melahirkan anak. Namun siapa sangka, perkongsian tersebut kini kembali menjadi perhatian selepas berita pemergiannya tersebar.
Pada 17 Mei lalu, Shahkilah selamat melahirkan anak ketiganya, Muhamad Adyan Rayyan, di Hospital Sultanah Fatimah, Muar. Difahamkan, proses kelahiran berjalan lancar dan cukup mudah apabila beliau hanya mengambil masa sekitar sembilan minit di dalam bilik bersalin sebelum bayi lelaki itu dilahirkan dengan selamat.
Kehadiran si kecil itu pastinya menjadi pelengkap kebahagiaan keluarga. Namun kebahagiaan yang baru dirasai itu tidak bertahan lama.
Wanita Berpantang Dijemput Ilahi Ketika Tidur


Dalam keadaan masih berpantang dan belum sempat menikmati sepenuhnya detik membesarkan bayi yang baru dilahirkan, Shahkilah dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur.
Berita sedih itu mengundang sebak ramai, terutama mereka yang mengikuti perjalanan hidupnya di media sosial. Lebih memilukan, bayi yang baru dilahirkan itu kini terpaksa membesar tanpa dakapan dan kasih sayang seorang ibu di sisi.
Di saat ramai ibu sedang menikmati momen indah berpantang sambil memeluk bayi yang baru lahir, Shahkilah pergi meninggalkan suami dan tiga orang cahaya mata untuk selama-lamanya.
Semoga Allah mengampunkan segala dosa Allahyarhamah, melapangkan kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
Al-Fatihah.