Kita sering menyangka wanita kuat itu tidak pernah menangis. Tapi realitinya, wanita yang paling kuat adalah mereka yang pernah runtuh dalam diam, pernah disakiti oleh orang yang paling dipercayai, namun tetap memilih untuk bangkit demi anak-anak dan dirinya sendiri.
Itu kisah menyentuh hati pelakon dan bekas peserta Akademi Fantasia 3, Elliza Razak, tampil berkongsi sisi paling perit dalam hidupnya, menjadi mangsa keganasan rumah tangga, selama hampir satu dekad!
Perkahwinan yang dibina sejak tahun 2011 tidak semanis yang disangka. Di sebalik senyum manis dan kehadiran dua cahaya mata, Elliza sebenarnya sedang bergelut dalam diam. Bermula sekitar tahun 2015, episod hitam itu menyapa dia mula menjadi mangsa dera suami sendiri.
“Saya pernah ditolak, ditampar, diheret keluar bilik… waktu tu saya tengah mengandung anak kedua. Anak saya nampak segalanya. Dia menjerit tengok saya kena. Jeritan dia masih terngiang-ngiang sampai sekarang.”
Bagi Elliza, rasa malu dan takut itu terlalu besar untuk dikongsi. Tiada laporan polis dibuat, tiada keluarga yang diminta datang selamatkan. Semuanya disimpan sendiri.
Bertahan dalam rumah tangga toksik, Eliza mempunyai sebab tersendiri mengapa dia bertahan.
“Mak saya pernah pesan, kalau Elliza boleh ubah dia, besar pahala. Saya pegang kata-kata tu. Saya tak nak kecewakan mak dan ayah. Keluarga tahu saya tak bahagia, tapi saya teruskan juga.”
Kata-kata itu cukup menunjukkan bagaimana wanita sering meletakkan orang lain lebih penting daripada dirinya sendiri. Bertahan demi anak, demi keluarga, demi imej rumahtangga, hingga akhirnya mengorbankan diri sendiri tanpa sedar.
“Saya fikir hati semua orang, tapi saya lupa diri saya.”
Setelah bertahun-tahun menahan derita, Elliza akhirnya memilih untuk keluar dari hubungan toksik itu. Perceraian yang berlaku tahun lalu bukan mudah, tetapi ia adalah permulaan kepada kehidupan yang lebih sihat untuk dirinya dan anak-anak.
Namun begitu, perpisahan bukan penamat kepada perjuangan. Elliza perlu berdepan pula dengan simptom trauma dan anxiety, kesan daripada pengalaman lalu.
“Bukan mudah. Tapi saya tahu saya perlu sembuh, untuk anak-anak. Untuk saya.”
Menerusi satu hantaran di Instagram, Elliza atau nama penuhnya Elliza Abdul Razak, 36, menegaskan bahawa dia kini tidak mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki berkenaan selepas mereka sah bercerai.
Saya sudah bercerai dan saya tidak ada kena mengena lagi dengan bekas suami saya. Saya sendiri pun tidak tahu dia tinggal di mana sekarang. Tolong jangan cari saya. Saya tak tahu apa-apa tentang hutang dia.
Elliza mengakui tertekan dan terganggu apabila kerap menerima mesej daripada individu yang didakwa sedang mencari bekas suaminya untuk menagih hutang.
Hari ini pun saya terima banyak mesej daripada orang yang mencarinya lagi. Nada mesej pun dah macam Ahlong menuntut hutang. Ya Allah tolonglah jangan ganggu ketenteraman saya.
Dakwa Elliza lagi, selain isu hutang, bekas suaminya itu juga didakwa culas nafkah anak-anak. Elliza turut menjelaskan bahawa tujuannya memuat naik kenyataan di media sosial bukanlah untuk meraih simpati, sebaliknya sebagai satu usaha untuk melindungi dirinya dan anak-anak daripada terus diganggu.