Tulis Tesis Di Atas Katil Hospital, Pensyarah Tabah Tamatkan PhD Walau Hidap Kanser Tahap Empat

Share

Terpaksa menulis tesis di atas katil hospital selepas menjalani rawatan kemoterapi bukan alasan untuk berputus asa bagi seorang pensyarah UMK yang menghidap kanser payudara. Ketabahan luar biasa Dr. Fadilah Hanim Abdullah, 45, akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Keusahawanan selepas hampir lapan tahun berjuang menamatkan pengajian.

Perjuangan Seorang Pensyarah UMK

Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Kota Bharu itu berkata, perjalanan akademiknya penuh liku apabila beliau terpaksa menyiapkan tesis dalam keadaan menahan kesakitan akibat rawatan yang dijalani. Banyak masa dihabiskan di hospital dan di rumah untuk menulis, walaupun tubuhnya lemah akibat kemoterapi.

“Perjalanan saya bermula pada tahun 2015, namun setahun kemudian saya disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga. Ketika itu semangat saya hampir hilang. Saya menjalani pelbagai prosedur termasuk pembedahan, 22 kali kemoterapi dan 20 kali radioterapi,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-15 UMK di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Bachok.

 

Ketabahan Hadapi Dugaan Kanser Tahap Empat

Namun dugaan belum berakhir apabila pada tahun 2023, sel kansernya merebak ke tulang hingga mencapai tahap empat. Meskipun begitu, pensyarah UMK ini tidak menyerah kalah. “Alhamdulillah, berkat doa keluarga, rakan-rakan serta kekuatan diri, saya berjaya menamatkan pengajian ini. Saya mahu buktikan bahawa sakit bukan alasan untuk berhenti berjuang,” ujarnya penuh sebak.

Detik Manis Menerima Ijazah PhD

Lebih bermakna, Dr. Fadilah Hanim menerima ijazahnya daripada Pro-Canselor UMK, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga Tengku Mahkota Kelantan, sekali gus menjadikan detik itu antara kenangan paling manis dalam hidupnya. Bagi pensyarah UMK ini, perjalanan tersebut bukan sekadar akademik, tetapi lambang kekuatan luar biasa seorang wanita melawan kesakitan.

 

PhD Sebagai Simbol Kekuatan

Menurutnya lagi, tempoh pengajian PhD sepatutnya hanya empat tahun, namun disebabkan masalah kesihatan, beliau mengambil masa dua kali ganda lebih lama. “Saya percaya setiap cabaran itu datang bersama hikmah. PhD ini bukan sekadar gelaran, tetapi simbol kekuatan, kesabaran dan kebergantungan kepada Allah,” katanya.

 

Kisah Inspirasi Buat Semua

Kisah pensyarah UMK ini menjadi inspirasi kepada ramai — bahawa walau diuji dengan penyakit, semangat dan ketekunan mampu membawa seseorang ke puncak kejayaan. Beliau membuktikan bahawa dengan keazaman dan doa, tiada apa yang mustahil untuk dicapai.

Sumber: Facebook Universiti Malaysia Kelantan 

Artikel lain: Ibu Sebak Terima Skrol Diploma Arwah Anak – “Hadiah Terakhir Airel Buat Saya”

Anak Gadis Yang Dipelihara Ibu Angkat Cina Sejak Bayi Berjaya Genggam Diploma Terima Kasih Laoshi Membesarkan Saya

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has