Bila tengok design rumah moden, hati mula terjentik-jentik mahu membeli. Laju saja suri membayangkan mahu hias dalaman kediaman ikut konsep idaman. Seronoklah hati bila rumah yang diinginkan sudah ada di tangan.
Sayangnya baru beberapa bulan duduk anda mula menanggung kos-kos yang tidak perlu. Seperti bil elektrik yang tinggi akibat penggunaan aircond. Sebabnya rumah idaman anda bersifat sauna. Walau pasang kipas, bahangnya tak mahu juga hilang.
Baca perkongsian Penulis Buku Hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad(PhD) merangkap Pensyarah Kanan di Jabatan Seni Bina Dalaman, Fakulti Senibina, Perancangan Dan Ukur, UiTM Perak
Mengapa Bumbung Pendek?
Pemaju banyak buat rumah rekabentuk baru hari ini. Rekabentuk baru ini menjadi kegilaan pembeli.
Bila bumbung direkabentuk pendek begini sebenarnya ia tidak menjadi pelindung cuaca yang baik buat rumah kita.
Fungsi bumbung selain beri ‘rasa’ cantik, ia sebagai pelindung matahari yang terik, hujan yang lebat, silau dan kesan tempias angin yang kuat.
Ads
Bila bumbung rumah pendek, cahaya matahari terus ke dinding rumah. Dinding akan menjadi seperti ‘span’ cuci, semua haba panas akan diserap dan disimpan rapi.
Bila malam hari, dinding ini akan lepaskan haba yang disimpan siang tadi. Rumah yang kita duduk akan rasa macam dikukus dalam ‘steamboat’ nanti.
Kita akan pasang penghawa dingin sepanjang masa, walau hujan haba panas tetap ada. Kos bil elektrik setahun buat hati kita cepat terluka.
Ads
Bumbung pendek ini juga bila hujan lebat akan masukkan air ke dalam bumbung atau siling rumah kita, lebih malang ada kala air masuk terus ke dalam rumah. Lepas hujan boleh bela ikan dalam rumah.
Pemaju jana keuntungan dari ‘design modern’ ini, mereka jimat kos bahan binaan sebab kepingan genting sikit digunakan. Bukaan binaan rumah hanya 25′ x 40′.
Bagaimana kita tahu bahawa ‘design hebat’ ini gagal? Bila banyak rumah lepas itu buat bumbung tambahan dan pasang aircond sepanjang malam.
Ads
Elakkan beli kediaman modern, canggih dan berwawasan ini. Selain ia semakin kecil rekabentuk begini akan rugikan pembeli nanti.
Rekabentuk baik tidak semestinya cantik, ia berfungsi dengan baik.
Saya sertakan beberapa gambar dan model rumah yang saya jumpa disini. Moga jelas dan makin faham.
Setiap insan mengharapkan hanya yang terbaik dalam kehidupan. Namun siapalah kita untuk menolak ujian dari Allah SWT. Di sinilah tahap keimanan diukur bagi menentukan sejauh mana ikhlasnya mulut mengatakan redha dengan dugaan.
Kunjungan penulis ke kediaman Azman Lokmat, 53 tahun di Klang tidak lama dahulu benar-benar menyentak hati.
Begitu dalamnya kasih Azman terhadap isteri, Raja Zarifah Raja Ramli. Langsung tidak berbelah bahagi meskipun si isteri sudah tidak seperti dahulu. Hampir sepanjang masa, Raja Zarifah menghabiskan harinya di kerusi roda yang menjadi ‘kaki keduanya’.
Dia kini bergelar Orang kelainan Upaya (OKU) setelah lumpuh separuh badan. Fizikalnya kian susut malah ubat–ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital sudah menjadi makanan rutin.
Walau bagaimanapun keadaan si isteri, Azman tidak pernah sekalipun merungut. Dia tegar melaksanakan tanggungjawab sebagai suami meskipun sedikit lelah untuk mengurus keluarga dan keluar mencari rezeki.
Sebelum Pergi Kerja, Suami Siapkan Isteri Dahulu
“Asalnya dahulu, isteri sihat walafiat dan boleh bekerja bagi membantu kami sekeluarga. Tetapi, ketika mengandungkan anak kedua (tahun 1999), berlaku satu keadaan di mana kaki isteri tiba-tiba lemah.
“Macam menggeletar seperti terkena penyakit Parkinson. Masalah itu berlarutan hinggalah anak kami dilahirkan. Sekarang, isteri disahkan lumpuh dari pinggang ke bawah. Langsung tak boleh berjalan. Kata doktor, saraf isteri bermasalah.
“Suami manalah yang sanggup lihat isteri yang dinikahi sempurna, kini menderita kesakitan. Pada awalnya, emosi saya sedikit terganggu. Dia adalah tulang belakang keluarga.
“Bila dia macam ni, seluruh isi rumah merasa kesannya. Sejak itu, saya belajar untuk ambil alih semua tugas-tugasnya malah setiap hari, sebelum pergi kerja, saya akan siapkan isteri terlebih dahulu.
“Mandikan dia, siapkan makanannya dan beri ubat. Selepas itu, saya akan bawa isteri ke rumah mak. Maksudnya, sepanjang saya keluar bekerja maka mak lah yang diharapkan untuk tengok-tengokkan isteri. Risau juga lah hati ini jika hendak biarkan dia seorang diri di rumah.
“Selain mendapatkan rawatan di hospital, saya tak putus harap untuk mencuba rawatan tradisional. Ada masanya saya akan panggil tukang urut datang ke rumah. Minta urutkan isteri dan betulkan urat sarafnya.
“Alhamdulillah, sekarang dah nampak sedikit perubahan. Isteri dah boleh berdiri tetapi masih perlu berpaut kerana kakinya belum kuat seperti dahulu. Pastinya, saya rasa amat gembira dan bersyukur.
“Sekalipun tidak secara drastik perubahan yang berlaku ke atas dirinya namun semangat dan kesungguhan isteri untuk sembuh membuatkan saya betul-betul kagum.” cerita Azman dengan wajah yang gembira.
Rezeki Tak Disangka Dari Bantuan PERKESO
Ujar Azman, sebelum ini dia tidak tahu langsung tentang ‘bantuan’ yang boleh diminta dari PERKESO. Namun, kuasa Tuhan yang mempertemukan Azman dengan tukang urut isterinya.
Dialah yang bertanggungjawab memaklumkan masalah tersebut ke pihak PERKESO. Walaupun tidak semewah mana namun, bantuan kerusi roda serta wang pencen minima sedikit sebanyak telah meringankan beban keluarga ini.
“Bayangkan sahaja, lebih kurang 19 tahun isteri ‘diserang’ penyakit ini. Selama itulah kami kerap ulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan serta ubat-ubatan.
“Dahulu, kaki isteri kerap menggeletar dan lemah. Bagi mengatasi masalah tersebut, doktor mencadangkan agar isteri dimasukkan ke dalam wad dua minggu sekali bagi mendapatkan ubatan dan rawatan yang sepatutnya.
“Sekarang, isteri dah tak perlu masuk wad lagi sebab doktor sudah pun menjumpai ubat yang sesuai untuknya biarpun anggaran harga bagi ubat tersebut mencecah RM4,000 lebih. Mujurlah, kos tersebut ditanggung oleh kerajaan. Jika tidak, tak tahulah mana saya hendak cari wang sebanyak itu.
“Insya-Allah, jika tiada apa-apa masalah, isteri saya akan jalani ujian imbasan MRI di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 22 Januari ini. Harap-harap semuanya baik-baik sahaja.
“Jujur dikatakan, tiada yang lebih menggembirakan hati saya selain dari senyuman yang terukir di wajahnya. Saya tahu dia kuat dan tentunya dia seorang wanita yang hebat kerana mampu bertarung dengan penyakit yang dihidapi. Moga Allah beri rahmat kesihatan dan keimanan pada kami untuk terus jalani ujian yang mendatang ini,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata dengan suara yang penuh harapan.
Cinta Saya Tak Pernah Berbelah Bagi
Melihatkan ketabahan pasangan ini, hati penulis seakan dijentik untuk bermuhasabah. Sesungguhnya Allah mendatangkan ujian kepada hamba-hambaNya yang benar-benar bersedia.
Betapa polosnya wajah si suami, menjaga dan memanjakan si isteri biarpun sulit untuknya mengambil alih seluruh tugas-tugas di rumah. Memasak, membasuh, menjaga hal kebajikan isteri, anak-anak. Ah, bukan mudah! Namun, inilah keajaiban yang Allah berikan. Selama mana dia ikhlas dengan apa yang dilakukan maka selama itulah Allah memudahkan setiap urusan.
Usai perjumpaan kami pada petang itu, Azman mohon untuk keluar bekerja. Seperti biasa, isterinya akan diletakkan sementara di rumah emaknya. Kelebihan bekerja dalam bidang pemasaran seakan bonus baginya untuk memperuntukkan sedikit masa bersama isteri.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada syarikat kerana memberi sedikit kelonggaran pada saya untuk mengurus isteri. Tak tahulah macam mana hendak balas jasa baik mereka.
“Benarlah kata orang, di saat susahlah baru kita tahu siapakah yang layak digelar sahabat. Alhamdulillah, anak-anak pun dah besar panjang. Mereka pun dah pandai berdikari jadi fokus saya hanya pada isteri sahaja.
“Moga Allah perkenankan doa kami agar isteri kembali sihat biarpun tidak mampu berjalan sepenuhnya, memadailah jika dia betah mengurus diri sendiri. Namun yang pasti, cinta dan kasih saya padanya tidak pernah berbelah bahagi.” Akhiri Azman bersungguh-sungguh.
Penulis : Nazwa Selamat Foto : Nurul Akmar Azimi Terima Kasih kepada En Samson dari PERKESO Klang
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Musim demam selesema dan batuk berkahak ni, elok sangatlah anda cuba keajaiban jus nanas yang dikisar sendiri. Minuman ini mampu mengurangkan batuk anak kecil lingkungan umur 1 tahun ke atas. Lagi bagus, minuman ini juga boleh hilangkan kahak dan batuk tanpa minum ubat batuk.
Cara Buat Jus Nanas
Apa yang anda perlukan ialah:
Kisar 1/2 biji nenas
1/2 in halia
Sedikit madu (jika suka)
1. Gunakan nanas yang manis, jangan nanas muda.
2. Jika mahu lagi sedap anda boleh tambahkan dengan 2 sudu makan madu lebah. Kisar ketiga-tiga bahan dengan 1 cawan air masak.
3. Setelah kisar, tapis hampas buah untuk ambil jus nanas. Kemudian masukkan dalam botol dan simpan dalam peti untuk dinikmati.
Saranan minum:
Minum pagi dan malam sebelum tidur untuk hilangkan batuk.
Untuk permulaan anda disarankan guna 1/4 biji nanas dan sedikit halia (anggaran setengah inci dibahagi 2).
Rahsia ini bukan kanak-kanak je, orang tua pun boleh amalkan untuk sembuh dari batuk. Selamat mencuba!
Nota:
Jangan sayang dan simpan lama ya. Kalau anak batuk untuk masa akan datang, sila buat jus yang baru lagi fresh. Tidak disyorkan bagi pada bayi ya!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Komunikasi dalam rumah tangga tak boleh dipandang ringan bahkan antara perkara paling utama dalam perkahwinan. Semua perkara walau pun hal yang kecil atau dianggap remeh, perlu dibincangkan di antara suami isteri. Kalau masing-masing asyik memendam saja, itu yang boleh jadi makin besar dan bertambah serius.
Kuncinya KOMUNIKASI!
Antara kunci utama dalam tiap perhubungan adalah KOMUNIKASI, lebih-lebih lagi dalam hubungan suami isteri. Sangat berbahaya sebuah perhubungan andai tidak dapat menjalinkan komunikasi dengan berkesan.
Maksudnya, tiada perbincangan dua hala di antara pasangan terbabit. Banyak masalah dipendamkan dan tidak diberitahu kepada pasangan. Kalau rasa tak puas hati pada sesuatu perkara yang dilakukan pasangan, tak pernah nak luahkan dan sudah tentu dia pun tak sedar silapnya.
Makin lama memendam, rasa tak puas hati itu makin merebak dalam hati. Lama-kelamaan boleh jadi masalah lebih besar hingga mencetuskan pertengkaran hebat. Tentu kita tak nak jadi macam tu kan?
Semua Dipendam, Alasan Tak Nak Bebankan
Ada suami yang tak suka kongsi masalah dengan isteri dengan alasan tak nak susahkan isteri atau buat isteri terbeban. Pada saat getir hari ini, suami dipotong gaji dan tak diberitahu pada isteri. Bila isteri minta perbelanjaan bulanan seperti biasa, suami merungut dan marah-marah dan kurangkan belanja bulanan. Isteri yang tak tahu perkara sebenar anggap suami mula berkira soal beri wang belanja. Mula fikir yang bukan-bukan tentang suami.
Bayangkan kalau ia berterusan. Tidakkah hubungan itu makin keruh dan bermacam salah faham boleh timbul nanti?
Tidakkah dalam kes ini, jalan terbaik adalah suami berterus terang tentang situasi sebenar kewangan keluarga yang sedang dihadapi? Bawa isteri berbincang sama-sama untuk cari penyelesaian. Tentu isteri akan sedaya upaya untuk bantu sama-sama buat bajet untuk keluarga.
Normal lah kalau pasangan kita ‘diintai’ oleh orang lain. Walau pun tak dilayan, tapi ada yang memerhatikannya. Bila melibatkan orang ketiga, biasanya pasangan tak kira suami atau isteri akan lebih suka sembunyikan. Alasannya tak nak pasangan cemburu. Tapi, cuba bayangkan kalau pasangan ternampak mesej yang tak sepatutnya yang dihantar oleh orang tersebut? Tidakkah timbul salah faham. Silap hari bulan, perang besar jadinya.
Seeloknya, kalau ada yang ‘lain macam’, berterus terang dengan pasangan. Tak timbul soal cemburu. Ya, mungkin dia cemburu tapi jauh di sudut hati, dia akan berbesar hati kerana kita sanggup berterus terang dengannya.
Jangan Ambil Mudah soal Komunikasi
Apa juga perkara dalam rumah tangga, jangan ambil mudah. Pasangan kita sepatutnya menjadi sahabat kita yang paling akrab. Tempat untuk kita berkongsi apa saja masalah. Ini tidak, lebih percayakan orang lain daripada pasangan sendiri.
Bila ada masalah, lebih suka minta pandangan orang lain berbanding bersemuka dan berterus terang dengan pasangan. Dibimbangi, orang yang memberi nasihat itu hanya memburukan lagi keadaan kerana dia tak berada di tempat kita.
Kalau marah atau kecil hati dengan suami/isteri, terus terang saja. Mungkin kita tengok dia seolah-olah tak ambil peduli pun, tapi sebenarnya di sudut hati, dia sudah maklum akan apa yang kita telah beritahu. Kalau hal yang sama berulang kelak, dia sedar dan tahu apa perasaan yang kita rasa terhadap hal itu.
KOMUNIKASI teramat penting! Tolong jangan pandang remeh soal komunikasi. Tak mengapa kalau bertekak dan bertengkar waktu itu, asalkan masing-masing meluahkan ketidakpuasan hati. Kena ingat, orang tak boleh ‘baca’ fikiran kita, begitu juga kita. Jadi, berkomunikasilah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siti pesan, Umairah jangan lupa mak ayah. Sebagai ibu saudara dan juga Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi nasihat cukup bermakna buat penyanyi...