Penangan Cinta Fattah & Amira, ‘Poskad Cinta Dari Auckland’ Cecah 20.1 Juta Tontonan!

Share

Dalam suasana redup dan romantik di Ukays Hills, Bukit Antarabangsa, pasangan selebriti popular Fattah Amin dan Amira Othman diraikan dalam majlis eksklusif Hi-Tea The Garden of Love FATTMIRA, anjuran Usanita Sdn. Bhd. pada 18 Oktober lalu.

Acara yang berlatarkan taman indah itu bukan sekadar meraikan pasangan pengantin baharu yang kini menjadi simbol cinta bahagia dalam dunia hiburan, tetapi turut menjadi pentas pelancaran rasmi lagu runut bunyi (OST) telefilem Poskad Cinta Dari Auckland berjudul Always Will, ciptaan Ajai dan dinyanyikan sendiri oleh Amira Othman.

Suasana petang itu diserikan dengan kehadiran pemenang bertuah dan pelanggan setia aplikasi Usanita TV (UTV) yang memenangi cabaran khas di TikTok, portal Gempak dan radio ERA. Acara turut dikemudikan oleh pengacara serasi, Awal Ashaari dan Yasmin Hani, menjadikan interaksi antara artis dan peminat terasa begitu dekat dan mesra.

Taman Cinta FATTMIRA

Dengan konsep dekorasi “Garden of Love”, majlis tersebut seolah-olah membawa para tetamu menyelusuri perjalanan cinta dua hati yang kini disatukan dalam ikatan perkahwinan penuh restu.

Antara detik paling manis ialah segmen khas “FATTMIRA Love Story”, di mana pasangan ini berkongsi sisi peribadi mereka sebagai suami isteri.

Amira, sambil tersenyum manja, mendedahkan keperibadian Fattah sebagai suami yang matang dan menenangkan.

“Fattah ni jenis yang tak suka panjangkan hal. Kalau saya merajuk, dia cepat-cepat selesaikan. Dia akan cakap, ‘Dah lah, tak payah panjang-panjang.’ Saya pun cepat sejuk.

Saya anggap dia suami yang sangat tenang. Saya tak mampu balas semua kebaikannya, tapi saya yakin Allah Maha Mengetahui dan Maha Baik. Moga Allah memberikan yang terbaik buat suami saya,” ujar Amira penuh makna.

Fattah pula dengan nada sederhana namun penuh kasih berkata,

“Saya selalu cakap, isteri syurga… isteri syurga. Semoga jodoh kami sampai ke syurga.”

Cinta Dalam Lagu & Layar

Menurut Pengasas Usanita Sdn. Bhd., Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan atau Datuk Nana, majlis itu bukan sekadar simbolik cinta FATTMIRA, tetapi juga menandakan pelancaran rasmi karya pertama di bawah Usanita Entertainment, cabang kreatif baharu di bawah UTV (Usanita TV).

“Hari ini kita meraikan pasangan Fattah dan Amira yang juga wajah rasmi Usanita Group, selain memperkenalkan lagu pertama kami — Always Will, nyanyian Amira Othman yang menjadi OST Poskad Cinta Dari Auckland

,” jelas Datuk Nana.

Telefilem arahan Izuan Mokhtar itu, yang menampilkan Fattah Amin, Amira Othman, Irfan Haris, Bell Ngasri, Umie Aida dan Izuan Mokhtar sendiri, telah mencatat lebih 20.1 juta tontonan sejak dilancarkan pada 28 Ogos lalu, bukti kuat bahawa kandungan tempatan masih menambat hati penonton.

Komposer terkenal Ajai pula mendedahkan bahawa inspirasi lagu Always Will lahir daripada jalan cerita dan emosi yang dibawa oleh telefilem berkenaan.

“Saya tulis berdasarkan sinopsis dan visual cerita. Vokal Amira saya sesuaikan dengan jiwa lagu — lembut tapi kuat, seperti watak dan cintanya dalam kisah itu,” katanya.

Petang Penuh Kasih & Melodi

Acara yang penuh glamor dan kasih itu turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada rakan artis seperti Sophia Albarakbah dan Nadeera Zaini, yang membawakan lagu baharu berjudul Peluk

, menambahkan lagi aura romantik dalam udara petang yang syahdu.

Dengan keindahan dekorasi, alunan muzik dan senyuman dua hati yang kini bersatu, majlis The Garden of Love FATTMIRA bukan sekadar perayaan cinta, tetapi sebuah penghargaan kepada perjalanan dua jiwa yang ditakdirkan bertemu dalam seni, lagu dan kasih yang abadi.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu