
Pemuda Cina kongsi kebaikan Pengetua jadi pelindung saat jalani kehidupan susah, “dia dibawah jagaan saya… Di sebalik kisah tular tentang kebaikan yang sering mendapat perhatian di media sosial, masih banyak cerita serupa yang tidak pernah diceritakan.
Perkara itu dikongsi pengguna Facebook, Wilson Goh seorang pemuda Cina yang mengimbau pengalaman peribadinya dibantu pengetua sekolahnya, Allahyarhamah Puan Maznah ketika berdepan kesukaran hidup sebagai pelajar.
Menurutnya, perkongsian itu ditulis selepas dirinya teringat kembali pengalaman lalu susulan kisah tular melibatkan pemuda Cina dikenali sebagai Dicky yang dibantu seorang lelaki Melayu dikenali sebagai “Abang Minyak Hitam Jalanan” selepas tidak mempunyai wang mencukupi untuk menukar minyak hitam motosikalnya.
Wilson berkata, kisah Dicky yang dibantu tanpa bayaran itu cukup menyentuh hatinya dan mengingatkannya kepada pengalaman sendiri. Menurut pemuda ini, ada insan yang kehadirannya tidak lama tetapi muncul tepat ketika kita paling memerlukan.
Katanya, dia kembali ke sekolah pada usia 17 tahun dalam keadaan serba kekurangan, menyewa bilik kecil dan bekerja setiap hari selepas tamat sesi persekolahan.
Dalam keadaan itu, dia memberanikan diri berjumpa pengetua untuk memohon kebenaran membawa telefon ke sekolah.
“Saya terus masuk pejabat pengetua dan cakap, ‘Puan, saya nak bawa telefon ke sekolah.’”
Menurutnya, pada waktu itu, pelajar membawa telefon ke sekolah merupakan satu kesalahan besar. Namun reaksi pengetua tersebut di luar jangkaan apabila permintaannya tidak ditolak.
“Dia tak marah, tak tolak. Dia cuma tanya kenapa dan bila saya jelaskan, dia hanya angguk dan kata boleh, asalkan tak ganggu pelajaran.”
Keprihatinan Yang Membekas
Apa yang paling diingati Wilson bukan sekadar kebenaran itu tetapi keprihatinan pengetua tersebut terhadap dirinya.
“Awak makan macam mana?” tanya Puan Maznah.
Tanpa banyak bicara, beliau kemudian berkata, “Kalau susah, pergi makan di kantin. Kira atas saya.” Menurut Wilson, ayat itu kekal dalam ingatan dan tidak pernah dilupakannya sehingga hari ini.
Wilson turut berkongsi bahawa dia diberikan kepercayaan luar biasa sepanjang tempoh itu iaitu dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah walau ianya tidak dibenarkan dengan bersyarat iaitu telefon perlu disimpan di pejabat kerana ketika itu Wilson perlu bekerja selepas habis sekolah di mana majikan adakalanya perlu menghubunginya kerana urusan kerja.
Antaranya termasuk menyimpan telefon di pejabat pengetua, memiliki nombor telefon pengetua serta nota khas bertulis “Jumpa Pengetua”.
Dalam satu kejadian lain, dia hampir dikenakan tindakan disiplin oleh guru. Namun situasi itu berubah apabila pengetua tersebut tampil mempertahankannya. “Dia di bawah jagaan saya,” kata pengetua tersebut, sekali gus menyelesaikan keadaan.
Menurut Wilson, pengalaman itu membuka matanya bahawa masih ramai individu baik di dunia ini yang membantu tanpa mengharapkan balasan. Baginya, kebaikan tidak semestinya besar cukup sekadar tidak berpaling apabila melihat orang lain dalam kesusahan.
Wilson berkata, hubungan mereka berterusan selepas tamat sekolah sehinggalah Puan Maznah berpindah dan akhirnya meninggal dunia.
Namun bagi Wilson, kebaikan yang diterimanya tidak pernah hilang malah terus hidup dalam ingatan sehingga hari ini.
Dalam dunia yang sering dipenuhi cerita perbezaan, kisah seperti ini mengingatkan bahawa perpaduan sebenarnya terbina melalui tindakan kecil saling membantu, memahami dan tidak berpaling ketika orang lain dalam kesusahan.
Hakikatnya, masih ramai insan baik di luar sana yang memilih untuk membantu tanpa nama dan tanpa publisiti. Dan mungkin, kebaikan-kebaikan inilah yang tidak pernah tular, tetapi sebenarnya paling banyak menyatukan kita sebagai sebuah negara.