
Bila sebut tentang pelancongan, fikiran kita sering terarah kepada tempat indah, makanan lazat dan hotel mewah. Namun kini, pengalaman sebenar menjadi tarikan utama, bukan lagi tentang apa yang dilihat, tetapi apa yang dirasai.
Inilah misi yang digerakkan oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan BUMITRA Malaysia menerusi inisiatif diplomasi pelancongan baharu yang berjaya mencuri perhatian pempengaruh serta pelancong dari China.
Program Huanying Lai Malaysia! Discovery Familiarisation Trip bukan sekadar memperkenalkan keindahan negara, tetapi turut membuka ruang ekonomi baharu, memperkukuh hubungan budaya dan membina persefahaman dua hala yang lebih mendalam.
Segalanya seiring dengan aspirasi Visit Malaysia Year 2026 (VM2026). Menjadikan pengalaman pelancongan lebih berjiwa, berbudaya dan berimpak.
Selama tujuh hari, seramai 76 pempengaruh dari 13 wilayah di China diberi peluang menjelajah ke lokasi-lokasi ikonik tanah air — dari Masjid Putra di Putrajaya, Sawah Padi Sekinchan, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, hingga ke Gunung Jerai, Muzium Padi dan Masjid Zahir di Kedah.
Setiap hentian membuka jendela baharu terhadap kekayaan budaya dan warisan Malaysia. Momen paling mencuri tumpuan ialah malam kebudayaan di Bagan Datuk, Perak, apabila para peserta sendiri menyertai persembahan tradisional sambil berinteraksi dengan komuniti tempatan sebagai satu pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang.
Menurut Nur Alyssa Coraline Yussin, Pemangku Ketua Pengarah ITC, pendekatan ini membolehkan Malaysia memperlihatkan dirinya bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga sebuah negara mesra Muslim, berbudaya dan inklusif.
“Kami mahu pelawat datang bukan sekadar melihat, tetapi merasai kehidupan masyarakat tempatan,” jelasnya penuh makna.
Presiden BUMITRA Malaysia, Dr. Wan Muhamad Adam Norudin, pula menegaskan bahawa program sebegini memberi impak ekonomi yang nyata kepada rakyat.
“Apabila pempengaruh makan di kedai tempatan, menaiki pengangkutan awam dan membeli hasil usahawan PKS, ia memberi pulangan ekonomi segera kepada komuniti,” ujarnya.
Kesan langsung ini bukan hanya merancakkan sektor pelancongan, tetapi juga memperkukuh ekosistem Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) daripada penginapan, makanan hingga ke kraf tangan.
Dalam era digital, naratif pelancongan banyak digerakkan oleh media sosial. Kehadiran pempengaruh China ini membawa dimensi baharu apabila pengalaman mereka dikongsi kepada jutaan pengikut, menjadikan Malaysia lebih dekat di hati rakyat negara tembok besar itu.
Inilah bentuk diplomasi pelancongan moden, gabungan budaya, ekonomi dan pengaruh sosial yang bergerak seiring dengan semangat VM2026.
Keseluruhan program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara ITC dan BUMITRA dengan sokongan persatuan seperti MATTA dan MICA, membuktikan bahawa kolaborasi awam-swasta adalah kunci untuk melonjakkan nama Malaysia di pentas dunia.
Dengan pendekatan berasaskan pengalaman, interaksi budaya dan peluang ekonomi, Malaysia kini tampil bukan sekadar sebagai destinasi percutian, tetapi sebagai pengalaman hidup yang berjiwa dan bermakna.
Apabila budaya bertemu ekonomi, lahirlah pelancongan yang bukan sahaja menarik pelancong, tetapi juga membina hubungan jangka panjang, menjadikan Malaysia destinasi pilihan utama menjelang Visit Malaysia Year 2026.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.