
Pemandu bas ekspres riba teman wanita sambil memandu, “kekasih siap bergaduh dengan penumpang tak puas hati kena tegur. Tular satu rakaman video memaparkan perbuatan tidak masuk akal seorang pemandu bas ekspres yang meriba teman wanitanya sambil membawa penumpang di jalanan semalam.
Dalam kejadian memalukan serta boleh membahayakan nyawa penumpang, kelihatan wanita ini duduk di riba pemandu dan perbuatan berbahaya itu telah dirakam oleh seorang penumpang bas ekspres berkenaan dan menularkannya di media sosial.
Jelas penumpang yang menularkan kejadian ini, dia telah menegur perbuatan pemandu tersebut dan lelaki tersebut meminta maaf namun teman wanita yang duduk diriba pemandu itu dikatakan tidak berpuas hati selepas ditegur.
“Penumpang yang duduk kat belakang memang takkan perasan. Saya duduk depan sekali. Sebab itu saya perasan. Saya gaduh tadi pun penumpang lain tak tahu kenapa saya gaduh kecuali yang duduk sebelah saya nie…
“Girlfriend dia tak puas hati. Sebab driver minta maaf pada saya. Grilfriends kata saya tak ada hak campur urusan mereka. Tak apalah saya takkan masuk campur lagi. SPAD akan masuk campur,”katanya dalam perkongsian yang tular di media sosial.
Kejadian menakutkan ini berlaku di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, Negeri Sembilan menuju ke Kulai, Johor. Sebelum itu dari papan pemuka sebuah kenderaan lain, bas ekspres yang sama dipandu secara berbahaya di mana dari lorong sebelah kiri, bas ekspres ini menukar laluan ke lorong sebelah yang dilihat terlalu hampir dengan kenderaan dipotongnya.
Dalam pada itu, memetik laporan Harian Metro, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah mengenal pasti syarikat dan pemandu bas didakwa memandu secara tidak berhemah yang tular di media sosial.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan mengarahkan syarikat berkenaan untuk membawa pemandu itu ke pejabat JPJ berhampiran, hari ini, untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku di antara kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, Negeri Sembilan ke Kulai, Johor.
“Kita akan mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada sekiranya hasil siasatan mendapati ada kesalahan dilakukan, ia akan dibawa ke pengurusan tertinggi untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Kifli berkata, tindakan pemandu itu tidak seharusnya berlaku dan ia berisiko boleh membahayakan nyawa penumpang bas serta pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan jalan raya dan mengingatkan semua pihak untuk sentiasa mematuhi undang-undang.
“Pemandu bas diingatkan supaya sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya ketika memandu dan mengelakkan sebarang elemen yang boleh mengganggu seperti penggunaan telefon bimbit atau perbuatan lain yang boleh menjejaskan keselamatan.
“Pengusaha bas juga perlu memastikan pemilihan pemandu yang kompeten dan berwibawa kerana kesilapan dalam memilih pemandu boleh mengundang risiko serta memudaratkan penumpang selain kamera litar tertutup (CCTV) wajar dipasang dalam bas bagi memantau kelakuan pemandu serta penumpang.
“Orang awam turut dihargai atas peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat serta laporan berkaitan kesalahan dilakukan pemandu,” katanya.