Berita Sosial

Pelarian Rohingya Buntu, “Ke Mana Lagi Kami Nak Pergi? Balik Dan Ke Negara Ketiga Tak Boleh, Duduk Sini Pun Orang Tak Suka…”

Share

Masih panas dengan isu pelarian Rohingya di negara kita, malah menjadi perhatian apabila jumlah mereka dianggarkan mencecah lebih 120,000 orang, dengan sebahagian besar masih berdepan ketidaktentuan hala tuju kehidupan.

Pelarian Rohingya Buntu

“Jika kami tidak boleh kembali ke Myanmar dan belum diterima negara ketiga, ke mana lagi kami mahu pergi?.”

Persoalan itu dibangkitkan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani selepas lebih 100 pelarian Rohingya dilaporkan kehilangan tempat tinggal apabila diarahkan keluar dari kediaman masing-masing di beberapa lokasi di negara ini.

Beliau menegaskan, kehadiran mereka di Malaysia bukan untuk mengambil alih negara, sebaliknya mencari perlindungan sementara daripada ancaman keselamatan yang masih berlaku di Myanmar.

Menurut beliau, isu pengusiran pelarian Rohingya bukan hanya berlaku di Kuala Muda, Pulau Pinang, malah turut dilaporkan berlaku di beberapa negeri termasuk Selangor, Johor dan Terengganu.

Balik Dan Ke Negara Ketiga Tak Boleh

Katanya, antara kawasan yang menerima aduan termasuk Johan Setia, Klang, Gombak serta beberapa lokasi lain di sekitar Lembah Klang apabila sebahagian mereka diberikan tempoh antara dua minggu hingga dua bulan untuk mengosongkan rumah sewa.

“Apabila mereka keluar, mereka datang mencari bantuan kerana tidak tahu hendak pergi ke mana. Di kawasan Gombak sahaja, terdapat kira-kira 15 keluarga yang diminta keluar, tetapi saya belum mempunyai jumlah keseluruhan kerana masih mengumpul maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan insiden lebih 100 pelarian Rohingya yang dipindahkan keluar dari kediaman mereka di Kuala Muda pada 26 Julai lalu sebelum menaiki empat bas ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi mendapatkan bantuan.

Duduk Sini Pun Orang Tak Suka

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, pihaknya memindahkan kesemua 110 pelarian Rohingya yang berada di hadapan pejabat UNHCR ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur buat sementara waktu.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kesemua pelarian terbabit mendapati mereka memiliki dokumen sah daripada agensi antarabangsa itu dan UNHCR sedang mengambil tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Zafar berkata, kebanyakan pelarian Rohingya terbabit telah lama menetap di Malaysia dengan ada antara mereka berada di negara ini sejak 20 hingga 30 tahun lalu tanpa kepastian mengenai masa depan mereka.

“Bagaimana seseorang pelarian boleh terus hidup selama 20 atau 30 tahun tanpa kepastian masa depan? Malaysia banyak membantu pelarian, tetapi Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

“Bantuan Malaysia adalah untuk perlindungan sementara, bukan bermakna mereka perlu tinggal sehingga akhir hayat di sini,” katanya.

Bagaimanapun, Zafar menegaskan pelarian Rohingya tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar berikutan ancaman keselamatan dan nyawa yang masih berlaku di negara asal, termasuk konflik membabitkan tentera Myanmar dan Arakan Army (AA).

“Kalau keadaan selamat dan Myanmar menerima kami semula, sudah tentu kami mahu pulang. Jika diberikan kerakyatan dan keselamatan, kami mahu kembali ke negara asal.

“Tetapi jika dihantar pulang ketika keadaan tidak selamat, nyawa kami menjadi taruhan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Malaysia, UNHCR serta negara-negara penerima pelarian seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Jepun dan negara Eropah meningkatkan usaha penempatan semula pelarian Rohingya ke negara ketiga.

Menurutnya, cabaran utama masyarakat Rohingya ialah mereka tidak mempunyai negara untuk menerima mereka kembali selepas kehilangan status kerakyatan.

“Negara asal tidak menerima kami, jadi persoalannya, kami mahu pergi ke mana? Penyelesaian yang ada ialah penempatan semula ke negara ketiga,” katanya.

Dalam pada itu, Zafar turut meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan kempen kebencian dan penyebaran maklumat palsu yang menurutnya semakin menyasarkan komuniti Rohingya.

Pada masa sama, beliau menegaskan semua pelarian perlu mematuhi undang-undang Malaysia serta menghormati budaya masyarakat tempatan agar tidak menjadi sasaran kecaman.

Sumber: Kosmo!

Published by
Nadia Mohamad