Pelancongan bukan hanya untuk yang berkemampuan berjalan laju atau melihat tanpa batas. Langkawi membuka tirai baharu,menyambut pengunjung istimewa dengan lebih mesra dan inklusif.
Melalui Program Jelajah OKU x Asnaf Langkawi (JOKAL 2025), pulau lagenda ini tampil dengan wajah yang lebih prihatin. Berlangsung selama tujuh hari enam malam, 120 peserta terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) dan asnaf dari seluruh negara menyertai program yang membuka mata banyak pihak ini.
Dianjurkan oleh CMA Media Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Belia OKU (MBOKU) dan Balai Seni Negara Langkawi, program ini bukan sekadar lawatan malah ia adalah satu gerakan sosial untuk membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada golongan rentan.
“Kami mahu Langkawi dikenali sebagai destinasi pelancongan yang benar-benar mesra OKU – bukan hanya pada kemudahan, tapi juga dari segi pengalaman dan kesedaran masyarakat,” ujar Mohd Faiz Suhaimi, Presiden MBOKU.
Sepanjang program, peserta dibawa menelusuri lokasi menarik seperti Galeria Perdana, Dream Forest, Underwater World dan Kompleks Kraf kesemuanya diadaptasi dengan keperluan aksesibiliti. Kerusi roda, lif hidraulik, pengiring perubatan serta sukarelawan mobiliti disediakan bagi memastikan semua dapat menikmati pengalaman ini dengan selamat dan selesa.
“Ini bukan sekadar pelancongan biasa. Ia membuka mata banyak pihak tentang potensi OKU dan asnaf dalam bidang keusahawanan dan pelancongan,” kata Faiz.
Malah, karnival jualan yang berlangsung turut melibatkan lebih 40 vendor, memberi peluang kepada peserta menjana pendapatan dan meneroka bidang keusahawanan.
Pengarah Program JOKAL 2025, Ally Isyraf, menyifatkan sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan menyentuh emosi.
“Peserta gembira kerana buat pertama kali, mereka rasa dilayan setara. Inilah makna sebenar accessible tourism
– bukan pilihan, tapi keperluan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan CMA Media, Suraya Saad, menegaskan bahawa masih banyak ruang untuk penambahbaikan – khususnya dalam kemudahan tandas awam, maklumat pelancongan dan kesedaran inklusif di Langkawi.
Menurut pihak penganjur, JOKAL bukan sekadar inisiatif sekali lalu, tetapi merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang membangunkan pelancongan inklusif dan lestari di Langkawi.
“Pulau Kentut tu akan jadi dive spot baru selain Pulau Payar di Langkawi.
“Rancangan yang akan berjalan di Pulau Kentut ialah coral planting yang akan dibuka kepada penyelam dari negara lain juga nanti. Selain itu, projek biorock underwater museum pertama dalam Malaysia juga akan dimulakan di sini,” kata Ally.
Projek ini dijangka bukan sahaja merancakkan ekopelancongan laut tetapi juga memperluas keterlibatan komuniti rentan dalam sektor pelancongan marin selaras dengan misi JOKAL untuk mewujudkan akses dan peluang ekonomi kepada semua.
Selepas kejayaan JOKAL 2025, pihak penganjur merancang untuk membawa program ini ke Sabah dan Sarawak, serta memperluaskan kerjasama pelancongan inklusif ke peringkat antarabangsa, termasuk negara seperti Uzbekistan.
Bagi Fazlin Fauzi, menyertai Program Jelajah OKU x Asnaf Langkawi (JOKAL 2025) bukan sekadar percutian. Ia adalah pengiktirafan terhadap kewujudan dan kemampuan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sepertinya untuk menikmati hidup dengan penuh martabat dan gembira.
Program selama tujuh hari itu membawa peserta ke pelbagai lokasi pelancongan utama Langkawi, lengkap dengan kemudahan akses mesra OKU sesuatu yang amat dihargai oleh Fazlin.
“Saya percaya, bila diberi peluang, OKU juga boleh berjaya. Kami bukan beban, kami cuma perlukan ruang dan kefahaman,” jelas Fazlin yang turut berharap agar program seperti ini diperluas ke seluruh negara.