“Umi jangan menangis, Alawi reda dengan apa yang Allah beri sebab penyakit ini makhluk Dia juga.” Itulah kata-kata yang lahir daripada hati seorang pelajar tahfiz, Muhammad Alawi Mohd Turmadzi, 18, selepas disahkan menghidap penyakit jantung jarang jumpa dikenali sebagai sindrom Brugada.
Pelajar Tahfiz Hidap Sindrom Brugada, Penyakit Jantung Jarang Ditemui, Ibu Harap Anak Dapat Duduki Peperiksaan SPM
Menurut ibunya, Khadijah Mohamad Nor, 42, penyakit itu mula dikesan pada Disember lalu apabila anak sulungnya tiba-tiba pengsan di bilik air sehingga kepalanya terhantuk.
Ads
“Hasil pemeriksaan ECG menunjukkan bacaan jantungnya tidak normal sebelum doktor mengesahkan Alawi mengalami sindrom Brugada, iaitu gangguan genetik pada fungsi elektrik jantung yang boleh menyebabkan kematian mengejut,” jelasnya.
Tambah Khadijah, pada Jun lalu anaknya telah menjalani pembedahan memasang alat implantable cardioverter defibrillator (ICD) di Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Serdang. Prosedur berkenaan menelan kos RM45,000. Syukur, kos bateri ditanggung syarikat pengeluar, Boston Scientific, sementara bil hospital dapat diselesaikan dengan bantuan Tabung Kasih HAWANA.
Ads
Walaupun rutin harian keluarga tidak banyak berubah, mereka kini lebih berhati-hati kerana demam atau sakit kepala biasa boleh mencetuskan serangan jantung kepada Alawi. Katanya lagi, cabaran terbesar adalah dari segi kewangan, namun doa, solat dan amalan sedekah menjadi kekuatan untuk mereka sekeluarga.
Khadijah menzahirkan harapan agar anaknya yang akan menduduki peperiksaan SPM lebih awal tahun ini dapat menjalani kehidupan normal seperti remaja lain, sekali gus menjadi anak soleh yang dapat memimpin keluarga ke syurga.
Bagi seorang ibu, melihat anak membesar dengan senyuman adalah kebahagiaan terbesar. Namun, bagaimana jika senyuman itu diganti dengan tangisan dalam diam, luka di hati, malah torehan di pergelangan tangan?
Itulah yang dilalui oleh Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, 31, seorang suri rumah yang kini berperang dengan keresahan selepas anak perempuannya berusia 14 tahun berdepan trauma akibat buli.
Anaknya berpindah ke sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor, pada Julai lalu dengan harapan baharu. Tetapi seawal hari kedua, dunia si gadis kecil ini sudah mula suram. Diejek, dipulaukan, dijadikan bahan ejekan berulang kali.
Aduan demi aduan dibuat kepada guru disiplin, namun kisah itu tidak pernah berhenti. kemuncaknya berlaku pada 12 September, apabila anaknya sekali lagi diejek hingga pulang ke rumah dengan jiwa yang semakin luka.
“Saya mula perasan keadaannya semakin teruk bila dia duduk terperap dalam bilik dan melukis gambar pelik-pelik,” cerita ibunya dengan nada sebak.
Lukisan itu bukan sembarangan. Ada imej gelap, simbol tekanan, bahkan tulisan yang menggambarkan keinginan untuk menamatkan hidup: “Saya stress, penat dan serabut.” Lebih memilukan, si anak mengaku menoreh tangannya sendiri.
Dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), remaja itu kini menjalani rawatan pakar psikiatri. Pemeriksaan mendapati skor emosinya sangat tinggi, dengan simptom kemurungan yang membimbangkan, berisiko ke arah cubaan bunuh diri tahap satu.
Menurut Panel Penasihat PPIM, Prof Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah, mangsa jelas menjadi mangsa buli berterusan: ejekan verbal, fitnah dan pengasingan sosial. Semua itu menghakis keyakinan diri seorang remaja yang baru belajar memahami dunia.
Kisah tragis ini bukan satu-satunya. Seorang lagi murid Tingkatan Dua di Mantin, Negeri Sembilan turut menjadi mangsa buli sehingga trauma untuk ke sekolah.
Adiknya dituduh cuba “merampas” kawan dan teman lelaki pelajar lain, lalu dihukum dengan kejam. Ditendang, tudung ditarik sehingga menampakkan rambut dan leher, wajahnya dipukul dengan botol kaca.
Namun lebih mengejutkan, kes itu hanya “diselesaikan” di bilik kaunseling dengan permintaan maaf dari pembuli, tanpa pengetahuan ibu bapa mahupun pengetua.
Di Cheras, seorang bapa, Mohd Izham Zakri Mohd Desa, meluahkan kekecewaan yang tidak terungkap. Anak lelakinya, pelajar Tingkatan Tiga yang aktif dalam sukan dan pernah mengharumkan nama sekolah hingga ke peringkat negeri, rupa-rupanya menjadi mangsa buli sejak tahun 2023.
Lebih memilukan, penderitaan itu disembunyikan, bukan hanya oleh pelajar lain, bahkan wujud dakwaan melibatkan guru yang menekan emosi si anak.
Sebagai seorang ayah, tiada yang lebih menyakitkan daripada mengetahui penderitaan anak disembunyikan.
“Mereka rahsiakan perkara ini, malah dalam diam minta anak saya tandatangan satu surat menyatakan tak berlaku buli di sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa,” katanya dengan nada kecewa.
Bagi Izham, perbuatan ini bagaikan menikam dari belakang. Bagaimana mungkin sebuah institusi yang sepatutnya melindungi, sanggup menutup mata dan menutup mulut anaknya sendiri?
Menurutnya lagi, anaknya bukan sahaja ditampar oleh rakan, malah menjadi mangsa buli siber yang didakwa turut melibatkan beberapa guru.
Lebih mengejutkan, ketika si ayah bersuara, ada pula guru yang membuat laporan polis terhadap dirinya seolah-olah keberanian seorang bapa membela anak dianggap ‘campur tangan hal sekolah’.
Aduan telah dibuat melalui laporan polis dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). Apa yang diharapkan hanyalah keadilan untuk anak, dan tindakan tegas daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Kerana bagi seorang ayah, tiada luka yang lebih perit daripada melihat anaknya berjuang seorang diri dalam senyap, dikhianati oleh sistem yang sepatutnya menjaga.
Buli bukan sekadar masalah disiplin. Ia adalah luka jiwa yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa. Kisah dua remaja ini membuktikan betapa seriusnya isu yang sering dipandang ringan.
Setiap anak berhak berasa selamat di sekolah, bukannya dihantui rasa takut, dipulaukan atau dicederakan. Dan setiap ibu bapa berhak mengetahui apa yang benar-benar berlaku kepada anak mereka.
Kerana pada akhirnya, yang kita lindungi bukan sekadar fizikal mereka, tetapi hati, jiwa dan masa depan yang masih panjang terbentang.
Wanita bersama teman lelaki ditemukan maut ditikam dipercayai angkara cemburu. Kematian seorang wanita bersama teman lelakinya akibat ditikam di Taman Nona, Guar Chempedak, Yan malam tadi dipercayai berpunca daripada rasa cemburu.
Bapa kepada mangsa, lelaki berusia 55 tahun, berkata anak sulungnya yang berusia 28 tahun itu tinggal bersamanya di Sungai Petani sejak setahun lalu selepas berpisah dengan bekas suami.
Beliau dimaklumkan mengenai tragedi menimpa anaknya selepas jirannya menghubungi kira-kira jam 2 pagi tadi dan memaklumkan kehadiran pihak polis di rumahnya.
“Waktu itu saya tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Perak dan saya memang terkejut dengan apa yang berlaku.
“Tindakan lelaki itu sangat kejam sehingga sanggup membunuh anak saya. Kalau dia meninggal dunia secara biasa, saya boleh terima tetapi tindakan menikam anak saya dan bakal tunangnya sehingga mati memang kejam,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), hari ini.
Beliau menegaskan, siasatan penuh kini diserahkan kepada polis berhubung kematian anaknya serta teman lelaki wanita berkenaan.
Menurutnya lagi, teman lelaki arwah yang berusia 30 tahun itu seorang yang rapat dan baik dengan keluarganya, malah hubungan mereka turut direstui.
“Saya merestui hubungan mereka dan teman lelaki anak pernah menyatakan hasrat untuk meminangnya, tetapi saya minta mereka tangguh perkahwinan sehingga pembinaan rumah di Selama, Perak selesai.
“Jika diikutkan, mereka memang nak melangsungkan perkahwinan secepat mungkin, namun tidak kesampaian.
“Saya serahkan kepada polis untuk siasat kes ini dan berharap pelakunya yang kejam sehingga sanggup membunuh anak saya ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Jenazah wanita berkenaan, Nurul Nur Syamira, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Plotan, Bukit Merah, Perak selepas proses bedah siasat selesai.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dan seorang wanita ditemukan maut dengan kesan tikaman pada badan dalam kejadian malam tadi.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohd Hamizi Abdullah memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan pada jam 9.40 malam.
Zara Qairina ditemukan dalam longkang, tengkuk berdarah – pengawal keselamatan. Seorang pengawal keselamatan mendedahkan di Mahkamah Koroner bahawa beliau menemui Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam keadaan terlentang di dalam longkang, tidak sedarkan diri dengan kesan darah di bahagian tengkuk kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu.
Saksi berkenaan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang sudah bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar sejak tahun 2012, memberitahu mahkamah bahawa rondaan awal sekitar jam 2 pagi di Blok Rabiatul Adawiyah tidak menunjukkan sebarang kejadian mencurigakan.
Menurutnya, selepas itu beliau bergerak ke blok bersebelahan iaitu Blok Sumayyah untuk meneruskan rondaan sebelum dimaklumkan oleh seorang pelajar mengenai seorang remaja perempuan yang pengsan berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah.
“Saya terus bergegas ke asrama berkenaan dan mendapati seorang pelajar perempuan yang dikenali sebagai Zara terlentang di dalam longkang asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya semasa membacakan pernyataan saksi di hadapan Koroner, Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues itu.
Linah berkata, selepas menyedari keadaan tersebut, beliau segera menghubungi Ketua Warden Asrama, Azhari Abd Sagap serta sempat merakam gambar mangsa menggunakan telefon bimbit sebelum ambulans dipanggil.
“Setelah Ustaz Azhari sampai di lokasi kejadian, beliau segera menghubungi pihak hospital, dan ambulans tiba kira-kira 4 pagi. Pelajar tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa blok asrama berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada palang besi dipasang di bahagian koridor.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, saksi mengesahkan gambar yang diambil telah dihantar kepada empat orang guru serta ketua warden melalui aplikasi WhatsApp sebelum telefonnya diambil pihak polis pada penghujung Julai bagi tujuan siasatan.
Menjawab soalan peguam keluarga mangsa, Shahlan Jufri, Linah berkata beliau mengenali pelajar itu sebagai Zara Qairina kerana sudah biasa dengan para pelajar di asrama berkenaan.
Beliau juga mengesahkan bahawa ketika kejadian berlaku, semua pelajar lain masih tidur.