Wanita Di Perantauan

Ramai Tak Tahu Algeria Guna Bahasa Perancis, Pelajar Malaysia Ini Kongsi Cabaran Sambut Raya Di Sana

Share

Itulah realiti yang dilalui oleh Su’aidah Syakirah Suhaimi, 21 tahun, pelajar malaysia tahun kedua jurusan Usul Fiqh yang kini menetap di Algiers, Algeria.

Berasal dari Dungun, Terengganu, Suaidah sudah hampir tiga tahun berjauhan dengan keluarga. Bila tiba Syawal, rasa itu lain. Sunyi, tapi dalam masa sama membentuk dirinya menjadi lebih kuat.

Baca juga: Puasa di Norway: Pelajar Malaysia Luah Rasa Sunyi 2 Tahun Ramadan & Syawal Tanpa Keluarga

Raya Tanpa Suara Keluarga

Bagi Suaidah, pagi raya di Algeria tidak sama seperti di Malaysia. Tiada suara ibu mengejutkan pagi raya, tiada hiruk-pikuk di dapur, dan tiada tradisi bergambar bersama keluarga.

“Kadang-kadang tu menangis juga masa video call dengan family,” kongsinya jujur.

Sebagai wanita di perantauan, momen seperti ini menjadi antara cabaran emosi paling besar, menahan rindu dalam diam.

Cipta Raya Sendiri Di Perantauan

Walaupun jauh, Su’aidah dan rakan-rakan pelajar Malaysia cuba mencipta suasana raya mereka sendiri.

Daripada membuat kuih raya seperti almond London dan kuih Dahlia, sehinggalah mencuba membuat lemang menggunakan cawan kertas. Semuanya dilakukan bersama sebagai satu komuniti kecil.

Malah, mereka turut menghias kediaman dengan barang dari Malaysia bagi menghidupkan suasana Syawal. Inilah cara pelajar Malaysia di perantauan bertahan, mencipta “rumah” walaupun jauh dari kampung halaman.

Baca artikel ini: Wanita Malaysia di Dubai Kongsi Detik Cemas, Terpaksa Pulang Awal Demi Keselamatan

Cabaran Budaya & Kehidupan Di Algeria

Selain rindu keluarga, Su’aidah juga perlu menyesuaikan diri dengan budaya tempatan. Bahasa harian menggunakan Perancis dan dialek Arab, manakala makanan pula jauh berbeza daripada Malaysia.

Tiada bazar Ramadan seperti di tanah air, dan kebanyakan makanan berbuka adalah roti serta hidangan tempatan seperti sherbah dan burek. Namun, pengalaman ini juga membuka peluang untuk mengenali budaya baru, termasuk dijemput berbuka puasa bersama keluarga Algeria yang sangat menghargai tetamu.

Kekuatan Seorang Wanita Di Perantauan

Di sebalik semua cabaran, Su’aidah belajar satu perkara, iaitu kekuatan diri.

Menurutnya, wanita yang berada jauh dari keluarga perlu bijak mengisi masa dan tidak memendam perasaan sendirian.

“Sibukkan diri dengan kawan-kawan, join aktiviti, masak sama-sama… itu yang buat kita rasa tak terlalu sunyi.”

Kisah wanita di perantauan seperti Su’aidah bukan sekadar tentang rindu, tetapi tentang keberanian mengejar impian walaupun terpaksa berkorban emosi.

Baca lagi: Ramadan Di New Zealand: Kisah Menyentuh Hati Kak Tad Rindu Bazar Ramadan Di Perantauan


Temubual ini adalah eksklusif untuk Mingguan Wanita. Sebarang penggunaan semula kandungan tanpa kebenaran adalah melanggar hak cipta dan tindakan sewajarnya boleh diambil.

Published by
Farhana Syahirah