Berita

Pelajar Kejuruteraan Mekanikal Juara Akademi Qurra’ 2024. Bukti Al Quran Panduan Hidup Paling Bermakna

Share

Selepas melalui lapan minggu penuh cabaran, hujung minggu lalu Tilmiz Amnan, 23, diangkat sebagai juara Akademi Qurra’ 2024 yang disiarkan secara langsung dari Studio Pusat Penyiaran TV AlHijrah.

Kemenangan itu melayakkan Amnan atau nama sebenarnya Muhammad Amnan Muhammad Sani membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000. Tilmizah Syahira atau Nur Syahira Saiful Adli pula menduduki tempat kedua dan membawa pulang RM10,000, manakala Tilmizah Sofea mendapat tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Tilmiz Amnan yang ditemui sejurus usai rancangan tersebut berkata cabaran berbeza yang diterima setiap minggu merupakan sesuatu yang amat berharga buat dirinya dan  tidak menjangkakan kemenangannya pada malam tersebut memandangkan rakan-rakan lain turut memberi persaingan yang hebat.

“Niat utama saya bukanlah kemenangan, tetapi hendak belajar dan program ini merupakan usaha atau dakwah kecil saya,” ujarnya yang juga merupakan pelajar Universiti Teknologi MARA Sarawak dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Pentas akhir Akademi Qurra’ 2024 menyaksikan Tilmiz Luqman dan Tilmizah Sholihah sekadar meraih hadiah sagu hati dengan masing-masing membawa pulang RM1,000.

Dalam pada itu, Mudarrisah Nadia Hashim selaku tenaga pengajar memenangi Anugerah Mudarrisah Terbaik sekali gus mendapat hadiah wang tunai RM3,000.

Bagi Anugerah Alunan Terindah pula diberikan kepada Tilmizah Syahira dan memenangi hadiah wang tunai RM500.

Akademi Qurra telah dihoskan oleh Raqib Majid di mana ia turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.

Program yang ditayangkan pada setiap Sabtu jam 9 malam itu menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim. Pada peringkat akhir, juri jemputan termasuklah Erma Fatima.

 

IKLAN