Bersyukur pada Allah! Sebelum bil elektrik menjadi beban kepada rakyat, kerajaan lebih awal mengambil langkah untuk memberi diskaun. Peka dengan beban penularan Covid-19, rakyat bakal menikmati diskaun enam bulan bil elektrik bermula April ini.
Maklumlah sekarang mak, ayah dan anak-anak banyak habiskan masa di rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan. Maka, langkah ini adalah yang terbaik untuk semua.
Ringankan Beban Di Kala Ekonomi Mencabar
Diskaun bil elektrik akan diberi kepada semua pengguna elektrik bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata, pemberian diskaun bil elektrik itu adalah bagi membantu meringankan beban rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar berikutan kesan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
15 Peratus Untuk Tarif Perdagangan
Katanya, kerajaan bersetuju untuk memberi diskaun 15 peratus bagi penggunaan elektrik kepada enam sektor perniagaan terpilih iaitu hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.
Ads
“Diskaun 15 peratus ini melibatkan kira-kira 10,000 pemilik akaun daripada enam sektor perniagaan terpilih yang mengguna pakai Tarif Perdagangan sahaja. Pemberian diskaun bagi tempoh ini juga akan memberi impak pengurangan bil elektrik RM40 juta bagi Semenanjung, RM20 juta bagi Sabah dan RM8.5 juta bagi Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, manfaat itu juga akan dinikmati pengguna komersial, industri dan pertanian dengan memperoleh dua peratus diskaun dalam tempoh yang sama.
“Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan penjimatan bil elektrik, dianggarkan berjumlah RM370 juta bagi tempoh enam bulan.
Ads
“Bagi Sabah, ia akan memberi manfaat kepada sekitar 99,322 pemilik akaun yang melibatkan anggaran kos RM11.5 juta manakala bagi Sarawak, ia melibatkan anggaran kos RM107.2 juta untuk 100,000 pemilik akaun,” katanya.
Rakyat Terima Diskaun Dua Peratus
Beliau berkata, semua pengguna domestik dalam kategori domestik atau rumah kediaman turut menikmati penjimatan bil elektrik melalui pemberian dua peratus bagi tempoh yang sama.
Ads
“Ini bermakna rakyat akan menikmati diskaun dua peratus dalam tempoh tersebut, sebagai tambahan kepada enam peratus yang telah pun dinikmati oleh pengguna domestik pada masa ini. Ia dijangka memberi anggaran penjimatan dalam bil elektrik sebanyak RM92 juta, kepada kira-kira 7.5 juta pemegang akaun TNB.
“Bagi Sabah, ia akan memberi manfaat kepada 520,378 pengguna domestik dengan kos dianggar sekitar RM5.7 juta manakala bagi Sarawak, ia akan memberi manfaat kepada 585,637 pengguna domestik dengan kos dianggarkan sekitar RM6.8 juta,” katanya.
Menurutnya, kos pemberian diskaun bil elektrik itu akan ditampung kerajaan melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik bagi Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak pula ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.
Sumber: Bernama
MW: Diharapkan langkah yang diambil kerajaan ini dapat membantu rakyat yang sedang diuji kini. Maklumlah rata-ratanya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, masing-masing berada di rumah dan melakukan aktiviti di dalam rumah. Jadi sudah tentu, penggunaan bil elektrik akan bertambah dari sebelum ini. Sekurang-kurangnya dengan ada diskaun yang diberikan, terasa ringan sedikit bebanan rakyat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bantu Isteri Buat Kerja Rumah Bukan Mahu Dilihat Baik, Tak Tergamak Tak Buat Apa-Apa. Urusan rumahtangga bukanlah tanggungjawab isteri semata-mata, sebaliknya ia adalah tanggungjawab bersama. Beruntung jika mempunyai pasangan yang tahu erti kasihan dan empati serta menghargai penat lelah dan pengorbanan dalam menguruskan rumahtangga.
Tak banyak membantu dalam kerja-kerja rumah, dapat serba sedikit menolong pun dah dapat meringankan urusan rumahtangga.
Jam 11 malam saya akan segera menutup laptop.Cepat-cepat masuk ke dapur untuk membereskan sinki. Benda wajib yang saya perlu basuh setiap hari ialah, bekas makanan. Ada 7 semuanya termasuk bekal isteri.
Selesai di dapur, saya bersihkan ruang tamu. Kalau bersepah, saya kemas dan kalau perlu vakum saya akan buat.
Kemudian, saya akan keringkan baju yang dibasuh menggunakan dryer. Bila pakai baju sukan, ya memang tak perlu digosok tapi perlu dibasuh.Baju sukan ada dua tiga helai sahaja. Itulah yang perlu digilirkan.
Sekitar jam 12 lebih, saya masuk bilik. Buat apa yang patut dan tidur sekitar jam 1 atau 2 pagi.
Itulah suprise yang saya boleh untuk isteri. Kasihan saya melihat dia. Jam 9 lebih, dia sudah masuk tidur. Bangun sebelum jam 5.
Masak apa yang patut untuk dibuat bekal anak-anak dan sediakan sarapan.
Setakat ini, tak pernah lagi anak-anak tidak bersarapan sebelum ke sekolah.
Kemudian, sediakan baju untuk semua. Baju sekolah pagi, sekolah petang semua dah disusun dan dimasukkan dalam beg masing-masing. Anak-anak hanya perlu angkat dan masukkan dalam kereta.
Pakaian dalam dryer dikeluarkan dan dilipat jika perlu. Kalau ada yang perlu digosok seperti tudung anak, dia akan buat.
Sekitar jam 5.45 pagi, kami dikerah untuk bangun.
Setiap orang sudah tahu giliran mandi. Habis mandi, pakaian sudah siap tersedia. Termasuklah pakaian saya.
Dan begitulah rutinnya setiap hari.
Bukan ketika ada anak buah yang bersama kami sahaja. Tetapi sebelum itu lagi. Ya, setiap hari.
Kadang-kadang, seluar dalam dan stoking saya pun dah tersedia di atas katil. Hanya pakai saja.
Tak Tergamak Pura-Pura Tidur
Saya bukanlah suami yang mahu dilihat baik bila membantu isteri. Tidak. Tapi, kalau begitu rutinnya, tegarkah saya pura-pura tidur untuk tidak membuat apa-apa kerja?
Tak tergamak weh.
Tak bolehkah bagi duit belanja dekat anak? Perlu ke masakkan bekal?
Kami dah buat kira-kira. Kalau tak bawa bekal belanja sekolah mereka bertiga boleh mencecah 400 sebulan.
Jadi, duit itu, kami tukar kepada barang basah, agar bukan sahaja anak-anak kami, kawan-kawan mereka juga akan mendapat manfaatnya.
Bekal yang dibawa pun boleh dikongsi.
Begitulah isteri saya.
Kadang-kadang dia merungut juga. Selalu saya tulis pasal diri dia di Facebook. Malu. Macamlah orang lain tak buat.
Saya jawab mudah saja. “Kalau tak suami sendiri yang tulis mengenai isteri, siapa lagi?”
Tak ada doa paling tinggi yang saya minta dekat Allah, melainkan masukkan isteri saya ke dalam syurga.
Mingguan Wanita: Memang bertuah jika mempunyai pasangan yang sama-sama menolong membantu meringankan urusan rumahtangga ni. Bukan sebab nak dilihat ‘baik’ tapi sebab kasihan dan tak tergamak tak bantu buat apa-apa kerja rumah, sedangkan isteri bertungkus lumus uruskan pelbagai perkara.
“Jika terasa jauh dengan anak-anak, cubalah makan dalam satu talam. Amalkanlah setiap hari. Sekalipun anak-anak sudah besar. Nampak kecil tapi impaknya sangat hebat. MasyaAllah!” saran Puan Siti Maisarah Saifuddin, ibu kepada 5 orang anak lelaki.
Maklum Bendahari RNP dalam statusnya sebelum ini, beliau mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada dermawan yang memberi sumbangan talam dan bekas minuman untuk anak-anak RNP.
Walaupun ia sekadar derma talam, namun kisah di sebaliknya menyuntik inspirasi kepada ramai ibu-bapa.
Satu Talam, Satu Rasa, Satu Gelak Tawa Yang Sama
Kata Maisarah, talam digunakan untuk anak-anak menjamu selera cara sunnah nabi. Berkongsi rasa yang sama, bergelak ketawa bersama. Semasa belajar, ada yang mengantuk. Anak ini disediakan air masak sebagai bekalan oksigen untuk membaca dengan baik.
“Projek talam ini asalnya projek sampingan kami. Selalunya selepas habis waktu kelas mengaji, ada makanan yang didermakan untuk anak-anak ini. Jadi ada sahabat saya, Puan Haznieza yang merupakan pengasas Pusat Pengajian Alquran Tahfiz Solahuddin AlAyyubi di Paka mengesyorkan agar saya menggunakan talam sewaktu Makan.
“Kita lebih maklum, talam ni adalah salah satu sunnah baginda yang sangat unik. Makan talam itu sunnah. Sunnah berjemaah. Dan dapat eratkan hubungan dengan berkongsi rezeki apa yang ada.
Ibarat Kata, 2 bungkus nasi belum tentu cukup untuk 4 orang kanak-kanak yang nak makan. Tetapi dengan talam, ia lebih dari cukup. Kelebihannya untuk anak-anak, anak-anak akan saling berebut, menikmati rasa yang sama, mendapat rezeki secara adil berkongsi.
“Sambil makan, mereka akan bergurau senda, cuba menghabiskan makanan. Kerana mereka saling berkasih sayang dalam berkongsi rezeki.
“Berkongsikan rezeki adalah mulia. Jemaah itu turunnya rahmat dan mahabbah sesama kita. Sebenarnya bukan talam yang spesifik. Tapi lebih kepada makan bersama dalam satu bekas.”
Cara Terbaik Didik Anak Agar ‘Suka Berkongsi’
Makan satu talam simbol kasih sayang yang sangat hebat. Pernah kita jumpa bukan anak-anak yang tidak suka berkongsi.
Ada anak-anak yang tidak suka memberi. Ada anak-anak yang merasakan ini aku punya. Ada anak-anak yang sangat cerewet memilih makanan. Tapi bila tiba waktu makan, dia dengan sendirinya memilih makan bersama. Berkongsi segala rasa.
Ada yang siap suap menyuap. Kalau suami isteri pula, waktu makan itulah Allah turunkan mahabbah sesama pasangan. Kerana dalam rezeki ada keberkatan. Tidak semestinya talam. Pinggan pun memadai untuk berkongsi bersama. Saat jari jemari bertaut, saat menghadap rezeki, saat itu Allah berikan rahmatnya. Jarang makanan tidak dihabiskan.
Sebaliknya mereka berlumba untuk saat mengenyangkan. Saya yakin menghidupkan amalan Rasulullah SAW dalam banyak perkara, memberi ruang bahagia yang lebih besar buat kita semua.
Rumah Ngaji Paka
Suami Maisarah, Mohamad Russaini menerima amanah daripada seorang hamba Allah Tuan Haji Azman bin Mustafa untuk membuka kelas mengaji Al Quran dengan kerjasama Rumah Ngaji Malaysia.
“Hasil kerjasama team yang hebat, kami mewujudkan Rumah Ngaji Paka. Dengan visi nak melahirkan masyarakat yang Baca, Faham dan Amal Al Quran dengan misi membawa Al Quran dan mesej ke hati.
“Kami gunakan kaedah tadabbur dan tazakkur Al Quran. Kelas Al Quran kanak-kanak pula di ajar dari peringkat Asas Al Quran. 1 jam anak-anak belajar Al Quran dan 30 minit solat fardhu berjemaah.
Dalam slot wuduk dan solat, anak-anak diajar cara solat yang betul dan tertib dipantau sepenuhnya oleh ustaz atau ustazah yang mengajar. Cara mengambil wuduk dengan betul diajar satu persatu. Kelas bergerak secara harian. Ibu bapa akan hantar ikut waktu yang ditetapkan.”
Buat masa ini pelajar berdaftar mencecah 40 orang untuk kelas pengajian Al Quran sesi petang dan malam dengan 2 orang guru. Anak-anak ini terdiri dari kalangan fakir miskin, yatim piatu yang diberi percuma sepenuhnya.
Selaku pengurus kelas Al Quran sepenuhnya, Maisarah turut dibantu team hebat dan mendapat tunjuk ajar daripada Puan Haznieza, pengasas Pusat Pengajian Al Quran dan Tahfiz Solahuddin AlAyyubi Untuk Kanak-kanak.
80% Sumbangan Orang Ramai
Setakat ini kami sudah mempunyai 6 buah talam. Beberapa hari lepas, saya mencari penyumbang talam dan bekas minuman.
Alhamdulillah, serentak itu juga, Allah hantarkan hamba Allah yang Dermawan untuk menyumbang. Insyallah dalam masa yang sama, kami masih memerlukan sumbangan lain terutama Al Quran, dan lain-lain.
Maisarah bekerja bukan kerana dibayar gaji. Akuinya dia tidak mendapat gaji dengan apa yang diusahakan itu. Mereka adalah sukarelawan yang banyak membantu tanpa sebarang updah dan wang.
Sumbangan membangunkan RNP juga adalah hampir 80% berdasarkan sumbangan orang ramai. Lalu kami buka kelas ngaji untuk kanak-kanak, dewasa dan warga Emas.
“Beberapa minggu lepas, bila ada yang berebut sponsor wiring, kipas dan lampu. Saya tanya, kenapa pilih 3 benda tu? Jawab hamba Allah ini.
‘Apabila tangan yang memetik suisnya, Apabila mengalirnya elektrik , Apabila berputarnya kipas berkali-kali tanpa henti, Dan apabila insan lain merasa sejuk dari dinginnya.
‘Begitu jua lampu. Moga cahaya yang menerangi di saat anak-anak kecil membaca Al Quran sepanjang malam, menjadikan kamar abadi saya bercahaya.
“Moga Allah tembakkan pahala itu selaju arus yang mengalir, sekuat kipas yang berpusing, menjadikan kubur saya satu masa nanti sedingin yang dirasai mereka.” Subhanallah! Hanya Allah yang tahu perasaan saya.
Terima kasih Jutawan dermawan! Jutawan senyap yang hebat pulangannya!
Dermawan Talam
Begitu juga kisahnya dengan Dermawan talam dan bekas minuman ini. Mungkin ada yang tidak mampu memberi makanan setiap hari.
Biarlah talam sebagai ganti tangan yang menadah untuk mengisi perut mereka yang berjihad menuntut ilmu Al Quran.
Biarlah gelas yang mengisi minuman dapat menghilangkan dahaga mereka yang kehausan kerana menyebut huruf Al Quran. Dan pastinya setiap kali ia digunakan, pahala itu mengalir bagai air salju yang mendinginkan. Nampak kecil tetapi masyallah hebat pulangannya!
“Saya sangat mengalukan dan berterima kasih Kepada Jutawan hebat , para Dermawan yang tidak putus Memberi sumbangan dari awal sehingga akhir. Sumbangan tenaga dan Wang. Harta dan ilmu pengetahuan. Ya Allah, murahkan rezeki mereka, sihatkan tubuh badan mereka, dan Panjang kan usia mereka. Amin.”
Dan tak dilupakan buat pemilik bangunan, Tuan Haji Azman Mustaffa yang mengizinkan kami di Rumah Ngaji Paka. Kata azimat beliau yang masih saya ingati,
“Saya Nak kongsi pahala sahaja. Untuk saham saya di akhirat. Buatlah sebaiknya. Insyallah Allah permudahkan.”
Anda yang mahu menghulurkan sumbangan bagi membangunkan Rumah Ngaji Paka boleh salurkan ke:
Maybank Rumah Ngaji Paka : 5630-8212-2119
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila mana terbaca di aplikasi My Sejahtera, ada kes Covid-19 dalam lingkungan 1 km dari rumah, bayangkan kalutnya macam mana. Lelaki ini, Abdul Fatah Abu Hanipah berkongsi gejala awal yang dialami sebelum disahkan positif Covid-19.
Apabila kesnya dikesan di bawah Klusteri Simera, dia ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKNN), Hospital Sungai Buloh. Dan, Covid-19 yang menakutkan ramai orang itu dihadapi dengan tenang.
Dan perkongsian Abdul Fatah ini semata,
Ingin memberi kesedaran kepada orang ramai agar memahami akan virus Korona ini. Bukan virus untuk ditakuti, tapi untuk difahami. Bila faham, barulah tenang dan matang berdepan dengannya.
Disahkan Positif Covid-19 Dan Ini Antara Gejala Awal
Hai semua. Saya Fatah. Kekal hensem walaupun dikesan positif Covid-19 dan sekarang ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Hospital Sungai Buloh. Orang kata PKKN ada hantu tapi saya peduli apa sebab Korona ini pun macam hantu juga. Ghaib dan menggelabahkan manusia.
Hari ini hari kedua saya di PKKN. Semalam saya disahkan positif setelah mengalami beberapa simptom dan berjelaga. Maafkan saya. Bergejala, bukan jelaga.
Untuk tulisan kali ini, saya nak ceritakan apa gejala yang saya alami sebelum saya disahkan positif. Iyalah, ini benda yang paling ramai orang nak tahu dan risau pun kan.
1) Demam panas dan batuk. Hari kedua saya jadi contact rapat dengan kawan yang positif (waktu itu dia pun tak tahu yang dia positif), saya dihinggapi demam panas sehingga sukar tidur malam. Hari lain rilek saja letak kepala terus lelap macam Nobita. Tapi tidak pada hari itu. Esok dan lusanya demam sudah tak ada.
2) Selsema dan sakit kepala. Dia datang sekali dengan demam. Pakej lah kiranya. Macam makan sate, kena ada nasi impit. Macam pakwe hensem, kena makwenya lawa. Ha macam tu lah.
3) Sakit sendi dan penat-penat. Sakit segala sendi ialah sakit yang paling orang tak nak sebab membuatkan kita rasa nak pulas segala bahagian sendi di badan. Orang pernah kena demam denggi pasti faham sakit dia macam mana. Tak boleh tidurlah kiranya selagi tak sapu minyak panas.
Hilang Deria Bau Dan Rasa
4) Hilang deria bau dan rasa. Ini paling power. Saya salute Virus Korona sebab dia mampu alter saraf saya jadi tak bau dan tak rasa apa. Hidung tak tersumbat tapi tak boleh bau apa-apa.
5) Rabun sekejap. Ini pun power juga. Hari terakhir di rumah sebelum saya disahkan positif, saya rasa macam mata saya ini berselaput macam baru bangun tidur. Dah mandi dah buat itu ini genyeh mata sampai berair, tetap rasa kabur-kabur. Saya ingat ada tahi mata, rupanya ini salah satu jelaga. Maaf, gejala.
Cukup dua gejala pertama dan sehari selepas saya dikategorikan sebagai contact rapat kepada kawan saya yang positif, saya pergi buat swab test di klinik kesihatan berdekatan (FOC). Tunggu dua hari, result di klinik kesihatan masih juga tak dapat-dapat.
Dek kerana badan makin terasa sakit-sakitnya, saya ke hospital swasta dan buat swab test sekali lagi.
Jam 10 pagi buat swab test, jam 7 pagi esoknya doktor telefon.
“Morning Fatah. Tahniah, awak positif”
Aku tipu saja doktor kata tahniah tu.
Ok flow dia macam ini.
Dari Swab Test Di Klinik Sampai Ambulans Datang
Buat swab test di klinik kesihatan atau hospital swasta dan kalau keputusannya positif, mereka akan hantar keputusan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat. PKD yang akan ambil tindakan seterusnya. Kalau negatif, dia akan beritahu juga. Ada yang suruh kita sendiri telefon tanya status.
Bila positif dan PKD telefon, dia akan temu ramah, ambil details semua lah sebelum dia hantar ambulans untuk ambil di rumah. Itu sebab, bagus kalau kita ingat details semua benda pergi mana dengan siapa naik apa bla bla bla kerana klinik akan tanya benda sama, PKD tanya benda sama, kawan tanya benda sama, pejabat tanya benda sama sampailah kau nak muntah jawab benda sama.
Nak senang, tulis semua benda dalam nota telefon. Orang tanya, tepek saja info. Orang tanya, tepek. Senang. Kalau tanya lebih-lebih, sihat nanti pergi lempang. Settle.
Bila ambulans datang, ha saat situlah bermulanya manusia sekeliling jadi kalut macam Alpaka hilang anak. Orang sekeliling akan ambil gambar, hantar ke semua group WhatsApp, hantar ke member di Perlis sampai member Perlis pun kalut pergi mandi dengan sanitizer walaupun kejadian berlaku di Ampang. Orang akan jadi kalut sampai tak boleh tidur. Risau sampai suruh sanitize surau walaupun tak pernah pergi surau.
Ha gelak. Tapi itulah hakikat dia Tuan Puan. Itulah hakikat dia. Virus Korona melemahkan antibodi pesakit. Kekalutan sekeliling kerana tak cukup faham dengan situasi dan tidak tahu cara bereaksi, membunuh mental pesakit.
Jadi, jangan jadi pembunuh mental. Sebaliknya membantulah. Daripada kalut sebar gambar dan berita itu ini yang tak tahu sahih tak sahih, eloklah tanya keluarga yang ada ahlinya yang positif itu, apa yang kamu perlukan yang kami boleh tolong dan usahakan.
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...