
Prosiding Komital
Berkait isu lawatan anak Fattah Amin dan Fazura semalam, masih ramai yang kurang jelas tentang prosiding komital apabila salah seorang daripada pasangan memilih untuk bertindak sedemikian.
Sebelum pergi lebih jauh dalam isu ini dan mengelakkan daripada anda salah faham, jemput baca perkongsian daripada Peguam Syarie Syuhada Zulkifli..
Sejak semalam, saya hanya memerhati “kepakaran” netizen yang begitu pantas mengulas sesuatu isu.
Tanpa memahami hujung pangkal, hanya membaca tajuk “menang kalah”, terus membuat kesimpulan dan berpihak. Untuk berpihak kepada mana-mana pihak itu tidak salah. Namun, fahamilah dahulu asas sesuatu permohonan – khususnya apabila melibatkan prosiding komital.
Permohonan komital bukanlah sesuatu yang difailkan secara sewenang-wenangnya. lni bukan berlaku hanya kerana dua atau tiga kali pelanggaran, terus dibawa ke mahkamah. Tidak semudah itu.
Komital merupakan satu permohonan yang kompleks – lazimnya difailkan setelah satu pihak melalui proses yang panjang dan mencabar hanya untuk mendapatkan hak mengambil atau bertemu anak.
Di pihak peguam pula, setiap permohonan perlu disokong dengan pliding yang terperinci serta penghujahan yang kukuh bagi meyakinkan mahkamah.
Ini bukan tindakan terburu-buru, tetapi merupakan langkah terakhir setelah pelbagai usaha lain tidak berhasil.
Apa itu komital?
Komital ialah suatu prosiding mahkamah untuk menghukum pihak yang ingkar terhadap perintah mahkamah – biasanya melibatkan ketidakpatuhan yang jelas dan berterusan.
Dalam konteks Mahkamah Syariah, komital sering timbul apabila:
– Hak lawatan anak tidak diberikan
– Hak bermalam dinafikan
– Atau perintah mahkamah langsung tidak dipatuhi.
Secara mudah, apabila mahkamah telah mengeluarkan perintah tetapi satu pihak sengaja mengingkari atau – maka tidak mengendahkannya – komital adalah tindakan untuk memastikan perintah tersebut dipatuhi.
Pihak yang ingkar akan dipanggil ke mahkamah dan mahkamah akan menilai sama ada benar berlaku pelanggaran.
Sekiranya sabit, tindakan boleh dikenakan seperti denda atau penjara.
Namun, penting untuk difahami tujuan utama komital bukan untuk menghukum, apatah lagi untuk memenjarakan.
lni adalah satu bentuk peringatan tegas supaya perintah mahkamah dihormati dan dipatuhi.
Permohonan ini boleh difailkan:
⚫ secara sebelah pihak (ex parte) sekiranya terdapat keperluan mendesak, atau
⚫ secara kedua-dua pihak (inter partes).
Dalam kes Fazura-Fattah, satu sahaja ulasan saya:
– Permohonan tersebut difailkan secara ex parte, namun telah ditolak. Justeru, ini akan diteruskan secara inter partes, di mana kedua-dua pihak akan diberi ruang untuk didengar dan diadili dengan sewajarnya.
Dalam banyak keadaan, komital menjadi satu “wake-up call” kepada pihak yang ingkar supaya kembali mematuhi perintah mahkamah – terutamanya dalam isu melibatkan anak. Di sesetengah negeri, sebelum memfailkan komital, kebenaran mahkamah perlu diperoleh terlebih dahulu.
Justeru, apabila permohonan kebenaran atau komital ditolak, itu bukan bermaksud tiada pelanggaran berlaku.
Boleh jadi:
Terdapat alasan munasabah mengapa anak tidak dapat diserahkan, atau dalam tempoh prosiding berjalan, pihak yang ingkar telah kembali patuh setelah dinasihati peguam.
Apabila Yang Arif melihat keadaan telah kembali kepada asal, maka permohonan tersebut wajar ditolak.
Ketika keputusan dibacakan, Yang Arif bukan sekadar menolak atau membenarkan permohonan tetapi turut memberikan peringatan kepada pihak yang mempunyai hak jagaan penuh mengenai akibat mengingkari perintah mahkamah.
Sekali lagi ditegaskan – prosiding komital bukan semata-mata untuk menghukum.
lni adalah satu peringatan yang tegas. Jika benar tiada pelanggaran, permohonan ini tidak akan melepasi peringkat untuk difailkan sekalipun.
Ditolak bukan bererti tiada kes.
Apabila sesuatu perkara telah sampai ke mahkamah dan difailkan, itu menandakan adanya hak yang didakwa telah dinafikan dan dalam kebanyakan keadaan, ia melibatkan hak seorang ibu atau bapa untuk bertemu anak.
Ini bukan soal siapa – bukan Fazura atau Fattah.
Hanya mereka yang melalui sendiri akan benar-benar memahami.
Hak tetap hak.
Apabila nafkah anak diberikan, adalah tidak munasabah untuk menafikan hak seorang bapa melihat anaknya sendiri.
Saya sendiri sedang mengendalikan satu kes komital yang masih berjalan – melibatkan seorang ibu yang dinafikan hak lawatan.
Bukan seminggu. Bukan sebulan. Tetapi dua tahun.
Dua tahun tidak dapat bertemu anak yang disembunyikan.
Pelbagai rundingan telah dibuat. Pelbagai usaha telah diusahakan.
Namun tiada hasil.
Akhirnya, mahkamah menjadi jalan terakhir untuk menuntut hak seorang ibu – hanya untuk bertemu anaknya sendiri.
Bagi yang tidak melalui, mudah untuk berkata:
“Move on.”
Namun cubalah duduk sehari di Mahkamah Syariah.
Lihat sendiri berapa ramai yang berjuang hanya untuk satu perkara – hak bertemu anak.
Barulah difahami, ini bukan sekadar soal emosi.
Ini soal hak.
Apabila seseorang itu layak, berhak, dan diiktiraf oleh undang-undang atau syarak untuk memiliki sesuatu – maka orang lain wajib menghormatinya.
Daripada terus mengecam, lebih baik kita mendoakan agar kedua-dua pihak menemukan jalan perdamaian dan komunikasi yang lebih harmoni.
Walaupun hubungan sebagai suami isteri telah berakhir, hubungan sebagai ibu dan ayah tidak pernah terputus.
Demi anak, semoga yang tinggal bukan sengketa tetapi kematangan dan tanggungjawab.