
Selepas hampir dua dekad mendambakan zuriat, pasangan dari Sungai Ramal Dalam akhirnya menerima anugerah paling berharga apabila dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 17 Oktober lalu.
Lebih bermakna, bayi comel diberi nama Sheikh Muhammad Mohd Khairuddin itu dilahirkan pada 25 Rabiulakhir, iaitu tarikh sama dengan hari lahir bapanya, Mohd Khairuddin Ahmad, 51 tahun, menurut kalendar Islam.
Berkongsi kisah penuh kesyukuran itu, Mohd Khairuddin berkata dia dan isteri, Noorul Izzah Marzuki, 44, telah mendirikan rumah tangga sejak tahun 2006, dan setelah 19 tahun bersama, barulah mereka dikurniakan zuriat pertama.
Menurutnya, isterinya pernah hamil pada tahun 2007 namun rezeki itu tidak berpanjangan apabila kandungan berusia enam bulan mengalami keguguran.
“Tapi kami tak putus asa kerana yakin ada harapan jadi selain berdoa, kami terus berusaha,” katanya yang bersyukur apabila pasangan itu akhirnya timang anak selepas 19 tahun menunggu.
“Kami pun pernah dua kali cuba buat rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sebelum ini namun tak berhasil… pernah juga ditolak untuk buat IVF sebab kami obesiti.
“Tapi rezeki kami apabila isteri hamil dan dapat zuriat selepas buat IVF kali ketiga… macam tak percaya, ibaratnya fantasi jadi kenyataan bila tengok anak dalam dakapan,” katanya,
Mohd Khairuddin turut menegaskan bahawa walaupun tidak mempunyai anak selama bertahun-tahun, dia tidak pernah terlintas untuk berkahwin lagi.
“Orang terdekat dengan saya pun tak ada bagi cadangan itu (berkahwin lagi) dan bagi saya, belum tentu dapat zuriat.
“Tapi ada yang cadang ambil anak angkat cuma saya dan isteri tetap nak usaha,” ujarnya.
“Tahun lalu pun, saya dan isteri dapat peluang ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji. Jadi waktu di Arafah, itu yang kami doakan (dapat zuriat) dan syukur kerana Allah SWT makbulkan.
“Sebagai bapa, saya akan besarkan anak dan didik dia dengan sebaiknya serta berharap anak dapat jaga isteri andai saya tiada nanti,” katanya lagi.
Sementara itu, Noorul Izzah tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila impian menjadi seorang ibu akhirnya dimakbulkan Allah SWT.
“Susah nak gambarkan perasaan itu malah waktu dapat tahu saya mengandung pun macam tak percaya.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh kehamilan semuanya okay, tak ada masalah dan syukur Allah SWT mudahkan.
“Tekanan tak ada anak sebelum ini ada tapi saya anggap mereka yang bertanya (soal zuriat) itu semua mendoakan… buat pasangan di luar sana yang belum ada rezeki, jangan putus asa dengan rahmat Allah SWT tapi kena ikhtiar juga,” katanya penuh makna.
Kisah pasangan yang akhirnya timang anak selepas 19 tahun ini menjadi bukti bahawa doa dan usaha tidak pernah sia-sia. Rezeki datang tepat pada waktunya apabila Allah SWT menentukan masa terbaik untuk setiap hamba-Nya.
Buat pasangan lain yang masih menanti zuriat, teruskan berdoa dan berusaha kerana keajaiban boleh berlaku bila-bila masa. Semoga kisah Mohd Khairuddin dan Noorul Izzah menjadi inspirasi buat ramai pasangan di luar sana agar tidak pernah berputus asa dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Sumber: Harian Metro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Tugas membesarkan anak bukan mudah, tapi kamu tidak keseorangan. Buku ini hadir untuk memberi kekuatan, inspirasi dan refleksi melalui kisah, tips dan panduan sabar dalam mendidik keluarga dengan kasih.
Tugas membesarkan anak bukan mudah, tapi kamu tidak keseorangan. Buku ini hadir untuk memberi kekuatan, inspirasi dan refleksi melalui kisah, tips dan panduan sabar dalam mendidik keluarga dengan kasih.