
Sejak semalam, video memaparkan pertengkaran seorang pasangan suami isteri di sebuah restoran makanan segera di Senai, Johor menjadi perhatian ramai selepas tular di media sosial.
Rakaman berdurasi pendek itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang meluahkan kebimbangan terhadap wanita dan anak kecil yang berada di lokasi kejadian. Malah ada yang membuat andaian bahawa pasangan tersebut sedang berdepan krisis rumah tangga.
Bagaimanapun, pasangan suami isteri berkenaan kini tampil memberi penjelasan mengenai insiden yang berlaku serta berharap orang ramai tidak membuat kesimpulan berdasarkan rakaman singkat yang tidak menunjukkan keseluruhan situasi sebenar.
Menurut Mohd Hakeem Latif, 32, kejadian tersebut sebenarnya berlaku pada April lalu dan bukannya insiden yang baru berlaku seperti yang disangka ramai.
Menurut Mohd Hakeem, ketika kejadian berlaku dia sedang berdepan tekanan emosi kerana perlu bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan.
Pada masa sama, isterinya pula bekerja syif pagi dan sering perlu bekerja lebih masa bagi memenuhi keperluan pekerjaan.
Situasi itu menyebabkan jadual keluarga mereka menjadi agak sukar untuk diuruskan, terutama melibatkan penjagaan anak kecil.
“Saya datang ambil dia balik kerja jam 6 petang, tetapi dia pula perlu bekerja lebih masa.
“Itulah yang menyebabkan saya marah. Tetapi perkara itu sudah lama berlaku, bukannya baru-baru ini,” katanya.
Beliau mengakui dirinya seorang yang mudah marah dan kadangkala meninggikan suara apabila berdepan tekanan.
Namun begitu, Mohd Hakeem menegaskan bahawa dia tidak pernah bertindak kasar atau menggunakan kekerasan terhadap isteri mahupun anak mereka.
“Saya memang seorang yang baran hingga meninggikan suara, tetapi saya tidak pernah naik tangan terhadap isteri ataupun anak saya,” katanya lagi.
Salah satu perkara yang turut menjadi perhatian netizen dalam video tersebut ialah tangisan anak kecil pasangan itu.
Ramai yang membuat andaian bahawa kanak-kanak berusia dua tahun itu menangis kerana dimarahi atau berasa takut dengan pertengkaran ibu bapanya.
Bagaimanapun, Mohd Hakeem menjelaskan perkara sebenar jauh berbeza daripada persepsi yang timbul.
Menurutnya, anak mereka menangis selepas terjatuh akibat tersadung ketika berjalan di kawasan koridor dan bukannya kerana dimarahi atau dikasari.
Penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan salah faham yang terus berlarutan dalam kalangan masyarakat.
Penularan video berkenaan ternyata memberi kesan besar kepada kehidupan pasangan suami isteri tersebut.
Mohd Hakeem berkata ramai individu menghubunginya bagi mendapatkan penjelasan selepas rakaman itu tersebar luas.
Malah ada yang menggesa isterinya supaya memfailkan perceraian kerana menyangka berlaku masalah serius dalam rumah tangga mereka.
Namun beliau menegaskan bahawa perpisahan bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
“Saya tidak pernah terfikir untuk bercerai. Kami sudah lima tahun berkahwin dan saya masih sayangkan keluarga saya.
“Meruntuhkan rumah tangga orang bukan perkara yang baik dan saya tidak pernah terfikir ke arah itu,” katanya.
Beliau turut menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran besar dalam hidupnya.
Sementara itu, Nurul Ain turut tampil menjelaskan bahawa hubungan mereka berada dalam keadaan baik dan stabil.
Menurutnya, ramai netizen membuat kesimpulan sendiri tanpa mengetahui keadaan sebenar yang berlaku di sebalik rakaman tersebut.
View on Threads
“Kami baik-baik sahaja. Ramai yang membuat andaian sedangkan mereka tidak mengetahui perkara sebenar,” katanya.
Nurul Ain turut mendedahkan bahawa selepas suaminya bertukar pekerjaan di Kulai, urusan menjaga anak menjadi lebih teratur berbanding ketika beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum ini.
Malah, wanita yang kini sedang hamil tiga bulan itu mengakui lebih tenang dengan perubahan jadual kerja suaminya.
Penjelasan yang diberikan pasangan suami isteri ini wajar didengari. Namun, rakaman yang tular itu turut mengingatkan masyarakat bahawa setiap tindakan, kata-kata dan emosi yang diluahkan di hadapan pasangan serta anak-anak mempunyai kesan tersendiri.
Dalam apa jua keadaan, rasa hormat, komunikasi yang sihat dan kemampuan mengawal kemarahan kekal menjadi asas penting dalam membina keluarga yang selamat dan sejahtera.