Pasangan Hidup Bukan Jaminan Bahagia, Single Pun Mampu Ye!

Pasangan hidup pasti dinanti oleh tiap orang, namun tak semua memilikinya. Tapi, jangan anggap orang yang masih belum bertemu jodohnya itu kerana dia teramat memilih. Tak adil untuk meletakkan tanggapan itu pada dirinya.

Hanya mereka yang mengalaminya saja yang tahu apa yang ada di hati mereka. Pada zaman sekarang, makin ramai wanita yang masih belum bertemu jodoh. Apakah itu pilihan yang mereka sendiri buat?

Belum Jumpa Pasangan

Bila jodoh belum sampai, yakinlah bahawa Allah pasti ada rencana yang terbaik untuk diri kita kerana Dia lebih tahu apa yang baik untuk kita. Jodoh adalah salah satu rahsia Allah, yang kita tak tahu. Kita merancang, selebihnya Allah yang tentukan. Sebaik mana rancangan kita pun, kalau itu bukan yang terbaik untuk kita, Allah tetap takkan membenarkan itu berlaku.

Bila jodoh belum sampai, kita kena check diri, mungkin ada sesuatu yg kurang. Sebab itu jodohnya belum sampai, belum kita jumpa. Mungkin pada luaran,orang akan nampak kita ni sudah sempurna untuk bergelar isteri seseorang, tapi sebenarnya mungkin tidak.

Apa pun, yang masih belum pernah bergelar isteri, mereka ini tetap mampu bahagia walau tanpa pasangan hidup di sisi. Bahkan, ada kelebihannya bila hidup solo ni.

Baca artikel lain di sini:

Strategi Hilangkan Tekanan, Single Atau Mak-mak Ada Anak Patut Cuba!

Status Ibu Tunggal Bukan Alasan Untuk Rasa Down Selamanya

IKLAN

https://www.instagram.com/mingguanwanita

Pasangan Hidup Bukan Jaminan Bahagia, Single Pun Mampu Ye!

JOM INTIP BAHAGIA CARA SI SINGLE

Berbakti Pada Mak Ayah

Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi’ah As-Sa’idi RA berkata: “Ketika kami sedang bersama Rasulullah s.a.w, tiba-tiba ada seorang lelaki daripada Bani Salamah datang kepada Baginda s.a.w. Lelaki tersebut bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada ruang untuk aku berbuat baik kepada kedua orang tuaku setelah mereka meninggal?.” Baginda menjawab: “Ya, mendoakan dan memintakan keampunan untuk kedua-duanya, melaksanakan wasiatnya, menyambung jalinan silaturahim mereka dan memuliakan teman mereka.” (Hadith riwayat Abu Dawud, No. 5142, Ibn Majah, No. 3664, Ahmad, No. 15479)

Terdapat ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh kewajipan membuat kebaikan dan jasa kepada orang tua. Bahkan, ia tak terhad hanya ketika mak ayah itu masih hidup saja.

Tiada Halangan Daripada Pasangan

Bila bujang, tentu sekali tiada halangan untuk kita berbakti pada mak ayah. Tak perlu minta izin bila nak hulur duit pada mak ayah. Bila-bila masa nak pulang ke rumah mak ayah pun boleh kerana tiada siapa yang halang. Berbeza kalau ada suami, segala hal perlu minta izin suami walau pun nak balik rumah mak ayah sendiri.

Dapat pula pasangan yang asyik pentingkan mak ayahnya sendiri. Tiap minggu balik rumah mak ayahnya. Tapi bila isteri ajak balik rumah mak ayah si isteri, setahun sekali pun payah. Kalau ada pun, disuruhnya isteri pulang dengan anak-anak saja.

Belum lagi bab hulur duit belanja pada mak ayah. Isteri tak kisah pun bila dia hulur pada mak ayah dia, tapi kalau isteri nak bagi pada mak ayah, siap tentukan berapa jumlah sedangkan itu wang gaji isteri. Patut tak?

Jadi, kalau single, tak ada siapa nak larang atau kawal. Itu antara dia dan mak ayah dia. Kalau ada lebih, dia bagi lebih.

Bina Kerjaya 

Bila single, kerjaya boleh jadi keutamaan. Tak perlu fikirkan suami dan anak-anak. Nak balik lewat pun tak perlu risau, terkejar-kejar nak balik rumah masak untuk suami dan anak-anak. Tak perlu membahagikan masa antara karier dan keluarga. Selalunya bab ini, mak ayah tak campur. Mereka sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anak dara mereka itu.

Bebas Ke Mana-Mana Tanpa Pasangan

Tepat sekali. Si bujang, nak pergi ke mana-mana walau pun perancangan itu dibuat last minute bersama rakan-rakan, semuanya on je! Nak pergi tengok wayang, nak pergi bercuti, keputusan 100% di tangan mereka. Sebab keputusan itu mereka yang buat sendiri, tak perlu bincang dan minta izin pasangan. Kalau hendak bercuti ke mana-mana, asal cukup bajet semua ditanggung beres. Bahkan lebih menjimatkan bila berkongsi dengan rakan-rakan lain.

Pendek kata, si bujang bebas untuk membeli apa saja sebagai reward untuk dirinya sendiri. Tak kisahlah, beg mahal, percutian ke luar negara dan sebagainya. Malah, hidup sendiri membuatkan mereka ini sangat berdikari dalam hidup.

Ujian Untuk Tingkatkan Amalan

Belum dipertemukan jodoh merupakan satu ujian buat umatNya. Namun, sejauh mana kesabaran kita dalam menerima ujian yang diberikan olehNya? Ujian ini adalah untuk kita sentiasa muhasabah diri kita, perbaiki kekurangan diri kita. Ujian ini bukan hanya kepada anda, malah turut terasa impaknya kepada kaum keluarga anda. Meskipun pelbagai doa telah diamalkan, kalau Allah belum tentukan masanya, pasti belum tiba juga jodohnya.

Kita tidak ada kuasa untuk meminta dipercepatkan jodoh, kerana jika belum ada waktunya, orang yang diharapkan pasti belum datang jua. Di sinilah manusia diuji untuk mempertingkatkan amalannya. Allah hanya akan menguji hambaNya yang disenangi. Jika mereka bersabar, maka besarlah nikmatnya.

Yang penting, jadikan kekurangan itu sebagai kelebihan. Walau pun mungkin anda tak ada teman hidup, namun anda tetap boleh bahagia dengan cara sendiri. Yang penting, jaga hubungan dengan Allah SWT kerana DIA Yang Maha Mengetahui isi hati anda. Soal cakap-cakap orang, abaikan je!