
Pesona dengan aura memakai hijab dan berpakaian longgar menutup aurat, Nora Danish sering menjadi tumpuan netizen. Bukan sahaja dari segi penampilan, malah tulisannya juga selalu tular dan memukau pembaca setia yang mengikuti akaun media sosial miliknya.
Dilihat selalu berkongsi maksud dan ‘inti’ surah-surah dalam Al Quran, wanita berusia 44 tahun ini bukan merasa dirinya terpaling bagus tetapi sebaliknya demi memperbaiki dirinya yang serba serbi kekurangan.
Terbaharu perkongsian pelakon Nora Danish di Threads menarik perhatian warga maya apabila dia menitipkan pesanan mengenai kepentingan memilih pasangan hidup dan sahabat yang baik.
“Carilah pasangan hidup dan sahabat yang sama-sama menegur untuk menjadi lebih baik, bukan sama naik atau menjadikan kita lebih kufur. Belajar untuk berfikir sebelum membuat sebarang penilaian atau tindakan. Tidak salah pun untuk husnuzon.
Lens kena tukar – Cara kita melihat sesuatu perkara. Pandang dengan mata hati. Nescaya hati jadi lebih tenang.”
Mendapat komen sebanyak 93 orang, rata-rata pembaca rasa positif dengan tulisan pelakon, model, penyanyi dan pengacara wanita Malaysia tersebut.
Anak kelahiran Setiu ini cukup suka OOTD, ramai yang memuji dan memberi sokongan buat ibu tunggal kepada dua anak ini agar segala kebaikan yang ditunjukkan menjadi asbab pahala untuk dirinya mudah ke syurga.
Sedikit info berkaitan rumah tangganya, Nora pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli pada tahun 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki, namun mereka bercerai pada 2008.
Kemudian pada 30 Mac 2017, beliau berkahwin pula dengan Mohamed Nedim Nazri Aziz, anak kepada ahli politik terkenal Datuk Seri Nazri Aziz. Mereka dikurniakan seorang lagi anak lelaki pada 2018.
Terkini, beliau kembali bergelar ibu tunggal selepas berpisah dan lebih fokus pada anak, keluarga serta kehidupan yang lebih tenang.
TIP RUMAH TANGGA: Biar sederhana dalam segala hal dan tidak perlu sampai ‘menjerit’ untuk menyatakan soal bahagia kita. Cukup kita tahu dan rasa.