
Pakar patologi Dr Jessin Hiu diugut, bekas guru juga seorang warga emas ditahan polis. Tindakan seorang bekas guru menggunakan nama profile “Amung Kamaruddin” mengugut mahu mengupah individu melanggar Pakar Patologi, Dr Jessie Hiu yang merupakan saksi pertama memberi keterangan dalam inkues mencari punca kematian Zara Qairina bermula dari 3 September lalu membawa padah apabila ditahan oleh pihak polis semalam.
Tindakan “Amung Kamaruddin” yang menulis “Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal. Bila dia kerja. Upah bah..mau langgar lari membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa selepas Dr Jessie membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth ada ugutan dibuat terhadapnya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengesahkan lelaki berusia 61 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 pagi susulan kenyataannya termasuk merampas telefon bimbit digunakan lelaki berkenaan.
Hasil semakan terhadap gajet tersebut mendapati suspek merupakan pemilik akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi atau memuat naik kandungan di media sosial, selaras dengan prinsip undang-undang serta keharmonian masyarakat.
Dalam keterangan di Mahkamah Koroner bermula 3 September lalu, Pakar Patalogi Dr Jessie Hiu memaklumkan, kecederaan yang dialami arwah Zara Qairina adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi namun menegaskan ia tidak mungkin berlaku secara tidak sengaja atau akibat ditolak dari koridor tingkat tiga asrama sekolah pada 16 Julai lalu.
Beliau menjelaskan, hasil pemeriksaan lokasi menunjukkan ketinggian pagar konkrit dan palang besi di tingkat tiga melebihi pusat graviti tubuh mangsa, sekali gus menolak kemungkinan arwah jatuh sendiri atau ditolak.
Dr Jessie berkata, berdasarkan ketinggian dan lebar pagar konkrit, ketinggian palang besi mendatar dan tinggi antemortem si mati, adalah mungkin arwah memanjat pagar konkrit, melintasi palang besi dan berdiri di atas pagar konkrit tersebut. Namun beliau di akhir keterangan menyerahkan kepada Mahkamah Koroner untuk menentukan punca arwah Zara jatuh.
Dr Jessie Hiu bukan nama kecil dalam dunia perubatan. Beliau ialah seorang pakar forensik patologi dengan pengalaman luas, terlibat dalam ratusan bedah siasat, kes jenayah berprofil tinggi, serta menjadi rujukan dalam bidangnya.
Di kalangan rakan sejawatan, beliau dikenali kerana ketelitian, keberanian bersuara, dan komitmen menjaga integriti ilmu.
Bukan sekadar pakar, beliau juga seorang pendidik. Ramai pelajar perubatan dan pegawai muda pernah berguru daripadanya, belajar bagaimana mencari kebenaran melalui sains, bukan sekadar cerita.
Titik terendah profesyen
Inilah titik paling rendah apabila seorang profesional yang memikul amanah mencari kebenaran dipijak hanya kerana fakta yang dibawa tidak memuaskan hati sesetengah pihak.
Solidariti ini bukan sekadar buat Dr Jessie, tetapi untuk seluruh profesyen perubatan. Kami meminta dengan penuh hormat agar netizen menghentikan budaya membuli.
Jika ada keraguan, gunakan saluran yang betul buat laporan kepada polis atau SPRM. Bukan dengan membuli dan menyerang peribadi seorang doktor yang hanya menjalankan amanah profesyennya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI