
Pakaian dan barang peribadi Allahyarham Zara Qairina belum lagi diambil Polis untuk siasatan – Peguam. Peguam kepada ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendedahkan bahawa pihak polis masih belum mengambil pakaian dan barangan peribadi milik remaja berkenaan yang dipakai ketika kejadian berlaku, walaupun insiden tragik itu telah berlaku lebih dua minggu lalu.
Pakaian Dan Barang Peribadi Allahyarham Zara Qairina Belum Lagi Diambil Polis Untuk Siasatan – Peguam
Mewakili ibu Allahyarham, Noraidah Lamat, 45, peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata perkara itu dimaklumkan selepas kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai kertas siasatan yang bakal diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kami ingin memaklumkan berkenaan pakaian dan barang peribadi yang dipakai oleh Zara ketika beliau ditemui di bawah bangunan asrama pada subuh 16 Julai lalu.
“Semua pakaian dan barang tersebut telah diserahkan kepada ibu Zara oleh pihak hospital pada hari yang sama dan kini berada dalam jagaan seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai wakil tunggal kepada ibu Zara,” ujar mereka dalam satu kenyataan pada Ahad.
Peguam tersebut turut memaklumkan bahawa sejak 17 Julai, tiada sebarang usaha dibuat oleh pihak polis untuk mengambil barangan berkenaan walaupun ia berpotensi menjadi bahan bukti penting dalam siasatan kes.

“Kami sangat terkejut dengan perkara ini kerana sepanjang pengalaman kami mengendalikan kes-kes jenayah di mahkamah, pihak polis lazimnya akan merampas semua barangan yang dipakai oleh mangsa yang disyaki mati akibat jenayah untuk tujuan siasatan,” katanya.
Menurut mereka, kegagalan pihak berkuasa untuk merampas dan menganalisis secara forensik barangan tersebut amat membingungkan, apatah lagi kematian Zara mungkin melibatkan unsur jenayah.
“Pakaian dan barang-barang tersebut merupakan bahan bukti penting yang sepatutnya diperiksa dan dianalisis secara forensik untuk menentukan sama ada kematian Zara melibatkan unsur jenayah atau sebaliknya.
“Kegagalan pihak polis berbuat demikian menimbulkan tanda tanya serius sama ada siasatan mereka hanya tertumpu kepada kematian mengejut atau bunuh diri, sedangkan ibu Zara telah membuat beberapa laporan polis bagi memohon siasatan dijalankan atas kemungkinan wujud unsur jenayah,” tegas mereka.
Sehubungan itu, mereka berpandangan bahawa kertas siasatan yang bakal diserahkan kelak tidak memberikan gambaran keseluruhan tentang insiden tersebut.
“Kertas siasatan tersebut tidak menyeluruh dan mempunyai fokus yang sangat terhad. Lebih membimbangkan, tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengebumiannya,” kata mereka lagi.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Kubur Allahyarham Zara Qairina Perlu Digali Semula Bagi Tujuan Bedah Siasat – Peguam

Gali Semula Kubur Zara Qairina Untuk Bedah Siasat, Mahkamah Ada Kuasa Arahkan Jika Perlu
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI