“Pagi semalam kami sekeluarga kebumikan abang ipar, namun tidak disangka pada petang hari sama anak saya pula lemas.”
Memetik Berita Harian, itulah luahan pilu Sheikh Mohd Hilmi Safwan Sheikh Mohd Anuar, 33, yang kehilangan anak bongsunya, Sheikh Muhammad Iffat Nazril, berusia dua tahun dua bulan selepas ditemui lemas dalam kolam ikan di hadapan rumah keluarga mentuanya petang semalam.
Tragedi menyayat hati itu berlaku kira-kira jam 6.50 petang di Kampung Seri Paya Laut, Parit Raja, ketika ahli keluarga sedang berehat selepas menyiapkan persiapan kenduri tahlil.
Walaupun cuba menahan kesedihan, Sheikh Mohd Hilmi yang juga anggota polis di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, dilihat tabah berdepan ujian berat itu selepas kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik yang mesra dipanggil ‘adik’.
Menceritakan semula detik kejadian, beliau berkata ketika itu dia sedang bekerja dan tidak berada di lokasi.
“Waktu kejadian situasi di rumah keluarga mentua agak ramai, semua masing-masing kepenatan untuk tahlil malam itu. Anak saya pula pada waktu itu baru lepas mandi.
“Pada mulanya dia masuk ke dalam bilik berdekatan ruang tamu. Selepas bersiap, isteri saya Nurul Ellyyana Sarmidee, 33, keluar bertanya di mana adik.
“Kami lihat dia tiada dalam bilik, pintu hadapan tertutup cuma pintu ke tandas belakang rumah terbuka. Ada kemungkinan adik keluar melalui pintu itu.
“Saya dengan arwah adik kami tidak pernah ke kawasan kolam itu kerana bersemak,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya lagi, kolam berkenaan agak jauh dari kawasan rumah keluarga mentua dan arwah tidak pernah ke situ sebelum ini.
“Kami semua keluar mencarinya sehinggalah ada seorang ahli keluarga tergerak hati bila teringat arwah adik pernah memberitahu hendak ke sana, cuma dilarang oleh ahli keluarga.
“Bila kami ke kolam, barulah jumpa adik dalam keadaan tidak sedarkan diri. Abang ipar saya datang terus terjun dan membawa adik naik,” katanya.
Sheikh Mohd Hilmi berkata, berdasarkan pemerhatian, anaknya dipercayai tergelincir memandangkan terdapat kesan di tepi kolam tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, mayat kanak-kanak berkenaan telah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat.
“Siasatan dijalankan sebagai mati mengejut dan pada masa sama, kita juga membuka kertas siasatan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Insiden tragis anak lemas dalam kolam ikan ini meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa dan masyarakat setempat. Ia menjadi peringatan tentang pentingnya pemantauan anak kecil terutama di kawasan berhampiran air.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE