Perjuangan mendapatkan keadilan buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak akan berhenti selagi pihak yang bertanggungjawab belum menerima hukuman setimpal.
Itulah tekad Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang mahu memastikan bukan hanya kebenaran ditegakkan, tetapi juga setiap anak di negara ini terjamin keselamatannya.
“Kita akan terus mengikuti dan memantau rapat perkembangan kes ini. Setiap anak berhak membesar dalam persekitaran selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.
Ini tanggungjawab bersama untuk terus cakna, melindungi, dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang,” tulisnya di Facebook.
Dua minggu lalu, Nurul Izzah Anwar terbang ke Kota Kinabalu dengan hasrat untuk bertemu ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir. Namun, ketika itu, Noraidah Lamat masih belum bersedia menerima kunjungan.
“Saya tidak memaksa, tetapi syukur hari ini saya diberi ruang untuk menyampaikan takziah secara bersemuka,” katanya penuh syukur namun sarat hiba.
Baca artikel lain juga: Pakar Forensik: DNA Tidak Akan Musnah Walaupun Mayat Sudah Lama Dikebumikan
Kronologi Lengkap Kes Zara Qairina Yang Meruntun Jiwa
Bagi Nurul Izzah, tiada ibu yang sanggup melihat anak pergi buat selama-lamanya.
“Sebagai seorang ibu, saya benar-benar merasai kesedihan yang ditanggungnya. Dia hanya mahu melihat Zara membesar seperti biasa, sihat dan ceria.”
Pemergian tragis pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah, itu telah menyentuh hati rakyat di seluruh negara. Zara ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Nurul Izzah menyeru orang ramai untuk terus berdoa, berusaha dan bertawakal, agar keadilan dan kebenaran berpihak kepada arwah serta keluarganya.
“Zara seperti anak kita semua. Pemergiannya menggerakkan kita untuk bersatu, cakna, dan melindungi generasi akan datang daripada ancaman dan bahaya,” katanya.
Beliau turut berjanji akan terus memantau perkembangan kes ini melalui pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Jabatan Peguam Negara.
“Setiap anak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman. Ini tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi, dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang.”
“Teruskan berdoa, berusaha, dan bertawakal agar keadilan dan kebenaran ditegakkan, serta roh anakanda Zara ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin.”
Buat masyarakat, kisah Zara adalah panggilan untuk bertindak. Agar setiap anak di bumi ini dapat membesar dalam persekitaran yang aman, penuh kasih sayang, dan bebas daripada keganasan yang meragut masa depan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE