Motivasi

Nuha Sudah Jumpa Syurga? Isteri Tolonglah, Merdekakan Diri Bila Perkahwinan Menjadi Penjara Emosi

Share

Nuha sudah jumpa syurga? Pelbagai dugaan yang dihadapi dalam kehidupan walau sudah keluar dari perhubungan toksik namun watak Nuha dalam drama Dia Bukan Syurga masih dibelenggu ketakutan.

Selepas memberanikan diri keluar dari perkahwinan bersama Tajul, Nuha tetap memilih darah daging bekas suaminya sebagai teman hidup. Walau watak abang Tajul, Arham lakonan Nazim Othman sangat berbeza dengan adiknya namun kehidupan Nuha masih terikat dengan Tajul apatah lagi bila Tajul sudah keluar dari penjara dan memburu cinta Nuha.

Nuha Sudah Jumpa Syurga? Isteri Bangkitlah Keluar Dari Rumah Tangga Toksik

Wanita sekuat Nuha yang mahu mengapai kebahagian sendiri walau sudah memiliki keluarga baru namun masih diburu bekas suami yang obses kepada dirinya. Apapun menerusi perkahwinan bersama Arham, Nuha berjaya menemui kebahagiaan dan memerdekakan dirinya daripada bekas suami yang juga seorang pendera.

Jika anda seorang isteri dan wanita yang senasib dengan Nuha tolonglah bangkit dan keluar dari rumah tangga yang toksik. Pastinya ada cahaya selepas hujan sebagaimana kebahagiaan yang diraih oleh Nuha dengan perkahwinan keduanya.

Malang Sekali Bertahan Dek Kerana Cinta & Takut Jadi ‘Janda’

“Berada dalam perkahwinan suami pendera ternyata suami itu bukanlah syurga tetapi aku tetap tinggal di dalamnya… kerana aku fikir cinta itu akan cukup…” itulah antara dilema ramai wanita yang senasib dengan Nuha, watak isteri malang dalam drama yang mengguris hati ramai. Nuha yang sabar, taat, namun berkali-kali dihancurkan oleh Tajul, suami yang manipulatif, kasar, dan mementingkan diri.

Ia realiti buat ratusan wanita yang masih lena di sebelah lelaki yang menyakiti mereka, bukan sekali, tapi berkali-kali.  Paling malang, ramai terus bertahan dek kerana cinta, anak dan terlalu takut melekat gelaran ‘janda’.

Perkahwinan Sepatutnya Menjadi Tempat Selamat

Secara realiti sepatutnya perkahwinan bukan tempat yang memadam harga diri, mencalar jiwa, mematahkan semangat. Wanita yang didera secara fizikal, emosi atau mental bukan wanita yang lemah. Mereka sering terlalu kuat hingga terus menyimpan derita sendiri.

Tetapi ingatlah, kita ada pilihan. Pilihan untuk tidak terus tinggal dalam hubungan yang menyakitkan. Pilihan untuk berkata “Cukuplah.”

Ini antara langkah-langkah yang boleh membuka jalan kepada pembebasan diri buat wanita yang mahu keluar dari rumah tangga toksik:

  1. Sedarkan Diri Ini Bukan Salah Anda

Jangan normalisasikan penderaan atas nama sabar. Wanita tak dicipta untuk dipijak. Kita layak untuk dihargai.

  1. Simpan Bukti, Rancang Perlahan

Kumpul dokumen penting, rakam bukti penderaan jika perlu. Rancang keluar bukan dengan emosi tapi dengan strategi.

  1. Kukuhkan Kedudukan Kewangan

Bina tabung rahsia. Cari pendapatan kecil-kecilan. Wanita berdikari bukan sombong  ia langkah menyelamatkan diri.

  1. Dapatkan Sokongan Selamat

Cari kawan, kaunselor, NGO seperti Talian Kasih (15999). Jangan takut untuk minta tolong itu bukan kelemahan, itu keberanian.

  1. Tahu Hak Anda, Dan Gunakan

Penderaan bukan isu peribadi, ia jenayah. Ambil tindakan. Buat laporan. Mahkamah ada untuk melindungi, bukan menghakimi.

  1. Pulihkan Diri Sebelum Bercinta Semula

Dapatkan terapi emosi. Maafkan diri sendiri. Sayangi diri dahulu. Kita tak boleh beri cinta kalau kita kosong.

Wanita sedarlah syurga bukan pada rumah yang besar, bukan pada cincin di jari, tetapi pada ketenangan jiwa yang tidak lagi dicederakan oleh orang yang kita panggil suami. Jika anda kenal  wanita yang sedang melalui situasi ini tolonglah hulurkan tangan. Jangan biar mereka percaya, derita itu takdir. Ini kerana dalam hidup ini, kita sentiasa ada pilihan.

Baca Disini : Kenapa Isteri Masih Bertahan Walaupun Suami Kaki Pukul, Mendera

Published by
Norhayati Suboh