
Perkongsian penyanyi dan usahawan, Ahmad Nubhan Ahamad, 40, mencuri perhatian ramai apabila beliau berjaya membangunkan sebuah ladang seluas empat ekar khas bagi mengusahakan produk sambal tempoyak daun kayu.
Nubhan Beri Kejutan Buat Ibunya Mak Jenny, Buka Ladang Empat Ekar
Menerusi video yang dikongsi di akaun TikTok miliknya, Nubhan turut membuat kejutan istimewa kepada ibunya, Mak Jenny, dengan menunjukkan hasil usaha mereka selama hampir dua tahun.
@nubhan86Akhirnya Mak Jenny dah ada Ladang Sendiri!! Demi utk menghasilkan Sambal Tempoyak Daun Kayu!! 🥰 Jgn lupa masuk live sabtu ni 19hb july jam 8pm ok!! Limited stock tau🙈🙈🙈♬ Healing Water – The Meditation – Red Blue Studio
“Akhirnya Mak Jenny ada ladang sendiri untuk buat Sambal Tempoyak Daun Kayu,” katanya.
Selain di TikTok, Nubhan turut berkongsi kejayaannya menghadiahkan ladang kepada Mak Jenny di dalam Instagramnya.
Menurut Nubhan, proses menubuhkan ladang ini bukan sesuatu yang mudah, malah memerlukan kesabaran tinggi dan pengetahuan dalam bidang penanaman.
“Sebenarnya, untuk buka ladang ini bukan satu kerja yang mudah. Nak kena tahu tanam pokok, pokok mati, dan pokok kena virus,” ujarnya.
Tambah beliau, kekangan untuk mendapatkan bahan mentah seperti daun-daun ulam menyebabkan beliau mengambil inisiatif untuk menanam sendiri di atas tanah milik mereka.
“Saya buat ladang ini sebab kita susah nak dapat daun-daun ini. Jadi kita tanam,” katanya lagi.
Selepas melalui pelbagai cabaran dalam tempoh hampir dua tahun, Nubhan bersyukur kerana kini mereka sudah bersedia untuk mengeluarkan produk sambal tersebut dengan bahan-bahan yang mencukupi dan segar dari ladang sendiri.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji semangat dan kegigihan Nubhan dalam menceburi dunia perniagaan berasaskan makanan. Ramai juga yang menyamakan dedikasi Nubhan dengan pempengaruh popular, Khairul Aming, yang dikenali kerana komitmennya dalam dunia keusahawanan makanan.
Usaha Nubhan bukan sahaja menjadi inspirasi, malah turut membuka mata masyarakat tentang potensi besar dalam sektor pertanian dan makanan tempatan.
Sumber: TikTok @nubhan86 dan Instagram nubhan.ahamad
Baca artikel lain juga: Rumah Baru Nubhan Besar, Luas, Dekorasi Moden, Jom Review Rumah Baru Tidaklah Hebat Mana
‘Tunjal Kepala, Cuba Buat You Marah, Tapi Tak Marah-marah’ Nubhan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Syamsul Akan Beri Titik Noktah Kemelut Rumahtangga, Berdiam Kerana Tak Nak Buka Aib

Syamsul akan beri titik noktah kemelut rumahtangga, berdiam kerana tak nak buka aib. Ramai tertunggu-tunggu pengumuman dari pengarah hebat, Syamsul Yusof selepas pendedahan dibuat isterinya, Puteri Sarah Liyana berhubung adanya orang ketiga dalam rumahtangga mereka.
Mengakui sudah penat dengan semua terjadi, jelas anak kepada Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah ini, segalanya akan dijelaskan dalam masa terdekat.
Syamsul Akan Beri Titik Noktah Kemelut Rumahtangga
Memetik laporan Harian Metro, Syamsul berkata, “Insya-Allah, saya akan beri titik noktah kepada semua permasalahan ini,” demikian kata pengarah filem sensasi, Syamsul Yusof yang akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung kemelut rumah tangganya yang hangat diperkatakan ketika ini.
Terbaharu, penjelasan itu dibuat Syamsul, 38, menerusi perkongsian video di Instagram (IG), beberapa jam lalu sebelum lembaran tahun 2023 dibuka sebagai jawapannya pada kemelut rumah tangga yang berlaku disebabkan kehadiran ‘orang ketiga’.
BACA ARTIKEL DI SINI :– Puteri Sarah Mahu Kebenaran Sebelum Buat Keputusan Tentang Hati
Restu Ibu Bapa Itu Penting, Ibu Seolah Beri Hint Kongsi Gambar Kahwin Shamsul & Puteri Sarah
Puteri Sarah Tak Rasa Menyesal, Mohon “Doakan Benda Terbaik Untuk Saya, Anak-Anak”
Pihak Sana Langgar Perintah Injuksi, Peguam Puteri Sarah Hantar Notis
Syamsul berkata, dia bertindak mendiamkan diri selama ini kerana tidak mahu membuka aib berkaitan kehidupan rumah tangganya bersama isteri juga pelakon, Puteri Sarah Liyana, 37.
“Tapi, sudah tiba masanya saya bersuara mengenai perkara ini (kemelut rumah tangga yang hangat diperkatakan). Saya pun dah penat dan saya juga percaya netizen pun letih.
“Insya-Allah dalam masa terdekat, saya akan leraikan satu persatu kepada umum supaya semua persoalan ini ternoktah,” katanya mengakui apa yang berlaku sedikit sebanyak mengganggu tidur dan urusan kerjanya.
Syamsul berkata, berikan dia sedikit masa lagi untuk menyelesaikan semua isu yang berlaku itu.
Malah, katanya, sebagai anak dia juga sangat menyayangi dan menghormati kedua ibu bapanya.
Pengarah filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan berkata dilahirkan dalam keluarga seni dan bergelar selebriti, dia sedar bahawa dirinya sering menjadi perhatian, termasuk membabitkan kisah peribadi.
“Hal perkahwinan adalah perkara sangat peribadi. Hal dalam kain, tidak manis untuk dikongsi kepada khalayak ramai.
“Namun, selepas setengah tahun hal rumah tangga kami dikongsi Puteri Sarah dalam media sosial, media cetak dan elektronik, jadi saya rasa sudah sampai masa untuk menjelaskan segala-galanya,” katanya.
Difahamkan Syamsul berhadapan kemelut rumah tangga dengan Puteri Sarah atas dakwaan kehadiran ‘orang ketiga’ dikenali Ira Kazar yang dikatakan mengganggu rumah tangga mereka.
Terdahulu, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.
Baru-baru ini juga, Syamsul dilaporkan mahu memfailkan saman RM10 juta terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana menyebarkan kenyataan tidak benar dan fitnah terhadap keluarganya bahawa dia sudah berkahwin lagi.
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
21 Tempat Menarik Di Sabah, Mak Ayah Boleh Bawa Anak Jalan-Jalan Cuti Sekolah Ni

Jika mak ayah ada perancangan nak bawa anak-anak pergi jalan-jalan sempena cuti sekolah ni,boleh pertimbangkan untuk ke Negeri Sabah,negeri dibawah bayu ni. Ada 21 tempat- tempat menarik yang boleh diterokai & anak-anak mesti suka.Bukan sahaja lokasi je best, Sabah jua terkenal dengan makanan lautnya yang fresh!
Antara Lokasi Menarik Di Sabah:
1.Pasar Filipina – destinasi untuk membeli kraftangan atau cenderahati sepeti mutiara, keychain, aksesori wanita dan juga tempat untuk membeli makanan laut atau barangan produk kering seperti ikan masin, udang kering dan sebagainya. Waktu malam pula kawasan ini terkenal dengan makanan laut yang segar dan murah!
2.Pantai Tg Aru – Hanya terletak sejauh 6 km dari pusat bandar raya Kota Kinabalu. Di sini anda akan dapat melihat keindahan sunset pada waktu senja dan melihat dengan jelas kapal terbang yang mendarat di Kota Kinabalu International Airport.
3.Bukit Kokol atau Kokol Hill – Anda akan dapat melihat keindahan gunung Kinabalu dan panaroma sunset yang sangat best! Anda juga akan dapat melihat pemandangan bandar raya Kota Kinabalu dan pulau-pulau di sekitarnya. Memang best!
4.Tambunan Raflesia Reserve – Nak tengok bunga yang terbesar di dunia? Jom ke sini. Perjalanan ke sini hanya mengambil masa sekitar 2-3 jam sahaja. Pasti berbaloi.
5.Monsopiad Cultural Village – Untuk anda yang ingin mempelajari budaya dan adat resam serta kesenian di Sabah, bolehlah ke sini. Pelbagai aktiviti disediakan untuk anda. Pasti tak bosan.
6.North Borneo Railway – Anda boleh merasai sendiri pengalaman menaiki kereta api steam! Seperti zaman dahulu kala gitu.
7.Signal Hill Observatory Platform – Bolehlah kesini pada waktu awal pagi ataupun lewat petang. Barulah suasana terasa nyaman ya amat. Di sini anda dapat melihat panaroma yang menarik di sekitar bandar Kota Kinabalu dan pulau-pulau yang berhampiran. Lokasinya hanya di pinggiran bandar raya Kota Kinabalu.
8.Tanjung Aru Perdana Park – Taman ini mempunyai air pancut berwarna warni diiringi muzik. Sangat menarik bukan? Bolehlah datang ke sini pada waktu malam untuk melihat air pancut tersebut ataupun anda boleh beriadah seperti jogging di taman ini pada waktu petang. Sangat meriah tau!
9.Gaya Street Sunday Market – Hanya pada waktu pagi hari Ahad, anda boleh mencari pelbagai jenis produk tempatan seperti makanan, cenderahati dan sebagainya.
10.Kota Kinabalu Wetland Centre – Khusus kepada mereka yang sukakan burung dan keindahan hutan paya bakau, bolehlah ke sini. Terdapat boardwalk yang memudahkan anda untuk melihat keindahan semula jadi di sini.
11.Kota Kinabalu City Mosque – Terkenal dengan panggilan masjid terapung, masjid ini amat cantik terutama ketika air pasang. Salah satu tarikan pelancong luar Negara yang datang melawat ke negeri Sabah.
Seterusnya, bila anda teruskan perjalanan anda ke Kundasang dan Ranau, jom lawat ke sini pula:
12.Desa Cattle Dairy Farm – Tempat yang sangat popular dalam kalangan pelancong. Anda akan terasa seperti di New Zealand dengan lembu dan udaranya yang sangat nyaman! Anda boleh merasai sendiri pengalaman berada di ladang lembu dan melakukan pelbagai aktiviti di sana. Best gila! Anda juga dapat merasai produk tenusu yang segar dari ladang!
13.Taman Kinabalu – lebih dikenali dengan nama Kinabalu Park, di sini adalah kaki gunung Kinabalu dan tempat bagi mereka yang ingin memulakan pendakian. Suasana di sini pastinya sejuk dan sangat cantik!
14.Kundasang Memorial War Park – tempat bersejarah bagi memperingati jasa-jasa tentera British dan Australia yang terkorban ketika zaman penjajahan Jepun suatu ketika dahulu.
15.Kolam Air Panas atau Hotspring – Air panasnya yang semulajadi dari kaki gunung Kinabalu pasti membuat anda seronok untuk bermandi manda. Pelbagai kelengkapan disediakan untuk anda beriadah bersama keluarga tercinta.
16.Spa ikan di Tagal Luanti – Kalau teringin diurut oleh ikan-ikan di sungai, datanglah ke sini. Pasti akan memberikan anda kenangan yang sukar dilupakan.
17.Ladang Teh Sabah – Di Sabah pun ada ladang teh tau. Anda bolehlah datang kesini. Hanya bersebelahan Spa ikan di Tagal Luanti sahaja.
18.Ranau Paragliding Park – Bagi mereka yang inginkan aktiviti mencabar, bolehlah mencuba untuk merasai aktiviti sukan ini. Jangan risau, semuanya akan dipantau oleh mereka yang sangat bertauliah.
19.Rumah Terbalik Tamparuli – Lokasinya terletak di antara bandar raya Kota Kinabalu dan Kundasang. Pastikan anda singgah di sini bagi merasai keunikan rumah yang terbalik!
20.Miki Survival Camp – Jika anda meminati aktiviti bermalam, jungle tracking dan sebagainya, boleh cuba datang ke sini.
21.Arnab Village – Salah satu tarikan terbaru di Ranau. Anda dapat bermain dan memberi makan sendiri dengan arnab-arnab yang sangat jinak.
Sumber: Persatuan Muafakat Johor
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Selain Bahasa JEPUN, Makcik ‘Cleaner’ Masjid Negara Juga Fasih 4 Bahasa Lain!

Tidak dinafikan kemampuan fasih bertutur serta berkomunikasi dalam pelbagai bahasa asing mampu menjadi antara kelebihan diri. Bukan tukang cuci biasa, wanita kelahiran Minangkabau, Sumatera, Indonesia ini pernah berkhidmat sebagai pemandu pelancong selama 30 tahun dan mahir bertutur dalam lima bahasa lain.
Tidak menyangka video memaparkan Nirmaningsih Mawi, 59, yang bertugas sebagai pencuci di Masjid Negara sedang berinteraksi dengan pelawat dalam bahasa Jepun di premis itu menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.
Beliau berkata, berbual dan menyantuni pelancong adalah rutinnya sejak berkhidmat sebagai tukang cuci di premis itu, kira-kira enam bulan lalu.
Mempunyai 4 Lesen Bahasa
Nirmaningsih yang berhijrah ke Malaysia bersama keluarganya sejak berusia tiga tahun berkata, minat mendalam khususnya dalam bahasa Jepun yang membuatkan beliau berusaha mencari jalan untuk mengambil kursus bahasa.
“Saya memperoleh empat lesen bahasa yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), iaitu Bahasa Inggeris pada 1990, bahasa Jepun pada 1994, Arab (2010) dan Jerman (2011).
“Bukan mudah untuk buat lesen ini, komitmen sangat tinggi kerana ada peperiksaan yang perlu dilalui,” katanya ditemui di Masjid Negara, semalam.
Tambahnya, pengalaman mengikuti kursus intensif bahasa Jepun adalah kenangan terindah dan pada masa sama menuntut pengorbanan yang besar kerana baru melahirkan anak pertama.
“Saya masih ingat pada 1992, ada terbaca iklan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tawaran tajaan itu di akhbar Berita Harian dan disebabkan minat, saya hantar borang permohonan.
“Tak sangka pula dapat panggilan temuduga tetapi saya agak berbelah bahagi kerana anak masih kecil, baru 10 bulan. Jadi selama setahun juga terpaksa berpisah dengan keluarga dan anak, enam bulan ikuti kursus bahasa Jepun di Wisma Belia, Kuala Lumpur dan kemudian dihantar pula ke Tokyo untuk bekerja dengan sebuah syarikat pelancongan di sana bagi memantapkan penguasaan bahasa, selain mempelajari corak kerja mereka.
“Memang tempoh awal berada di Jepun saya tak senang duduk kerana fikirkan anak yang masih kecil, tetapi jika saya tak ambil peluang itu mungkin sampai sekarang tak boleh bercakap dalam bahasa Jepun,” katanya yang turut memberitahu sokongan keluarga khususnya suami adalah faktor utama kejayaannya.
Jangan Malu Bertutur Bahasa Asing
Berkongsi panduan untuk kekal fasih dalam semua bahasa yang dikuasainya, Nirmaningsih berkata, jangan sesekali malu dan sentiasa berusaha bercakap dengan individu yang bertutur dalam bahasa itu.
“Lagi satu…tip untuk senang hafal apa pun…ustaz saya ajar praktikkan baca surah Yasin setiap hari, Insya-Allah.
“Inilah yang saya lakukan. Bayangkan dua tahun pelancong luar tak datang Malaysia sebelum ini…jadi bila bertemu mereka misalnya di masjid, saya mesti mulakan bicara. Ini salah satu cara…jika tidak buat memang boleh lupa.
Hilang Pekerjaan Akibat Pandemik Covid-19
Bercerita lanjut, sebelum ini beliau bekerja sebagai pemandu pelancong tetapi hilang pekerjaan disebabkan pandemik COVID-19.
“Saya pernah menganggur selama empat bulan dan disebabkan itu, saya rebut sahaja peluang kerja yang ada.
“Bayangkan kerja sebagai pemandu pelancong adalah cinta pertama saya, jadi untuk hilangkan rindu pegang mikrofon… berinteraksi dengan pelancong, sambil kerja (cuci masjid) saya turut ambil peluang tegur, berbual dan bantu pelancong yang hadir melawat dengan menggunakan kelebihan boleh berkomunikasi pelbagai bahasa.
“Jadi, kesempatan ini saya nak betulkan.. ada netizen kaitkan saya seorang guru, pensyarah dan macam-macam lagi, itu tak betul,” katanya.
Tak Malu Jadi Tukang Cuci
Ditanya mengenai kerjanya sebagai tukang cuci, ibu kepada lima orang anak ini berkata, beliau tidak pernah malu, malah gembira kerana kerja itu masih membolehkannya bertemu dengan pelancong setiap hari.
“Memang anak-anak pada mulanya minta saya cari kerja lain, tapi saya beritahu ini adalah apa yang saya ingin buat, tambahan pula suami turut bekerja sekali di sini.
“Bila kerja di masjid saya seronok kerana dapat bersihkan rumah Allah, auranya memang istimewa…tak ada di tempat lain. Dengan usia sebegini, kerja ini lebih relaks, sambil kerja dapat juga beribadah, malah ikuti tadarus dan pelbagai kelas agama,” katanya.
Beliau turut mengakui kerja tukang cuci bukan pilihan anak muda, sedangkan terdapat banyak peluang pekerjaan dalam sektor pembersihan yang tidak diisi.
“Ya…orang muda anggap kerja tukang cuci ini tak ada ‘kelas’, mentaliti orang kita masih begitu. Sedangkan, jika tak ada tukang cuci, saya rasa tak ada siapa pun yang nak masuk tandas awam.
“Pada saya dengan persaingan dan kesukaran mendapatkan kerja sekarang, usah terlalu memilih dan jangan pandang rendah kerjaya sebegini,” katanya.
Buka Mata Kerjaya Pemandu Pelancong
Mengulas kerjayanya sebelum ini sebagai pemandu pelancong, beliau berkata, disebabkan industri pelancongan kembali rancak selepas fasa endemik COVID-19, banyak tawaran mula diterima sejak bulan lalu.
“Saya bekerja sebagai pemandu pelancong sejak 1990 dan tak mungkin akan tinggalkan kerjaya ini. Saya tak berhasrat nak berhenti kerja (tukang cuci) tetapi buat masa sekarang kerja bawa pelancong dibuat ketika hujung minggu, waktu tak bertugas di masjid atau pada sebelah malam sahaja.
“Sekurang-kurangnya bila tular kisah saya, orang ramai tahu dan buka mata mengenai kerjaya sebagai pemandu pelancong…ia bagi saya peluang kerja yang perlu diteroka anak muda. Melalui kerja ini saya dapat teroka negara sendiri, hebahkan kawasan pelancongan dan bersejarah negara malah dapat bertukar pandangan dan budaya dengan pelancong dari serata dunia,” katanya.
Baca Lagi Di Sini:Profesor Di Jepun Cipta Prototaip Jilat Skrin TV, Boleh Rasa Makanan Sebenar!
Artikel Menarik:Tanam ROS JEPUN Kerat Batang Pendek-Pendek, Pokok Cepat Besar Bunga Cantik Merimbun!
Mesti Baca:Mak Ayah Dulu Marah Paling TERBAIK, Guna Bahasa Tubuh Didik Anak Patuh, Hormat
Mingguan Wanita:Memang banyak kelebihannya bila mampu bertutur dan fasih berkomunikasi dengan pelbagai bahasa. Terbaik, wanita ini semoga menjadi inspirasi buat kita juga dalam meningkatkan ilmu dan menambah kemahiran berbahasa.
Sumber: Bharian
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI