Pelakon jelita, Nora Danish dan bekas suaminya, Datuk Rizal Ashram Ramli (Jejai), baru-baru ini menghadiri sebuah majlis penuh bererti, majlis graduasi anak lelaki mereka, Putra Rayqal Ramli, yang telah menamatkan pengajiannya di Kolej Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Momen indah itu dikongsikan Nora menerusi media sosialnya yang memaparkan detik penuh bangga dan syukur apabila menyaksikan anak sulungnya menyempurnakan pengajian di hadapan ibu bapa tersayang.
Apa yang menyentuh hati, majlis itu turut dihadiri oleh bapa kandung Rayqal, Jejai, sekali gus memperlihatkan kematangan dan komitmen kedua ibu bapa dalam memberikan sokongan penuh buat anak tercinta, walaupun tidak lagi bersama sebagai pasangan.
Kehadiran mereka berdua menggambarkan ikatan kekeluargaan yang harmoni dan penuh toleransi, demi kebahagiaan serta kejayaan anak.
Selain Nora dan Jejai, momen indah tersebut turut disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Datin Seri Noora Ashikin Binti Raja Abdullah yang juga merupakan datuk dan nenek Putra Rayqal Ramli.
Majlis graduasi tersebut berlangsung dalam suasana penuh protokol, namun tetap sarat dengan emosi dan kasih sayang ibu bapa terhadap kejayaan anak. Rayqal yang kini menginjak usia remaja, tampil kemas dalam jubah konvokesyen, menerima sijil tamat pengajian sebagai tanda permulaan fasa kehidupan yang lebih mencabar.
Penampilan Nora Danish di majlis graduasi anak sulungnya turut mencuri tumpuan ramai. Mengenakan busana ringkas namun elegan, Nora tampil anggun dan mempesona dengan aura keibuan yang penuh kelembutan.
Ramai netizen memuji kecantikannya yang kekal awet muda, seolah-olah tidak dimamah usia walaupun sudah bergelar ibu remaja. Gaya sederhana tetapi berkelas yang ditonjolkan mencerminkan sisi matang dan tenang seorang ibu yang hadir menyaksikan detik bersejarah anak tersayang, menjadikan kehadirannya bukan sahaja penuh makna, malah turut menjadi sorotan sepanjang majlis tersebut.
Walaupun rumah tangga antara Nora Danish dan Rizal Ashram Ramli (Jejai) telah berakhir, kedua-duanya kekal menjalinkan hubungan yang matang dan harmoni sebagai ibu bapa demi kebahagiaan anak mereka, Putra Rayqal.
Sikap saling menghormati dan komitmen dalam mendahulukan keperluan anak menjadikan mereka contoh ibu bapa moden yang mampu berkerjasama walaupun sudah berpisah. Kehadiran mereka bersama di majlis-majlis penting seperti graduasi Rayqal mencerminkan kesepakatan dan kasih sayang tanpa syarat, membuktikan bahawa perpisahan tidak semestinya menamatkan ikatan kekeluargaan yang positif.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE