Pesanan dan peringat penting buat wanita bergelar isteri, dalam apa juga perbuatan, perkara dan kerja yang kita lakukan, perbetulkanlah niat HANYA kerana Allah. Bukan kerana suami suruh, marah, takut atau terpaksa buat. Ini kerana apabila kita niat bukan kerana Allah dan mengharapkan balasan daripada manusia, itulah yang membuatkan kita kecewa dan hampa.

Fahamkan perkongsian Firdaus Shakirin sebagai peringatan kita bersama.

Kerana suami, atau kerana Allah s.w.t?

Something to ponder…

Bangun awal pagi, sediakan sarapan, bekalkan makanan, kerana suami atau kerana Allah? Hantar anak sekolah, pergi pasar beli bahan-bahan, kerana suami, atau kerana Allah?

Masak tengahari, petang dan malam, kerana suami, atau kerana Allah? Basuh baju, sidai baju, lipat baju, kemas rumah, cuci pinggan, buang sampah, kerana suami atau kerana Allah?

Kita tak pernah pun terfikir, “Aku buat perkara ni, aku buat semua ni, ikhlas kerana Allah s.w.t dan bukan kerana suami suruh, takut suami marah atau terpaksa buat…”

Niat Kerana Allah

Kalau niat kerana Allah, ianya jadi ibadah dan dapat pahala…kalau niat kerana manusia, kita tak dapat apa-apa dan kita akan mengharapkan manusia itu untuk membalas perbuatan kita itu sebagaimana yang kita telah buat kepadanya.

Ini yang seringkali membuatkan kita kecewa, ini yang seringkali membuatkan kita marah, ini yang seringkali menghampakan kita. Sebab tak dapat penghargaan setimpal dengan apa yang kita dah buat kepadanya.

Allah Balas Kebaikan

Para isteri sekalian, niatlah akan setiap perbuatan kamu itu kerana Allah s.w.t dan percayalah bahawa akan ada pahala untuk setiap perkara yang dilakukan anda, kalau tidak di dunia, maka di akhirat, kalau tidak sekarang, mungkin esok atau lusa…apa yang pasti, Allah akan membalas kebaikan itu, dengan kebaikan.

Perbaiki nawaitu dan mulai hari ini, apa yang anda buat sebagai isteri adalah لله تعالى…Allah jualah yang dapat membalas setiap budi baik, jasa dan pengorbanan anda selama mana anda bergelar isteri kepada seorang lelaki yang bernama suami.

Barulah ianya tidak menjadi sesuatu yang sia-sia.

MW:Memang ada benarnya, sebagai pesanan dan peringatan bermanfaat buat wanita yang bergelar isteri. Pastikan dalam apa juga yang kita lakukan NIATKAN ia kerana Allah, agar segala yang dilakukan tidak sia-sia dan diri merasa kecewa jika tidak dihargai oleh insan bernama suami.

Sumber: Firdaus Shakirin